Perbezaan taufan, siklon dan hurikan

Spread the love

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Pada hujung minggu lalu, dunia dikejutkan dengan kejadian taufan super iaitu Taufan Hagibis yang membadai negara Jepun sehingga mengorbankan 70 nyawa dan lebih 200 orang cedera.

Bencana yang berlaku pada Sabtu itu turut menyaksikan hampir 3 juta penduduk diarah berpindah kerana dikhuatiri tempat tinggal mereka terjejas akibat ribut tersebut.

Kejadian sebegini sering menjadi igauan bagi penduduk yang tinggal di sekitar kawasan pantai.

Namun, apakah bezanya taufan, siklon dan hurikan? Jawapannya, sama – perbezaannya hanyalah lokasi di mana kejadian ribut itu berlaku.

Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia), jika ribut itu berlaku di kawasan Barat Laut Lautan Pasifik, ia dinamakan ‘taufan’. Jika ia berlaku di Selatan Lautan Pasifik dan Lautan Hindi, ia dinamakan ‘siklon’. Dan, jika ia berlaku di Lautan Atlantik dan Timur Laut Lautan Pasifik pula, ia dinamakan ‘hurikan’.

Taufan

Untuk ribut dinamakan taufan, siklon atau hurikan, ia harus mencapai kelajuan sekurang-kurangnya kelajuan 120 kilometer sejam (km/j).

Ia terbentuk apabila satu pusat tekanan udara rendah yang sejuk berlaku, menyebabkan udara panas di sekelilingnya berpusar dengan laju, menghasilkan angin kencang.

Oleh kerana taufan berlaku di Barat Laut Lautan Pasifik, ia kerap melanda negara-negara Asia seperti Jepun, Korea, Taiwan, Filipina dan Vietnam, China dan juga kawasan timur Rusia.

Meskipun taufan dikatakan berlaku sepanjang tahun, namun kebanyakannya kerap berlaku di antara bulan Mei dan Oktober. Taufan juga berputar melawan arah jam kerana ia berlaku di sebelah utara Pasifik. Ini dinamakan kesan Coriolis.

Siklon

Siklon berlaku di kawasan Selatan Lautan Pasifik dan Lautan Hindi. Antara negara-negara yang sering dilanda siklon ialah Australia, pantai timur Afrika, Mauritious dan beberapa bahagian di Indonesia.

Oleh kerana ia berlaku di hemisfera selatan, putarannya juga mengikut arah jam.

Hurikan

Berlaku di kawasan Lautan Atlantik dan Timur Laut Lautan Pasifik, hurikan sering melanda negara-negara seperti Amerika, Mexico, Kepulauan Caribbean dan Bermuda.

Seperti taufan, ia berlaku di hemisfera utara, dan ini membuatkan putarannya melawan arah jam.

Bentuk fizikal

Jika dilihat dari satelit, taufan, siklon mahupun hurikan mempunyai tiga struktur dalam bentuknya iaitu mata, dinding mata dan jalur hujan.

Mata atau ‘eye of the storm’ merupakan pusat utama bagi taufan tersebut, dan ia merupakan kawasan di mana paling tekanan paling rendah berlaku.

Justeru, ia menjadi pusat di mana angin kencang berpusar di sekelilingnya. Kawasan ini juga biasanya tenang dan mudah dikesan melalui satelit.

Dinding mata merupakan kawasan yang mengelilingi ‘mata’. Terdiri daripada jaluran awan, ia juga kawasan di mana hujan paling lebat dan angin paling kuat berlaku.

Di bahagian jalur hujan pula ialah kawasan di mana hujan lebat yang tersusun, berpusar mengelilingi mata ribut berkenaan.

Kesan

Biar apa pun namanya, kesan atau impak yang dibawa oleh ribut berkenaan amat dasyat. Kehadirannya sememangnya sesuatu yang sangat menggerunkan.

Ribut yang melanda turut membawa hujan lebat, angin kencang dan ombak besar yang boleh mengakibatkan banjir serta merosakkan atau memusnahkan bangunan, rumah dan harta benda serta kehilangan nyawa.


Spread the love

2 Comments

Comments are closed.

OTHER POSTS

Subscribe to Denaihati

Dapatkan artikel terkini terus dalam email anda!