Kisah Yakjuj dan Makjuj, peringatan akhir zaman

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Ada persoalan berkenaan dengan Ya’juj dan Ma’juj dan juga banyak sebaran yang terdapat dalam media masa berkenaan dengan isu ini. Makanya, ada yang bertanya untuk pengesahan berdasarkan nas dan juga fakta berkaitan dengan Ya’juj dan Ma’juj.

Sebenarnya, ia banyak dibahaskan oleh para ulama’ dalam asyrat al-sa’ah (tanda-tanda Kiamat) dan juga hadis fitan. Justeru, amat penting umat Islam memahami akan perihal Ya’juj dan Ma’juj yang sebenarnya. Semoga dengan pencerahan ini akan memberikan sebuah kefahaman yang jelas.

Perkataan Yakjuj dan Makjuj serta Pengertiannya

Para ulama’ bahasa telah khilaf berkenaan dengan perkataan “يأجوج ومأجوج”. Apakah kedua-duanya musytaq atau nama ‘ajam?

Pendapat pertama ia adalah isytiqaq. Ibn Manzur dalam Lisan al-Arab menukilkan pandangan mereka yang isytiqaq kedua-duanya dari Bahasa Arab dari perkataan (أجَّتِ النار) membuat-buat api atau dari perkataan (الماء الأجاج) daripada air yang sangat masin. (Lihat Lisan al-Arab, 2/207)

Perkataan Ya’juj atas wazan (يفعول) dan Ma’juj pula atas wazan (مفعول). Ia seolah-olah api yang menggelegak dan membara. Ini menggambarkan seolah-olah gerakan mereka tiada siapa yang mampu menahannya.

Ini jika kedua nama ini daripada Bahasa Arab. Tetapi sebaliknya, jika daripada Bahasa Ajam, maka tiada musytaq.

Pendapat yang sama yang menganggap musytaq disebut oleh al-Raghib al-Asfahani. (Lihat al-Mufradat, hlm. 10)

Pengarang kitab Asyrat al-Sa’ah berkata: Ya’juj dan Ma’juj berasal dari bahasa Arab. Ya’juj yang berakar kata “ujaj” (أُجَاجٌ) yang berarti mengering kemudian mengeras, dan satu lagi dari kata “al-ajj” (الْأَجُّ) yang artinya ketika musuh datang dengan cepat sekali, sedangkan Ma`juj berasal dari kata “maaja” (مَاجَ) yang berarti goncang.

Menurut Abu Hatim pula, ma’juj berasal dari maaja, iaitu kekacauan. Ma’juj berasal dari mu’juj, yaitu malaja. Namun, menurut pendapat yang sahih, Ya’juj dan Ma’juj bukan isim musytaq, melainkan isim ‘ajam dan laqab (gelaran). Setiap dari akar kata ini memiliki kesesuaian dengan sifat kaum Ya`juj dan Ma`juj tersebut. (Lihat Asyrath al-Sa’ah oleh Yusuf al-Wabil hlm. 365-366)

Pendapat yang rajih adalah ia bukan musytaq tetapi bahasa ‘ajam dan termasuk dalam “ممنوع من الصرف” kerana sifat ‘alamiyah dan ‘ajamnya. Inilah pendapat yang kuat kerana dua qabilah tersebut telah wujud sebelum orang arab.

Abu al-Kalam Azad pula menyatakan bahawa perkataan Ya’juj dan Ma’juj berasal daripada bahasa Ibrani, dan pada asalnya ia adalah bahasa asing. Masyarakat Yunan menyebutnya sebagai Gog dan Magog.

Perarakan Gog and Magog

Surah al-Kahfi, Yakjuj da Makjuj

Firman Allah SWT:

قَالُوا يَا ذَا الْقَرْنَيْنِ إِنَّ يَأْجُوجَ وَمَأْجُوجَ مُفْسِدُونَ فِي الْأَرْضِ فَهَلْ نَجْعَلُ لَكَ خَرْجًا عَلَىٰ أَن تَجْعَلَ بَيْنَنَا وَبَيْنَهُمْ سَدًّا

MaksudnyaMereka berkata: “wahai Zulkarnain, sesungguhnya kaum Ya’juj dan Ma’juj sentiasa melakukan kerosakan di bumi; oleh itu, setujukah kiranya kami menentukan sejumlah bayaran kepadamu (dari hasil pendapatan kami) dengan syarat engkau membina sebuah tembok di antara kami dengan mereka?” (Surah al-Kahfi: 94)

Syeikh al-Maraghi berkata: Apabila mereka tiba di antara dua gunung itu iaitu tempat yang dikatakan oleh para pelancong pada abad ke-15M sebagai tempat yang unik, beliau dapati di antara dua gunung itu tinggal suatu bangsa manusia yang hampir tidak dapat memahami setiap persoalan yang diajukan kepada mereka kerana tahap pemikiran mereka lemah.

Sekiranya mereka mempunyai kecerdasan yang mantap, sudah tentu mereka memahami setiap persoalan yang diajukan berbanding penggunaan bahasa isyarat. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 8/4179)

Hadis Berkenaan Yakjuj dan Makjuj serta Hakikatnya

Antaranya, hadis daripada Abi Sa’id al-Khudri R.A, Rasulullah SAW bersabda:

Maksudnya: Allah SWT berfirman, “Wahai Adam!” Kemudian Adam berkata, “Labbaik wa sa’daik! Kebaikan berada di tangan-Mu.” Allah pun berkata, “Pisahkanlah penghuni-penghuni neraka!”Adam berkata, “Siapakah penghuni-penghuni neraka itu?” Allah berkata, “Di setiap seribu orang ada sembilan ratus sembilan puluh sembilan orang.” Itu adalah ketika anak kecil akan beruban, setiap wanita hamil akan keguguran dan kamu melihat manusia seolah-olah mabuk, padahal mereka tidak mabuk. Akan tetapi, azab Allahlah yang sangat pedih.”

Para sahabat pun berkata, “Ya Rasulullah! Siapakah di antara kami satu orang tersebut?” Kemudian Baginda SAW menjawab, “Bergembiralah kamu. Sesungguhnya dari setiap orang daripada kamu, maka dari Ya’juj dan Ma’juj ada seribu orang…” Riwayat al-Bukhari (3348)

Hadith ini menunjukkan kepada kita bahawa orang kafir selain daripada Ya’juj dan Ma’juj akan masuk ke neraka bersama dengan Ya’juj dan Ma’juj. Selain itu, hadis tersebut juga memberi gambaran kepada kita bahawa banyaknya bilangan Ya’juj dan Ma’juj ini serta sedikitnya daripada kalangan orang yang beriman masuk ke dalam neraka.

Allah SWT berfirman:

حَتَّىٰ إِذَا فُتِحَتْ يَأْجُوجُ وَمَأْجُوجُ وَهُم مِّن كُلِّ حَدَبٍ يَنسِلُونَ

Maksudnya(Demikianlah keadaan mereka) hingga apabila terbuka tembok yang menyekat Ya’juj dan Ma’juj, serta mereka meluru turun dari tiap-tiap tempat yang tinggi. (Surah al-Anbiya’: 96)

Syeikh al-Maraghi berkata: “Iaitu mereka turun seperti helang dari setiap bukit dan dataran yang tinggi. Keadaan ini serupa dengan kaum Genghis Khan – sebagaimana diceritakan oleh pakar sejarah Arab dan Perancis – peperangan mereka ini bermula dari dataran tinggi di Asia Tengah. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 8/4182)

Ayat dalam Surah al-Kahfi (yang telah disebut terdahulu) menceritakan tentang Ya’juj dan Ma’juj pada apa yang telah berlalu dan menceritakan kerosakan yang telah mereka lakukan di atas muka bumi. Manakala ayat dalam Surah al-Anbiya’ (di atas) menceritakan berkenaan Ya’juj dan Ma’juj pada masa akan datang dan tentang keluarnya mereka secara besar-besaran sebelum berlakunya kiamat.

Bangsa Ya’juj dan Ma’juj akan keluar apabila tibanya akhir zaman dan tatkala hampir berlakunya kiamat. Mereka mendiami di suatu tempat di Barat daya Mongolia. Bangsa ini juga dikenali sebagai bangsa Mongol dan Tartar. Para ulama’ mentarjihkan bahawa Ya’juj dan Ma’juj tinggal dan menetap di kawasan Mongolia di negara China dan Turkestan di negara Rusia.  

Mengenai kemunculan mereka ke bumi, terdapat dua pandangan.

  • Pandangan pertama menyebut bahawa Ya’juj dan Ma’juj muncul dan keluar sekali sahaja iaitu tatkala hampirnya kiamat.
  • Pandangan kedua menyebut bahawa mereka akan muncul beberapa kali bermula sejak kurun pra sejarah hinggalah pengakhirannya dengan kemunculan besar yang membawa kemusnahan yang dahsyat tatkala kiamat hampir terjadi.

Ya’juj dan Ma’juj adalah daripada keturunan Adam AS dan boleh kita katakan: Ya’juj adalah satu qabilah dan Ma’juj satu qabilah yang lain. Kedua-duanya daripada golongan manusia dan daripada keturunan Adam AS daripada Yafis bin Nuh.

Sifat Yakjuj dan Makjuj

Berdasarkan apa yang Rasulullah SAW sifatkan, mereka adalah:

  • Bangsa yang kuat, tubuh yang gagah.
  • Tiada manusia mampu memerangi mereka.
  • Mereka mempunyai muka yang lebar.
  • Kecil matanya.
  • Bilangan mereka sangat ramai sepertimana hadis riwayat al-Hakim dalam al-Mustadrak berbanding dengan manusia yang hanya satu per sepuluh daripada mereka. Begitu juga pendapat Ibnu Kathir, jumlah mereka cukup ramai.
  • Imam al-Alusi berpendapat bahawa Ya’juj dan Ma’juj mempunyai umur yang paling panjang.
  • Syeikh Abdul Rahman al-Sa’di berkata, mereka adalah manusia dan bukanlah hidup di alam ghaib dan bukan juga seperti jin. (Lihat Fitnatu Dajjal wa Ya’juj wa Ma’juj (terj.) oleh Syeikh Abdul Rahman Nasir al-Sa’di, hlm. 11)

Ya’juj dan Ma’juj dikatakan umat kufur kepada Allah. Ini berdasarkan nas. Adapun mereka akan keluar daripada tempat dua gunung yang besar pada negeri kawasan Atrak, akan menghala ke laut mati sebagaimana hadis. Dan daripada situ menuju ke Baitul Maqdis di Palestin. Masa keluar mereka adalah pada zaman Nabi Isa bin Maryam dan lebih tepat lagi selepas Nabi Isa membunuh Dajjal.

Walaupun begitu, saya nukilkan pendapat Sheikh Abdul Karim Khatib menyatakan bahawa tidaklah diketahui sama ada Ya’juj dan Ma’juj punya perbezaan ketara dari sudut tubuh, mungkin ada kelainan dari segi warna kulit, akhlak dan adat, tapi mungkin dari sudut kekuatan dan membentuk kerajaan.

Adakah Yakjuj dan Makjuj Sudah Ada?

Ya’juj dan Ma’juj sudah ada dan terus dalam keadaan turun-temurun (beranak pinak). Tidak meninggal satu orang daripada mereka, kecuali lahir seribu orang lebih. Hal ini sebagaimana disebutkan dalam riwayat Abdullah bin ‘Amr R.Anhuma:

MaksudnyaTidak meninggal seorang daripada mereka sehingga lahir daripadanya seribu orang.

Hadis ini diriwayatkan oleh al-Hakim dalam al-Mustadrak (8526). Riwayat ini disahihkan oleh al-Hakim tetapi ia tidak diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim. Akan tetapi, sanad hadis ini dha’if kerana perawi bernama Abu Ishaq, seorang mukhtalith dan pendengaran Mu’ammar berkaitan hadith ini daripadanya tidak diketahui sama ada berlaku sebelum atau selepas Abu Ishaq dituduh sebagai mukhtalith. Selain itu, perawi bernama Wahab bin Jabir pula seorang yang maqbul dan tidak memudaratkan tadlis yang dilakukan oleh Abi Ishaq kerana beliau mentasrihkan pendengaran hadith tersebut berdasarkan riwayat dalam al-Mustadrak.

Di antara tanda lain yang menunjukkan bahawa Ya’juj dan Ma’juj ini telah wujud pada waktu ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:

إِنَّ يَأْجُوجَ وَمَأْجُوجَ يَحْفِرُونَ كُلَّ يَوْمٍ حَتَّى إِذَا كَادُوا يَرَوْنَ شُعَاعَ الشَّمْسِ

MaksudnyaSesungguhnya Ya’juj dan Ma’juj ini akan menggali setiap hari sehingga mereka ternampak pancaran matahari. Riwayat Ibnu Majah (4070) dan Ahmad (10632)

Menurut al-Imam al-Alusi, Ya’juj dan Ma’juj merupakan dua qabilah daripada keturunan Yafis bin Nuh. Inilah yang dijazamkan oleh Wahab bin Munabbih dan dipegang oleh ramai ulama’ muta’akhirin.

Kami himpunkan pendapat tentang Ya’juj dan Ma’juj seperti berikut:

  • Ya’juj dan Ma’juj sebanyak 22 qabilah sepertimana riwayat Abd al-Razzaq daripada Qatadah.
  • Ya’juj daripada Turki dan Ma’juj daripada Dailam.
  • Ya’juj dan Ma’juj daripada Jil.
  • Imam al-Nawawi dalam Fatawanya menukilkan pendapat bahawa mereka daripada anak Adam selain daripada Hawa’ dan ia adalah sebahagian pendapat jumhur ulama’. Ini kerana Nabi Adam bermimpi dan maninya bercampur dengan tanah lalu terbentuk Ya’juj dan Ma’juj. Inilah yang disebut oleh Ka’ab al-Ahbar. (Lihat Ruh al-Ma’ani, 16/478)

Tarjih: Kami berpendapat Ya’juj dan Ma’juj daripada keturunan Adam dan juga daripada Hawa’. Ini adalah pendapat al-Hafiz Ibn Hajar di mana beliau berkata: Tidak warid daripada sebarang salafus soleh hanya kecuali Ka’ab al-Ahbar yang berpendapat ia bukan daripada Hawa’. Pendapat ini disanggah melalui hadis yang marfu’ bahawa mereka (yakni Ya’juj wa Ma’juj) daripada zuriat Nuh dan Nuh semestinya daripada zuriat Adam dan Hawa’. (Lihat Ruh al-Ma’ani, 16/478)

Ramai tertarik dengan kenyataan Syeikh al-Maraghi yang menyebut:

Setiap yang dijanjikan oleh Allah SWT itu pasti terjadi dan tidak perlu diragukan. Allah SWT telah berjanji menghapuskan Genghis Khan dan keturunannya itu. Ini disebabkan mereka (Genghis Khan) mengadakan kerosakan di muka bumi dari timur hingga ke barat dengan melakukan pelbagai kerosakan terhadap negara-negara Islam, dan melenyapkan panji pemerintahan dari Baghdad, seperti yang telah diterangkan dahulu.

Pakar sejarah telah menceritakan, jatuhnya pemerintah Genghis Khan apabila Sultan Khuwarizm daripada Dinasti Saljuk membunuh para utusan dan pedagang dari negerinya dengan merampas hartanya, dan menyerang sekitar negerinya.

Baca Kisah dari Baitulmuqaddis singgah di Tasik Tiberia

3 Comments

Comments are closed.

OTHER POSTS

Subscribe to Denaihati

Dapatkan artikel terkini terus dalam email anda!