Dajjal: Tanda besar kiamat dan akhir zaman

Spread the love

Assalamualaikum dan selamat sejahtera,

Sebagaimana yang kita ketahui, Dajjal merupakan fitnah yang paling dahsyat yang akan berlaku di akhir zaman. Oleh itu, Nabi SAW sentiasa memberi pesanan kepada umatnya agar sentiasa berjaga-jaga dengan fitnah ini.

Definisi Dajjal

Dajjal dari sudut bahasa bermaksud menutup akan sesuatu. Ini kerana, Dajjal antara sifatnya adalah al-Kazib (pendusta) dan pendustaan adalah menyembunyikan atau menutupi akan sesuatu.

Selain itu, Dajjal juga bermaksud menyembunyikan kebenaran dan membuat tipudaya terhadap manusia serta menampakkan kecantikan pada perkara yang bathil.

Manakala dari sudut istilah pula, Dajjal boleh dikenali dengan beberapa sifat yang dikhabarkan oleh Baginda SAW melalui hadith-hadithnya. Antaranya ialah:

  • Seorang manusia.
  • Rambutnya kerinting dan kusut masai.
  • Sebelah daripada matanya buta.
  • Tertulis pada dahinya كفر (kufur).

Hadith berkenaan Dajjal

Daripada Abdullah ibn Umar R.Anhuma beliau berkata, sabda Rasulullah SAW:

Maksudnya: “Ketika aku sedang tidur, aku melihat diriku bertawaf di Ka’bah. Tiba-tiba (aku melihat) seorang lelaki yang berkulit sawo matang, berambut lurus (berada) diantara dua lelaki. Kepalanya (seperti) menitiskan air. Aku bertanya: “Siapakah orang ini?” Mereka menjawab: “(Isa) putera Maryam.” Kemudian aku menoleh dan (melihat) seorang lelaki berkulit merah, bertubuh besar, berambut keriting, cacat mata kanannya, seakan-akan matanya seperti sebutir anggur yang menonjol keluar. Aku berkata: “Siapa ini?” Mereka berkata: “Ini ialah Dajjal!” Orang yang paling mirip dengannya ialah Ibnu Qathn” (HR al-Bukhari 6508)

Daripada Huzaifah RA, Rasulullah SAW bersabda:

Maksudnya“Dajjal itu cacat matanya yang kiri, kerinting rambutnya, bersamanya syurga dan neraka. Nerakanya ialah syurga dan syurganya ialah neraka.” (HR Muslim 7474)

BACA: Yakjuj dan Makjuj Adalah Umat Yang Kafir

Di manakah Dajjal Akan Keluar?

Dajjal akan keluar dari arah timur iaitu dari Khurasan. Khurasan adalah satu tempat yang luas, terletak di sebelah timur dan ia terdiri daripada beberapa daerah, antaranya Naisabur.

Kemudian Dajjal akan mula berjalan di bumi dan tidak akan ditinggalkan satu tempat pun melainkan dia akan memasukinya kecuali Makkah dan Madinah.

Dajjal tidak dapat memasuki Makkah dan Madinah kerana terdapat malaikat yang menjaga kedua tanah suci itu.

Kenyataan ini disandarkan atau dikuatkan lagi dengan hadith yang sahih, antaranya:

Daripada Abu Bakar RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

Maksudnya“Dajjal akan keluar ke bumi dari arah timur, dikatakan tempat tersebut adalah Khurasan”. (HR al-Tirmizi 2237)

Bilakah Muncul Atau Keluarnya Dajjal?

Muncul atau keluarnya Dajjal adalah satu kepastian dan kita tidak boleh sama sekali mengingkarinya. Akan tetapi waktu yang sebenar atau tepat keluarnya Dajjal ini tidak diketahui tetapi apa yang pasti keluarnya Dajjal adalah salah satu tanda besar Kiamat.

Tambahan pula, ini termasuk dalam perkara-perkara ghaib yang tidak diketahui melainkan Allah SWT. Allah SWT juga menyembunyikan kepada kita bila akan berlakunya Kiamat berdasarkan firman-Nya dalam surah al-A’raf ayat 186

يَسْأَلُونَكَ عَنِ السَّاعَةِ أَيَّانَ مُرْسَاهَا ۖ قُلْ إِنَّمَا عِلْمُهَا عِندَ رَبِّي ۖ لَا يُجَلِّيهَا لِوَقْتِهَا إِلَّا هُوَ

Maksudnya“Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) tentang hari kiamat: “Bilakah masa datangnya?” Katakanlah: “Sesungguhnya pengetahuan mengenainya hanyalah ada di sisi Tuhanku, tidak ada sesiapa pun yang dapat menerangkan akan kedatangannya pada waktunya melainkan Dia (Allah SWT)”.

Apakah Kesudahan Daripada Fitnah Dajjal Ini?

Setelah Dajjal melata di seluruh muka bumi melainkan Makkah dan Madinah dengan menyebarkan fitnah-fitnah kepada manusia pada waktu itu.

Di samping itu juga, ramai daripada kalangan manusia telah terpedaya dengan fitnah Dajjal ini, lalu mereka telah bersama dengan Dajjal dan menjadi pengikutnya. Tambahan pula, tidak ramai daripada umat manusia yang berjaya daripada fitnah itu.

Pada waktu itulah, Allah SWT menurunkan Nabi Isa AS ke dunia bagi membunuh Dajjal. Ketika Nabi Isa AS turun ke dunia, Dajjal sedang menuju ke Bait al-Maqdis (palestin).

Kemudian, mereka bertemu di sebuah pintu yang dinamakan pintu Lud (لد). Apabila Nabi Isa AS melihat Dajjal, beliau terus membunuhnya dengan menggunakan pedang sambil berkata:

إِنَّ لِي فِيكَ ضَرْبَةً، لَنْ تَسْبِقَنِي بِهَا

Maksudnya: “Sesungguhnya bagiku kepada engkau satu pukulan yang mana dengan pukulan ini kamu tidak akan dapat melepaskan diri daripadaku”. (HR Ibn Majah (4077)

Dengan kematian Dajjal itu, berakhirlah fitnah yang besar itu dan berjayalah orang-orang yang beriman daripada kejahatan Dajjal dan daripada kejahatan pengikutnya disebabkan oleh Nabi Isa AS.

Petunjuk Nabi SAW dalam Menghadapi Fitnah Dajjal

Di dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Imam Muslim, daripada Abu Darda’ RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

Maksudnya: “Sesiapa yang menghafal 10 ayat daripada awal surah al-Kahfi akan terselamat daripada fitnah Dajjal”. (HR Muslim 1342)

BACA: Kelebihan Orang Yang Menghafal 10 Ayat Surah Al-Kahfi

Berdoa Dari Fitnah Dajjal

Terdapat hadis Rasulullah SAW mengajar kita membaca selepas tahiyyat akhir:

إِذَا فَرَغَ أَحَدُكُمْ مِنَ التَّشَهُّدِ الآخِرِ فَلْيَسْتَعِذْ بِاللَّهِ مِنْ أَرْبَعٍ يَقُولُ اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ جَهَنَّمَ وَمِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَحْيَا وَالْمَمَاتِ وَمِنْ شَرِّ فِتْنَةِ الْمَسِيحِ الدَّجَّالِ

Maksudnya: Apabila kamu selesai daripada membaca tasyahhud akhir, maka berlindunglah dengan Allah daripada empat perkara: Dengan berdoa: (اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ جَهَنَّمَ وَمِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَحْيَا وَالْمَمَاتِ وَمِنْ شَرِّ فِتْنَةِ الْمَسِيحِ الدَّجَّالِ) Ya Allah! Sesungguhnya aku berlindung dengan-Mu daripada azab Neraka Jahannam, daripada azab kubur, fitnah kehidupan dan kematian dan daripada kejahatan fitnah al-Masih al-Dajjal.” Riwayat Muslim (588)

Doa ini disunatkan kepada kita untuk membacanya ketika selesai membaca tahiyyat akhir sebelum daripada salam sepertimana yang disebut di dalam hadith.

Kesimpulannya, kita telah berada di akhir zaman, Untuk itu, menjadi tanggungjawab kita untuk sentiasa mempersiapkan diri kita agar kita tidak terjerumus ke dalam fitnah yang boleh meruntuhkan tahap keimanan kita.

Akhirnya, semoga Allah SWT memelihara iman kita dan menyelamatkan kita daripada segala fitnah terutamanya fitnah Dajjal. Amin.

Mufti Wilayah


Spread the love

2 Comments

Comments are closed.

OTHER POSTS

Subscribe to Denaihati

Dapatkan artikel terkini terus dalam email anda!