Keluarnya Dabbatul Ardh, Tanda Kiamat Besar Yang Akan Berlaku Sebelum Dunia Kiamat

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Al-Dabbah (الدابة) menurut bahasa adalah setiap yang berjalan di atas muka bumi. Manakala, menurut istilah pula, al-Dabbah adalah sejenis binatang yang akan keluar di akhir zaman (apabila manusia dalam keadaan yang jauh daripada agama) dan keluarnya al-Dabbah ini merupakan antara tanda-tanda besar hari Kiamat sebagaimana yang disebutkan di dalam hadith yang banyak.

Dabbatul Ardh dimaksudkan dengan segala binatang yang melata di muka bumi sama ada berkaki dua, empat atau merayap. Imam al-Tantawi, bekas Syeikh al-Azhar dalam kitab tafsirnya, al-Wasit fi Tafsir al-Quran al-Karim, memberikan pengertian Dabbah seperti berikut: Dabbah ialah kata nama untuk setiap haiwan yang memiliki ruh, tidak kira jantan atau betina, berakal atau tidak berakal.

Nas Berkenaan Dabbatul Ardh

Terdapat banyak nas tentang kemunculan Dabbatul Ardh pada akhir zaman, antaranya:

Allah SWT berfirman:

MaksudnyaDan apabila sampai masa berlakunya hukuman atas manusia, Kami keluarkan untuk mereka sejenis binatang dari bumi, yang akan menyatakan kepada mereka, bahawa manusia telah tidak meyakini ayat-ayat keterangan dan pengajaran Kami. Surah al-Naml (82)

Kebanyakan ulama’ berkata: Keluarnya dabbah yang disebut ini apabila manusia sudah tidak menyeru yang makruf dan tidak mencegah yang mungkar. Binatang ini akan keluar pada akhir zaman semasa manusia telah rosak dan meninggalkan perintah-perintah Allah SWT serta menukar agama yang haq (dengan mengikut kebatilan).

Maka Allah SWT akan mengeluarkan kepada mereka binatang dari bumi. Dikatakan ia dari Mekah. Dan dikatakan juga dari selainnya. Maka manusia mula berbicara berkenaan binatang tersebut.

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim dan ashab al-Sunan, daripada Huzaifah bin Asid al-Ghifari, katanya: Nabi SAW muncul di hadapan kami tatkala kami sedang berbincang-bincang. Lalu Baginda SAW bertanya: Apakah yang kamu semua perbincangkan?” Kami menjawab: “Kami berbincang berkaitan Kiamat.” Lantas Baginda SAW bersabda:

Maksudnya: “Hari Kiamat tidak akan terjadi sehinggalah kamu melihat sepuluh tanda: Kemudian disebut al-dukhan (asap), dajjal, al-dabbah, keluar matahari daripada barat, turunnya Isa ibn Maryam, munculnya Yakjuj dan Makjuj, terdapat tiga kabus tebal; satunya di timur, keduanya di barat dan satunya di semenanjung tanah Arab dan akhir sekali keluarnya api dari negeri yaman sehingga menghimpunkan manusia ke tempat Mahsyar mereka. Riwayat Muslim (7467), al-Tirmizi (2183),

Binatang yang melata ini adalah salah satu tanda kekuasaan Allah yang akan keluar di akhir zaman, ketika kejahatan bermaharajalela dan kerosakan meluas, manakala kebaikan sangat sedikit.

Tidak ragu lagi bahawa ini bukanlah binatang melata yang biasa. Ia dapat berbicara dan bercakap-cakap dengan manusia.

Tempat Keluar Dabbatul Ardh

Berdasarkan ayat 82 Surah al-Naml, tempat keluar yang disebut adalah dari dalam bumi, bukan dari langit dan lain-lain. Persoalan yang timbul adalah, di bahagian bumi manakah ia akan dikeluarkan?

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abu Buraidah R.A, katanya: Aku pergi bersama Rasulullah SAW ke suatu kawasan gurun berhampiran dengan Mekah. Ianya adalah kawasan tanah berangin yang sekitarnya berpasir. Lalu Rasulullah SAW bersabda:

تَخْرُجُ الدَّابَّةُ مِنْ هَذَا الْمَوْضِعِ ، فَإِذَا فِتْرٌ فِي شِبْرٍ

MaksudnyaAl-Dabbah keluar dari tempat ini. Maka adalah (luas tempat rekahan keluarnya) selebar sejengkal dan sepanjang sejengkal. Riwayat Ibn Majah (4067) dan Ahmad (23411)

Kebanyakan pendapat ulama menyebut bahawa Dabbatul Ardh akan muncul di Mekah. Ini dikuatkan dengan hadis yang terdapat dalam Sunan Ibn Majah serta qaul-qaul sahabat yang menyebut keluarnya Dabbah di Bukit Safa di Mekah.

Bilakah Dabbatul Ardh Akan Muncul?

Beberapa pendapat ulama dalam menyebut susunan kronologi tanda-tanda kiamat besar yang akan berlaku menyebut susunan seperti berikut:

  • Turunnya Nabi Isa AS
  • Muncul Imam Mahdi AS
  • Muncul Dajjal
  • Keluarnya Yakjuj dan Makjuj
  • Al-Dukhan
  • Dabbatul Ardh
  • Api yang menghalau manusia
  • Terbit matahari dari Barat

Berkenaan waktu terbit Dabbatul Ardh pula, disebut di dalam hadis bahawa Dabbatul Ardh akan keluar pada waktu pagi. Rasulullah SAW bersabda:

وَخُرُوجُ الدَّابَّةِ عَلَى النَّاسِ ضُحًى

Dan keluarnya binatang (Dabbah) kepada manusia pada waktu Dhuha (pagi). Riwayat Muslim (5238) dan Ahmad (6881)

Ciri-Ciri dan Rupa Bentuk Dabbatul Ardh

Berdasarkan kepada himpunan nas, kami nyatakan di sini beberapa ciri Dabbatul Ardh. Antaranya:

  • Ia merupakan haiwan yang aneh. Tidak seperti haiwan yang biasa.
  • Berbulu
  • Berkaki empat dan berkuku
  • Tidak berekor
  • Bertanduk
  • Tinggi dan besar
  • Ia boleh berkata-kata dan memahami bahasa manusia.
  • Ia akan berkata kepada orang yang tidak beriman bahawa manusia telah tidak lagi meyakini ayat-ayat Allah seperti terakam dalam surah al-Naml ayat 82.

Antara sifat yang bukan termasuk Dabbatul Ardh ialah:

  • Ia bukan keturunan manusia.
  • Ia bukan haiwan yang membiak. Tetapi satu haiwan sahaja.
  • Ia bukan keturunan haiwan yang sedia ada di muka bumi, tetapi dikeluarkan oleh Allah seperti firman-Nya “أَخْرَجْنَا”.
  • Ia bukan makhluk asing yang datang dari langit, sebaliknya ia datang dari bumi seperti firman-Nya “مِّنَ الْأَرْضِ”.
Gambar sekadar hiasan

Sesungguhnya Dabbatul Ardh salah satu daripada tanda kiamat besar yang akan berlaku sebelum dunia kiamat. Sebahagian ulama’ menganggap kemunculan Dabbatul Ardh dengan izin Allah adalah salah satu daripada antara tanda-tanda akhir yang besar yang berlaku.

Kedatangan dan kemunculan Dabbatul Ardh memperihalkan dan berkata kepada manusia dengan pemisahan mereka yang beriman dan kufur. Justeru, sewajarnya kita imani dengan penuh keyakinan kepada Allah berkenaan dengan hari Akhirat dan tanda-tanda kiamat.

Kita sebagai umat yang terakhir dibangkit oleh Allah di dunia ini umpama waktu solat Asar hingga terbenamnya matahari. Itulah jarak kehampiran antara kita dengan Kiamat.

3 Comments

  1. Terima kasih atas perkongsian yang cukup bermanfaat ini akan tetapi ramai yang malas membaca, kisah kisah kiamat yg menyebabkan mereka dangkal tentang kiamat.

Comments are closed.

OTHER POSTS

Subscribe to Denaihati

Dapatkan artikel terkini terus dalam email anda!