5 perkara anak rindukan terhadap Ibu ayah

Spread the love

Assalamualaikum dan selamat sejahtera,

ANAK SENTIASA RINDU 5 PERKARA INI DARIPADA IBU AYAH

Dalam kesibukan kita menjalani kehidupan seharian, tidak dinafikan bahawa kadang-kala anak-anak kurang mendapat perhatian daripada kita sebagai ibu ayah mereka.

Bagi ibu ayah yang bekerja, kita hanya ada beberapa jam sahaja untuk meluangkan masa bersama anak-anak di rumah.

Bagi ibu ayah yang bekerja di rumah atau ibu yang tidak bekerja pula, kerja-kerja rumah yang tiada kesudahannya harus dilangsaikan setiap hari, di samping menguruskan anak-anak dan melakukan kerja-kerja sambilan (jika ada). Walaupun kita sentiasa berada di rumah, tidak bermakna kita dapat meluangkan masa 24 jam bersama anak-anak.

Jadi, tidak hairanlah jika anak-anak sentiasa merindui kita semua setiap hari.

Nak tahu apakah 5 perkara yang dirindui oleh anak-anak terhadap ibu ayah masing-masing?

Di sini, dikongsikan 5 perkara tersebut sebagai peringatan dan panduan kita bersama.

1) PELUKAN DAN CIUMAN

Buat anak-anak yang tinggal bersama ibu ayah, pastikan kita memberi pelukan dan ciuman buat mereka setiap hari.

Dengan pelukan dan ciuman daripada kita, mereka pasti dapat merasakan kasih sayang kita mengalir dalam diri mereka dan akan sentiasa rindu untuk dipeluk cium ibu ayah.

Kelak apabila mereka semakin dewasa dan berjauhan dengan kita, pasti kita pula yang akan merindui untuk memeluk dan memberi ciuman buat anak-anak.

2) MAIN BERSAMA

Dunia anak-anak adalah bermain. Oleh itu, sebagai ibu ayah, jadilah teman sepermainan mereka dan ‘enjoy’ bermain bersama mereka sementara mereka masih kecil ini.

Tatkala kita dilanda kesibukan, anak-anak pasti merindui waktu ketika mereka dapat bermain bersama kita dan ingin sekali bermain dengan kita.

Jadi, pastikan kita bermain dengan anak-anak setiap hari ya ibu ayah.

3) MEMBACA BUKU BERSAMA

Apabila ibu ayah membacakan buku buat anak-anak dengan penuh intonasi dan gaya yang menarik perhatian mereka, pastinya mereka akan rindu untuk kita membaca buku bersama mereka.

Anak-anak bukan sahaja memperoleh ilmu baru melalui buku tersebut, malah inilah masanya untuk anak-anak ‘bonding time’ dengan ibu ayah.

4) MAKAN BERSAMA

Waktu makan bersama adalah antara waktu yang dinanti-nantikan oleh anak-anak.

Apabila dapat makan bersama, makin berselera dibuatnya.

Lebih-lebih lagi apabila dapat makan setalam dengan ibu ayah dan saling menyuap antara satu sama lain. Ianya merupakan memori yang tidak dapat dilupakan dan dapat mengukuhkan lagi ikatan kasih sayang antara kita dengan anak-anak.

Kalau begini gayanya, anak-anak pasti akan sentiasa rindu untuk makan bersama dengan kita.

5) LUANGKAN MASA BERSAMA

Sesekali, ketepikan semua gajet dan berehatlah dengan meluangkan masa bersama anak-anak tanpa melakukan apa-apa perkara perkara.

Inilah masanya untuk mereka berbual dan bercerita tentang pelbagai perkara bagi melepaskan rindu terhadap ibu ayah.

Seronok juga bila sesekali dapat dengar anak-anak berceloteh, pasti kita dapat mengenali mereka dengan lebih dekat lagi dan mereka akan rindu untuk meluangkan masa bersama kita dengan cara sebegini.

Ketahuilah bahawa anak-anak sangat rindukan perhatian daripada kita setiap saat kerana bagi mereka, kita adalah dunia mereka.

Walau sesibuk mana pun kita, luangkan sedikit masa buat anak-anak. Sekurang-kurangnya, peruntukkan 15 minit waktu berkualiti setiap hari untuk melakukan perkara-perkara di atas bersama mereka.

Mudah-mudahan, dengan perhatian dan kasih sayang yang ikhlas daripada kita buat anak-anak, mereka akan sentiasa mendoakan kita di kala mereka merindui kita tidak kira di mana jua mereka berada.

Puan SuzyHoney


Spread the love

2 Comments

Comments are closed.

OTHER POSTS

Subscribe to Denaihati

Dapatkan artikel terkini terus dalam email anda!