TH umum agihan keuntungan 2023 sebanyak 3.10 peratus

Spread the love

Kuala Lumpur: Lembaga Tabung Haji (TH) mengumumkan agihan keuntungan selepas zakat sebanyak 3.1 peratus bagi tahun kewangan 2023, sama seperti kadar tahun kewangan sebelumnya.

Agihan keuntungan itu membabitkan jumlah agihan sebanyak RM2.72 bilion, berbanding RM2.65 bilion pada 2022.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, agihan itu akan memberi manfaat kepada lebih 9.15 juta pendeposit TH selepas mengambil kira bayaran zakat sebanyak 2.57 peratus.

Menurutnya, pendeposit boleh menyemak agihan keuntungan yang dikreditkan ke akaun masing-masing bermula semalam.

“Alhamdulillah, TH masih lagi dapat memberikan agihan keuntungan pada kadar 3.10 peratus, sama seperti tahun sebelumnya meskipun negara berdepan persekitaran yang mencabar tatkala ekonomi berkembang perlahan serata dunia.

“Prestasi TH pada tahun 2023 didorong oleh pelaburan patuh syariah di dalam instrumen pendapatan tetap yang menjana 52 peratus daripada jumlah pendapatan keseluruhan, manakala 24 peratus disumbang oleh pelaburan ekuiti.

“Pulangan daripada pelaburan hartanah dan pasaran wang juga menyumbang 24 peratus kepada jumlah pendapatan. Ini menjadikan jumlah terkumpul agihan keuntungan sejak penubuhan selama 60 tahun sebanyak RM42.9 bilion sehingga kini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media pengumuman agihan keuntungan TH tahun 2023, di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi TH Tan Sri Abdul Rashid Hussain dan Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Syed Hamadah Syed Othman.

Mohd Na’im berkata, TH juga akan melunaskan zakat RM101 juta kepada semua Majlis Agama Islam negeri bagi pihak pendeposit TH pada kadar 2.57 peratus untuk 2023.

Menurutnya, TH berharap dengan pelunasan zakat ini, secara langsung atau tidak langsung dapat membantu usaha kerajaan menoktahkan kemiskinan tegar di seluruh negara.

“Dengan pelunasan zakat ini, pendeposit tidak perlu lagi membayar zakat ke atas wang simpanan serta agihan keuntungan yang diterima. Sehingga kini TH melunaskan zakat berjumlah RM1.37 bilion bagi pihak pendeposit.

“Untuk makluman, TH menyantuni lebih 560,000 asnaf di seluruh negara pada 2023 melalui Program Zakat Wakalah di mana TH menjadi wakil kepada Majlis Agama Islam negeri untuk mengedarkan sendiri sebahagian daripada dana zakat ini kepada asnaf.

“Secara keseluruhannya, lebih 1.6 juta asnaf termasuk golongan miskin tegar menerima manfaat dari Program Zakat Wakalah Tabung Haji,” katanya.


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

OTHER POSTS

Subscribe to Denaihati

Dapatkan artikel terkini terus dalam email anda!