Assalamualaikum dan Salam 1Dunia, pasti ramai di antara kita yang tahu apa itu PTPTN. Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional atau singkatannya (PTPTN) telah ditubuhkan di bawah Akta Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional 1997 (Akta 566) yang mula berkuatkuasa pada 1 Julai 1997. Fungsi utama penubuhan perbadanan ini adalah untuk menguruskan pembiayaan kewangan dan pinjaman pelajaran pengajian tinggi kepada para siswa dan siswi yang sedang melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi awam dan swasta di Malaysia.
PTPTN merupakan kemudahan yang disediakan untuk membantu ramai graduan-graduan di Malaysia agar dapat melanjutkan pengajian mereka serta menamatkan pengajian tanpa masalah untuk menyelesaikan yuran setiap semester. Namun begitu, ada satu perkara yang perlu setiap graduan ambil berat, iaitu untuk membayar semula pinjaman yang telah dibuat.
Bayaran balik diperlukan untuk memastikan generasi seterusnya dapat menikmati pinjaman yang sama. Kita perlu tahu bahawa proses bayaran balik pinjaman ini akan memastikan dana yang dimiliki oleh pihak PTPTN akan sentiasa mencukupi untuk kegunaan bakal-bakal graduan yang alin. Sekiranya peminjam terdahulu liat nak bayar hutang, maka sudah tentu peminjam pada masa sekarang akan menghadapi masalah kerana kecukupan dana di PTPTN terjejas.
Kita sebagai peminjam perlulah mengambil sikap yang bertanggungjawab menyelesaikan hutang, jangan disebabkan kita telah berjaya mendapatkan segulung ijazah, kita mengambil sikap acuh tak acuh dalam proses pembayaran semula pinjaman yang telah dibuat. Sebagai umat Islam, kita perlu sentiasa ingat, hutang boleh menjadi asbab laluan kita ke syurga tersekat. Janganlah kita menyesal pula apabila telah meninggalkan dunia ini dan perlu menghadapi masalah hutang ini semasa timbangan dibuat kelak.
Antara inisiatif yang cuba diadakan untuk memberi kesedaran dan memastikan semua peminjam membuat bayaran semula adalah seperti:
- taklimat bersama Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), Bank Negara Malaysia kepada pelajar-pelajar tahun akhir di IPT.
- menyediakan pelbagai saluran pembayaran balik seperti di bank utama dan Pos Malaysia selain kaunter PTPTN.
- membuka 58 cawangan PTPTN di lokasi strategik di seluruh negara untuk kemudahan rundingan penyelesaian pinjaman, penjadualan semula pinjaman atau penangguhan bayaran balik.
Oleh yang demikian, langkah penyelesaian bagi semua peminjam sama ada yang telah disenaraikan dalam CCRIS atau belum ialah menjadi peminjam yang baik dengan memastikan bayaran bulanan adalah teratur mengikut Jadual Bayaran Balik.
Kadangkala berlaku juga sesuatu perkara seperti ansuran bulanan di luar kemampuan mungkin disebabkan pendapatan semasa yang kurang. Apabila perkara ini berlaku, maka peminjam perlu hadir ke mana-mana 58 pejabat PTPTN Negeri, Cawangan dan Kiosk untuk berunding. Semua maklumat lokasi dan waktu operasi dipaparkan di portal rasmi PTPTN.
Hutang tetap wajib dibayar, itulah realiti dan keperluannya. PTPTN menyediakan pelbagai penyelesaian kepada cara pembayaran untuk memudahkan peminjam. Lebih daripada 500 Eksekutif Pemasaran PTPTN boleh dihubungi pada bila-bila masa untuk mendapatkan khidmat nasihat dan membuat rundingan.
Apabila masalah berlaku dan perbincangan dilakukan, insyaALLAH akan ada penyelesaian yang akan dapat dicapai. Janganlah kita lari daripada menyelesaikan masalah, kerana sekiranya kita berbuat demikian, generasi akan datang yang akan menerima akibatnya, mungkin anak kita, cucu kita dan seumpamanya.
Selain itu, kita juga boleh membuat bayaran balik melalui ejen-ejen bank yang dilantik oleh PTPTN iaitu Bank Islam Malaysia Berhad, CIMB Bank, Bank Simpanan Nasional, Bank Rakyat dan Pos Malaysia Berhad. Sebanyak lebih daripada 3000 cawangan yang ada di seluruh Malaysia. Semua kemudahan ini diwujudkan untuk kemudahan para peminjam membuat bayaran balik dengan selesa.
Ingin saya kongsikan, terdapat juga saluran lain yang boleh kita gunakan untuk membuat bayaran balik pinjaman ini, antaranya adalah seperti berikut:
- Financial Processing Exchange (FPX) di portal rasmi PTPTN
- Kad ATM atau Kad Debit di kaunter-kaunter PTPTN
- Pengeluaran Akaun II KWSP
- Potongan Gaji
- Perbankan Internet
Isu pembayaran peminjam hutang PTPTN ini sering mendapat tumpuan dan liputan media massa termasuk di laman sesawang sosial media seperti Facebook dan Twitter. Kemudahan telah banyak disediakan untuk peminjam-peminjam membuat pembayaran balik dan sememangnya diharapkan mereka membuat langkah segera bagi memastikan rekod yang baik di dalam laporan kredit CCRIS.
Kepada semua peminjam-peminjam hutang PTPTN, inilah masanya untuk menyelesaikan hutang pinjaman yang dibuat pada masa terdahulu. Semoga dengan banyaknya ruangan, kemudahan dan cara pembayaran pinjaman ini akan menambahkan lagi kecukupan dana bagi PTPTN.
Usahlah kita hanya mementingkan diri kita sahaja, bersama-sama kita membantu bakal-bakal graduan akan datang untuk menikmati kemudahan pinjaman PTPTN seperti yang kita telah nikmati.
62 Comments
sadis betul bila tgk balance ptptn masih ada 5 angka. bila tah nak habis bayar
Curahan rasa nikkhazami @ ..Cara Mendapatkan Diskaun Ketika Shopping Online
jangan sekali kali cuba lari dari bayar hutang… apohal sekalipun kena usaha dengan lebih bijak lagi untuk terus langsaikan hutang ptptn tersebut…
Curahan rasa abdfatah @ ..Peritnya tatkala gaji kena potong dengan rakusnya…
Comments are closed.