Wasiat Rasulullah SAW; Solat Sunat Dhuha

Spread the love

Assalamualaikum dan selamat sejahtera,

Kita semua sudah sedia maklum tentang kelebihan menunaikan solat sunat Dhuha. Solat sunat Dhuha sering dikaitkan dengan amalan untuk mendapat rezeki yang luas dan dipermudahkan urusan harian.

Wasiat dan Sunnah Rasulullah SAW

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ أَوْصَانِي خَلِيلِي صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِثَلَاثٍ بِصِيَامِ ثَلَاثَةِ أَيَّامٍ مِنْ كُلِّ شَهْرٍ وَرَكْعَتَيْ الضُّحَى وَأَنْ أُوتِرَ قَبْلَ أَنْ أَرْقُدَ

Dari Abu Hurairah RA katanya; “Sahabat akrabku SAW mewasiatkan kepadaku untuk melakukan tiga perkara, berpuasa tiga hari setiap bulan, melaksanakan solat sunat dhuha dua rakaat, dan melakukan solat witir sebelum tidur.” (HR Muslim No: 1182) Status: Hadis Sahih

Rasulullah SAW telah meninggalkan wasiat agar dapat kita laksanakan. Antaranya:

  • Berpuasa sunat tiga hari setiap bulan
  • Melaksanakan solat sunat dhuha dua rakaat
  • Melakukan solat witir sebelum tidur

Ia dipanggil solat Dhuha kerana waktu yang dikhususkan untuk mengerjakan solat sunat ini ialah pada waktu Dhuha sahaja. Waktu Dhuha merujuk pada saat matahari telah naik lebih kurang setinggi sebatang galah, kira-kira 20 minit selepas terbit matahari. Waktu Dhuha berakhir apabila matahari berada tepat di tengah-tengah langit, kira-kira 9 minit sebelum masuk waktu Zohor.

Terdapat banyak manfaat dan kebaikan yang boleh diperolehi dengan mengamalkan solat Dhuha. Sebelum itu, apakah cara mudah dan betul untuk melaksanakan solat sunat Dhuha? Di sini kami kongsikan langkah-langkah mudah solat Dhuha berserta doa Dhuha sebagai panduan anda.

Bilangan rakaat

Solat Dhuha dilakukan dengan 2 rakaat untuk setiap kali solat, dan boleh diulang sehingga 6 kali solat (2 rakaat x 6 kali solat) = 12 rakaat setiap hari.

Lafaz Niat Solat Dhuha

Maksudnya: Sahaja aku solat sunat Dhuha dua rakaat kerana Allah Ta’ala.

Bacaan Dalam Solat

Dari segi rukun, tertib dan syarat sah solat, solat Dhuha adalah sama seperti solat wajib yang lain. Tiada penetapan khas untuk pembacaan surah bagi solat ini. Namun begitu, terdapat bacaan surah tertentu yang digalakkan oleh para ulama.

Untuk rakaat pertama, anda digalakkan untuk membaca Surah as-Shams dan pada rakaat kedua baca surah ad-Dhuha. Walau bagaimanapun, ini hanyalah galakkan. Terserah pada anda untuk membaca surah yang anda ingini. Bagi bacaan-bacaan lain pula seperti sujud, rukuk dan sebagainya, adalah sama seperti solat biasa.

Kelebihan Solat Dhuha

Umum mengetahui bahawa solat ini dikaitkan sebagai amalan yang dapat membuka pintu-pintu rezeki yang luas. Dengan mengamalkannya, seseorang itu akan memperolehi rezeki yang melimpah-ruah serta hati yang tenang.

Harus diingatkan di sini bahawa rezeki itu tidak semestinya datang dalam bentuk wang ringgit dan harta benda sahaja. Ia juga boleh datang dalam pelbagai bentuk seperti:

  • Dikurniakan kesihatan tubuh badan.
  • Rezeki yang mencukupi serta berkat.
  • Anak-anak yang soleh dan solehah.
  • Dapat mengerjakan ibadat umum dan ibadat khusus.
  • Dipermudahkan urusan dalam seharian kehidupan sebagai seorang Muslim.
  • Mendapat keampunan daripada Allah S.W.T.

Kita disarankan untuk mengamalkan solat sunat ini dalam kehidupan seharian kita. Pada awalnya mungkin anda berasa berat untuk melakukannya. Tetapi apabila ianya menjadi sebahagian dari rutin harian, anda pasti berasa nikmat dan seronok mengerjakannya. Semoga panduan ini dapat menjadi titik perubahan dalam kehidupan anda sebagai seorang Muslim yang sejati.

Selamat beramal!


Spread the love

One Comment

Comments are closed.

OTHER POSTS

Subscribe to Denaihati

Dapatkan artikel terkini terus dalam email anda!