Mat Kilau, Pahlawan Melayu Pahang Dicop Sebagai ‘Penderhaka’

Spread the love

Assalammualaikum dan salam sejahtera.

Mengimbau sejarah tanah air, saya tertarik dengan perjuangan seorang pahlawan melayu yang berasal dari Pulau Tawar, Jerantut, Pahang iaitu Mat Kilau Bin Imam Rasu @ Tok Gajah. Beliau lahir sekitar tahun 1847.

Mat Kilau merupakan salah seorang pahlawan Melayu yang kuat menentang penjajahan Inggeris di negeri Pahang pada akhir abad ke-19. Bersama ayahnya, Tok Gajah (Imam Rasu) dan pahlawan-pahlawan Pahang yang lain seperti Dato’ Bahaman dan Mat Kelubi.

Antara sebab utama mereka menentang penjajahan Inggeris di Pahang ialah campurtangan pihak Inggeris dalam pemerintahan
negeri Pahang.

<< Tempah Sekarang Qurban Murah di Lima Negara >>

Mat Kilau tidak hanya berjuang menentang penjajah di negeri kelahirannya, Pahang malah turut sama menyemarakkan semangat perjuangan bagi menebus maruah bangsa dan agama di negeri jiran iaitu Terengganu dan Kelantan.

Sejarah Perjuangan

Sekitar 1890-an, berlaku pemberontakan rakyat di Pahang yang marah dengan tindakan British mengambil alih tugas memungut cukai dan hasil daripada pembesar negeri yang dilantik. Antara yang menerima akibat daripada campur tangan pentadbiran British di Pahang adalah pembesar negeri iaitu Tok Gajah dan Datuk Bahaman.

Kesan daripada itu, bermula siri pemberontakan di kalangan pembesar negeri hingga mengakibatkan mereka diburu British kerana menentang penjajah. Rentetan daripada peristiwa itu, British mengisytiharkan perang terhadap beberapa pembesar Pahang dan mengarahkan mereka ditangkap serta dihukum.

Bagaimanapun, Mat Kilau dan beberapa pembesar lain berjaya melarikan diri dan menyebarkan semangat perjuangan menentang penjajahan di negeri jiran iaitu Kelantan dan Terengganu.

Penentangan Mat Kilau yang berterusan terhadap British menyebabkan dia menjadi orang buruan yang paling dikehendaki dan dicop sebagai penderhaka oleh Inggeris menyebabkan beliau mengasingkan diri dan hidup berpindah randah dari satu tempat ke satu tempat.

Berita Kematian Mat Kilau

Pada Oktober 1895, laporan akhbar Inggeris, The Free Press yang diterbitkan di Singapura, menyatakan bahawa Mat Kilau yang melawan ketika ditangkap cedera pada muka dan kepala.

Kecederaannya dilaporkan parah dan dia mati dalam perjalanan ke hilir Kota Bahru disebabkan kehilangan darah yang banyak. Dengan tersiarnya berita kematian Mat Kilau oleh akhbar The Free Press keluaran 22 Oktober 1895, maka tamatlah riwayat pahlawan Melayu tersebut.

‘Jenazah’ beliau telah ‘dikebumikan’ di Kampung Bunut Payung, Kota Bharu, Kelantan pada tahun 1895.

Namun apa yang sebenarnya berlaku tidak diketahui kecuali beberapa orang sahabatnya seperti Mustafa Awang Mat (Jusoh Rimau), Pendekar Tok Dermali, Raja Ibrahim (Pak Him) dan Mat Kelantan.

Kemunculan Semula Mat Kilau Daripada ‘Mati’

Disebabkan Mat Kilau dilabel sebagai ‘Penderhaka’ dan disahkan mati oleh Inggeris, beliau mengasingkan diri dan bermastautin di Batu 5, Jalan Kuantan-Gambang.

Mat Kilau terpaksa menukar namanya beberapa kali dan akhirnya menggunakan nama Mat Siam.

Pada 26 Disember 1969, negara digemparkan dengan kemunculan seorang lelaki tua yang mengumumkan bahawa dirinya adalah Mat Kilau di dalam sebuah masjid di Kampung Pulau Tawar, Jerantut, Pahang, selepas solat Jumaat.

Pengakuan tersebut tersebar dengan begitu cepat ke seluruh negara melalui berita di dada-dada akhbar dan mendapat perhatian ramai pihak termasuklah kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri Pahang sendiri.

Menteri Besar negeri Pahang ketika itu, Tan Sri Hj. Yahya bin Mohd. Seth bersama rombongan beliau melawat sendiri lelaki tersebut di rumahnya dan kerajaan Pahang menubuhkan sebuah jawatankuasa untuk menyiasat.

Beberapa hari selepas mesyuarat pertama jawatankuasa tersebut, tahap
kesihatan Mat Kilau tiba-tiba merosot yang menyebabkan beliau tidak boleh bercakap dengan cara yang boleh difahami umum dan pergerakannya menjadi terbatas.

Dikatakan perkara tersebut berlaku kerana Mat Kilau telah melanggar
sumpah yang dibuat bersama-sama rakan seperjuangannya supaya tidak
mendedahkan identiti dan kisah mereka kepada umum.

Malangnya sepuluh hari selepas pengisytiharaan tersebut iaitu pada 16 Ogos 1970, jam 6:45 pagi, Mat Kilau meninggal dunia dan dikebumikan di tanah air kelahirannya, Kampung Pulau Tawar, Jerantut kerana sakit tua.

Amanat terakhirnya kepada kaum keluarganya ialah

“Jagalah nama baik bangsa dan negara.”

Wallahua’alam.


Spread the love

One Comment

Comments are closed.

OTHER POSTS

Subscribe to Denaihati

Dapatkan artikel terkini terus dalam email anda!