Ganjaran puasa enam di bulan Syawal sama seperti berpuasa setahun

Spread the love

Kita sering mendengar amalan yang paling utama yang perlu dilakukan setelah selesainya Ramadan ialah dengan berpuasa enam hari dalam bulan Syawal.

Ramai dalam kalangan kita yang mula merebut peluang untuk melaksanakan puasa Syawal ini dek bimbang jika rugi akibat ketinggalan dalam ibadah ini.

Ada yang melakukannya secara berturut-turut dan ada juga yang berselang-seli ditambah juga dengan disekalikan puasa ganti. Semua itu adalah dibenarkan dalam ibadah dan tidak menjadi kesalahan, asalkan niat yang ditanam itu betul, iaitu kerana Allah Ta’ala.

Namun, dalam kita beribadah, pastinya kita ingin mengetahui apa kelebihan dan ganjaran yang diperoleh. Rata-rata daripada kita pasti akan mempersoalkannya kerana tidak ingin beribadah secara membuta tuli.

Fadilat dan kelebihan mengerjakan puasa enam ini adalah sangat besar dan istimewa. Antara kelebihannya adalah;

1 Mendapat Pahala Puasa Setahun

Umat Nabi Muhammad SAW umurnya pendek-pendek, berbeza dengan umat Nabi Adam yang berumur lebih daripada 1000 tahun.

Justeru, kebanyakan ganjaran terhadap ibadah yang Allah berikan kepada umat Nabi Muhammad adalah berganda-ganda lipatnya bagi memberi ruang kepada mereka untuk merebut pahala.

Begitu juga dengan puasa sunat enam Syawal. Pahala puasanya adalah diibaratkan seperti anda telah berpuasa selama setahun.

Bayangkan betapa pemurahnya Allah. Anda hanya ‘bekerja’ selama enam hari, namun ‘gaji’ yang diberikan adalah untuk setahun.

Maksud: “Barangsiapa yang berpuasa Ramadan kemudian berpuasa enam hari di bulan Syawal, maka dia berpuasa seperti setahun penuh.” (Hadis Riwayat Muslim, no. 1164)

2 Membuktikan Ibadah Puasa Itu Bukan Semusim Sahaja

Berpuasa pada bulan Ramadan merupakan antara amalan wajib umat Islam yang perlu dilakukan. Tidak boleh ditinggalkan melainkan dengan asbab yang munasabah seperti sakit, uzur dan sebagainya.

Namun, puasa itu bukan sahaja perlu dilakukan dalam bulan Ramadan, bahkan perlu diteruskan dalam bulan-bulan lain juga.

Ibadah puasa itu bukan semusim sahaja. Allah telah memasukkan kita ke dalam madrasah Ramadan bagi mendidik hati kita agar terbiasa dengan berpuasa agar ia dapat diteruskan dalam bulan-bulan lain.

Justeru, apabila tamatnya puasa Ramadan, umat Islam disunatkan berpuasa enam hari dalam bulan Syawal. Kemudian, apabila hati sudah terbiasa dengan puasa, maka bolehlah pula perlahan-lahan mengamalkan puasa sunat yang lain seperti Puasa Hari Putih atau puasa Isnin dan Khamis.

Maksud: “Seburuk-buruk orang adalah yang hanya rajin ibadah pada bulan Ramadan sahaja. Sesungguhnya orang yang soleh adalah orang yang ibadah dan rajin solat malam pada sepanjang tahun. Ibadah bukan hanya pada bulan Ramadan, Rejab atau Syaaban sahaja.” (Asy-Syibliy)

3 Menunjukkan Bukti Syukur

Bersyukur itu bukan sahaja apabila manusia itu mendapatkan nikmat, namun sepanjang masa. Bersyukur apabila diberi ujian, bersyukur apabila telah selesai melakukan ibadah dan bersyukur apabila diberi peluang untuk hidup sehari bagi beramal denganNya.

Justeru, melakukan puasa sunat enam Syawal juga merupakan salah satu tanda penghargaan dan syukur kepada Allah yang telah memberikan peluang kepada kita untuk meraikan Syawal.

Mafhum: “Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya dan supaya kamu bersyukur.” (Surah Baqarah, 2:185)

Baca juga: 4 kelebihan puasa enam yang perlu anda tahu

Kesimpulan

Segala amal ibadah yang Allah tetapkan kepada hambaNya bukanlah disuruh secara sengaja atau sia-sia. Semuanya mempunyai asbab dan ganjaran yang tersendiri.

Maka, rugilah jika seseorang hamba itu mengabaikan peluang dan ruang yang telah Allah berikan tanpa mengambil sedikit pun apa yang Allah telah sediakan.

Sumber: Tzrkh


Spread the love
OTHER POSTS

Subscribe to Denaihati

Dapatkan artikel terkini terus dalam email anda!