Antara Berniaga Dan Solat Tarawih

Spread the love

Assalammualaikum dan salam Ramadan.

Allah SWT berfirman di dalam surah Al-Kahfi (18;7) yang bermaksud :

“Sesungguhnya Kami telah jadikan apa yang ada di muka bumi sebagai perhiasan baginya, kerana kamu hendak menguji mereka, siapakah di antaranya yang lebih baik amalannya”

Islam tidak pernah melarang umatnya untuk bekerja mencari rezeki yang halal bahkan ia adalah suatu kewajipan yang dituntut bagi meneruskan kelangsungan hidup.

Menurut pandangan ulama, bekerja di dalam Islam merupakan sebuah usaha yang dilakukan dengan serius dengan cara berfikir dan juga berusaha. Contohnya jika dalam urusan berniaga, seseorang itu perlu mengeluarkan aset sebagai modal untuk mendapatkan keuntungan. Mereka sedaya upaya berusaha meletakkan diri sebagai masyarakat yang paling baik dan bersungguh-sungguh dalam mencari rezeki.

Dalam Islam, bekerja mencari rezeki adalah perkara yang sangat digalakkan dan ia dianggap sebagai ibadah kerana merupakan bukti pengabdian serta meluahkan rasa syukur terhadap Allah untuk menjadi muslim yang baik. Ini adalah berdasarkan kalam Allah menerusi surah Al-Kahfi di atas.

Malah, pada zaman Rasulullah SAW juga, baginda sentiasa berniaga bagi mencari rezeki yang halal untuk dirinya hatta sehingga baginda sudah berumah tangga. Baginda tetap keluar untuk mencari rezeki tanpa mengabaikan ibadah yang dituntut.

Baginda tidak pernah melarang umatnya bekerja melainkan jika telah sampainya waktu solat fardhu, baginda akan mengerahkan semua untuk meninggalkan kerja dan bersedia untuk menghadap tuhan.

Mana yang lagi penting samada berniaga atau tarawaih ?

Mari kita renungkan hadis Rasulullah SAW, yang bermaksud

“Setiap amal yang dilakukan anak Adam akan dilipat gandakan. Satu kebaikan dilipat gandakan menjadi sepuluh sampai tujuh ratus kali lipat. Lalu Allah SWT berfirman: “Kecuali puasa. Sesungguhnya puasa itu untuk-Ku dan Aku lah yang memberikan ganjarannya. Orang yang berpuasa meninggalkan syahwat dan makannya demi Aku semata.”

(Hadis Riwayat Muslim)

Kita tidak boleh menghalang umat Islam untuk mencari rezeki. Manakala, umat Islam pula perlu bijak mengurus masa sendiri untuk menunaikan ibadah dan mencari rezeki.

Solat tarawih itu merupakah ibadah sunat, manakala mencari rezeki itu merupakan suatu kewajipan yang perlu dilaksanakan. Oleh itu, umat Islam perlu bijak dalam menangani hal ini.

Umat Islam digalakkan bertebaran di muka bumi untuk mencari rezeki yang halal yang telah diberikan oleh Allah tanpa mengabaikan kewajipan lain yang telah ditetapkan.

Namun, jika terjadinya persoalan seperti ini, sama ada untuk berniaga atau melaksanakan ibadah sunat atau sama ada bekerja atau solat sunat, kita perlu melihat pada keadaan kita sendiri.

Kerja itu merupakan amanah yang perlu dilakukan apabila telah diberi kepercayaan. Oleh itu, kita perlu bijak dan pandai dalam menguruskan masa.

Melalui firman Allah SWT yang berbunyi:

فَإِذَا قُضِيَتِ الصَّلَاةُ فَانتَشِرُوا فِي الْأَرْضِ وَابْتَغُوا مِن فَضْلِ اللَّـهِ وَاذْكُرُوا اللَّـهَ كَثِيرًا لَّعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

Mafhum: “Kemudian setelah selesai sembahyang, maka bertebaranlah kamu di muka bumi (untuk menjalankan urusan masing-masing), dan carilah apa yang kamu hajati dari limpah kurnia Allah, serta ingatlah akan Allah, banyak-banyak (dalam segala keadaan), supaya kamu berjaya (di dunia dan di akhirat).” (Surah Al-Jumu’a, 62:10)

Wallahu’alam. Dah baca? Klik share 🙂


Spread the love
OTHER POSTS

Subscribe to Denaihati

Dapatkan artikel terkini terus dalam email anda!