Bulan Ramadhan Yang Dinanti : Lafaz niat puasa Ramadan dan doa berbuka puasa
Assalammualaikum dan salam syaaban.
Lagi beberapa hari sahaja umat Islam bakal menyambut bulan Ramadhan bagi tahun 2020. Dan Ramadhan tahun ini mungkin berbeza suasananya berbanding tahun-tahun sebelumnya dek kerana pendamik Covid-19.
Tetapi tu tidak menghalang kita sebagai umat Islam untuk terus melakukan ibadah puasa dan ibadah-ibadah yang lain. Kerana puasa merupakan rukun Islam yang keempat dan wajib dilaksanakan oleh setiap umat Islam yang cukup syarat.

Tuntutan menunaikan ibadah puasa telah termaktub dalam Al-Quran sebagaimana firman Allah SWT dalam Surah Al-Baqarah: Ayat 183 yang bermaksud:
Wahai orang-orang yang beriman telah diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana telah diwajibkan ke atas umat-umat yang sebelum kamu semoga kamu menjadi orang-orang yang bertaqwa”.
Umat Islam di Malaysia akan mula menunaikan ibadah puasa di bulan Ramadhan mulai hari Jumaat, 24 April 2020M bersamaan 1 Ramadhan 1441 Hijrah.
Sudahkah anda menyiapkan persiapan secukupnya untuk bulan Ramadhan yang akan datang?
Masihkah anda ingat info penting tentang bulan Ramadhan?
Jom kita imbas kembali beberapa panduan berguna untuk menghadapi bulan Ramadhan yang bakal menjelang.
1. NIAT PUASA
Lafaz niat untuk berpuasa boleh dilakukan samaada setiap hari ataupun niat hanya sekali untuk berpuasa selama sebulan.
- Niat puasa untuk setiap hari
نَوَيْتُ صَوْمَ غَدٍ أَنْ أَدَاءِ فَرْضِ رَمَضَانَ هَذِهِ السَّنَةِ لِلَّهِ تَعَالَى
Nawaitu Souma Ghadin ‘An Ada-‘i, Fardhi Syahri Ramadhana Hazihis Sanati Lil’lahi Ta’ala
Maksudnya : Sahaja aku puasa esok hari pada bulan Ramadhan tahun ini kerana Allah Ta’ala
- Niat puasa untuk sebulan
نَوَيْتُ صَوْمَ شَهْرِ رَمَضَانَ كلِّهِ لِلَّهِ تَعَالَى
Nawaitu Souma Syahri Ramadhana Kul’lihi Lil’lahi Ta’ala
Maksudnya: Sahaja aku berpuasa keseluruhan pada bulan Ramadhan tahun ini kerana Allah Ta’ala
2. DOA BERBUKA PUASA
Berdoa ketika hendak berbuka puasa sangatlah penting. Doa ini menunjukkan kesyukuran kita kepada ALLAH SWT kerana kita telah berjaya menunaikan puasa pada hari tersebut.
Jadi, mari belajar doa berbuka puasa.
اللهم لك صمت وبك آمنت وعلى رزقك أفطرت برحمتك ياأرحم الراحمين
Allahumma laka shumtu wa bika amantu wa‘alaa rizqika afthartu birahmatika yaa arhamarroohimiin
Maksudnya: Ya Allah, bagi Engkau aku berpuasa dan dengan Engkau aku beriman, dengan rezeki Engkau aku berbuka, dengan rahmat Engkau wahai yang Maha Pengasih dan Penyayang

Baca : Kisah 10 hari terakhir Ramadan, pecutan untuk bekalan akhirat berkali ganda
Mudah-mudahan setiap amalan yang dilakukan sepanjang bulan Ramadan nanti akan diterima oleh Allah SWT.
Firman Allah SWT dalam Al-Quran bermaksud:
Oleh itu, sesiapa yang percaya dan berharap akan pertemuan dengan Tuhannya, hendaklah dia mengerjakan amal yang soleh dan janganlah dia mempersekutukan sesiapapun dalam ibadatnya kepada Tuhannya.”
(Surah al-Kahfi, ayat 110)
Nanti kita sambung entry perkara yang membatalkan puasa. Semoga bermanfaat. Jangan lupa share 🙂
Baca : Cara angkasawan Muslim solat dan puasa di angkasa
