Tiga Waktu Mustajabnya Doa Di Bulan Ramadan

Spread the love

Bulan Ramadan merupakan bulan yang ditunggu-tunggu oleh kerana banyaknya manfaat, ganjaran dan kelebihan yang ada padanya.

Ada yang cuba menghidupkan Ramadan dengan khatam Al-Quran, tadarrus dan memahami ayat di sebaliknya, bangun solat malam dan sebagainya.

Namun, ramai yang lupa bahawa sekecil-kecil amalan yang boleh dilakukan ialah dengan memanjatkan banyak doa kepada Allah.

Baca : Doa Sewaktu Bersujud dan Keistimewaannya

Doa orang yang berpuasa di bulan Ramadan ini sangat mustajab. Boleh jadi Allah tidak mengabulkannya sekarang, namun mungkin akan disimpan dan dikabulkan pada masa yang akan datang.

Doa itu sendiri merupakan senjata bagi orang-orang mukmin. Ia merupakan sebuah bentuk pengharapan seorang hamba kepada penciptanya sekali gus membuktikan ketidaksombongan kita kepada Allah.

Ambil masa sejenak setiap kali selepas solat untuk berdoa. Mintalah apa sahaja yang dihajati selagi ia tidak melanggar hukum dan adat, maka anda dibenarkan untuk berdoa apa sahaja kepadaNya.

Namun, tahukah anda terdapat tiga waktu utama mustajab doa di bulan Ramadan ini? Hal ini ada diriwayatkan dalam beberapa hadis sahih.

1 – Ketika Bersahur

“Dari Abu Hurairah RA, Nabi SAW bersabda – “Tuhan kita telah turun ke langit dunia ketika tersisa sepertiga malam terakhir. Lantas, Allah berfirman: “Siapa sahaja yang berdoa kepadaKu, maka akan Aku kabulkan. Siapa yang meminta kepadaKu, maka akan Aku beri. Siapa yang meminta ampunan kepadaKu, maka akan Aku ampuni.” 

(Hadis Riwayat Bukhari, no. 1145)

2 – Ketika Berpuasa

“Dari Abu Hurairah RA, Baginda SAW pernah bersabda – “Tiga orang yang doanya tidak tertolak, iaitu doa orang yang berpuasa sehingga dia berbuka, pemimpin yang adil dan orang yang dizalimi.” 

(Hadis Riwayat Ahmad, 2:305)

3 – Ketika Berbuka Puasa

“Ada tiga orang yang doanya tidak ditolak, iaitu pemimpin yang adil, orang yang berpuasa ketika dia berbuka dan doa orang yang terzalimi.” 

(Hadis Riwayat Tirmizi, no. 2526)

Baca : Dahsyatnya Doa Sebelum Berbuka

Justeru, jangan malu untuk berdoa kepadaNya. Walaupun Allah sudah mengetahui apa yang tersirat di hati anda, namun doa merupakan salah satu cara untuk menzahirkannya.

Rebutlah peluang untuk berdoa di bulan puasa ini pada waktu-waktu mustajab doa ini. Sesungguhnya doa orang yang berpuasa ini makbul.

Wallahu a’alam.

Sumber : tazkirah.com

Baca : Teruskan Berdoa Kerana Itu Adalah Senjata Umat Islam


Spread the love

2 Comments

Comments are closed.

OTHER POSTS

Subscribe to Denaihati

Dapatkan artikel terkini terus dalam email anda!