Doa Kami Bertemu di Mina

Assalamualaikum dan Salam 1Dunia, Aziah Yunus seorang kakak yang banyak memberi motivasi ketika aku mula menjejaki kaki di UKM. Beliau kawin awal selepas mendapat ijazah sarjana muda dietitian dan terus hilang daripada radar kehidupan. Di takdirkan ALLAH kami bertemu semula di dunia siber tetapi belum ada rezeki bertemu secara fizikal walaupun duduk selang tiga baris dalam pesawat sekembali dari Saudi. Rupanya sekarang beliau sudah jadi Kaunselor berdaftar dan paling menarik jadi Human Inspirator. Aku pun nak menjadi human inspirator … kalau boleh.

Ini kisah Kakak Aziah semasa mengerjakan haji baru-baru ini …

pemandangan Mina 2015

Waktu mula sampai ke Mekah dan selepas melakukan Tawaf quddum, dalam solat sunat saya memohon banyak doa dari Allah. Antaranya memohon agar diri diberi kesempatan membantu orang semasa menunaikan haji ini.

Alhamdulillah banyak peluang yang Allah beri untuk membantu orang. Tetapi ada satu peristiwa yang sangat menyentuh hati ini.

Setelah berbincang dengan suami di Mekah, suami mengambil keputusan untuk membuat Nafar awal. Nafar awal bermakna kami akan beredar awal meninggalkan Mina. Bermalam hanya 2 malam dan melontar dua hari iaitu 11 dan 12 Zulhijjah. Kemudian kami akan terus pulang ke Mekah untuk melengkapkan rukun haji.

Beberapa hari sebelumnya telah diberitahu ketua rombongan bahawa jemaah yang ingin melakukan Nafar awal akan pergi melontar pagi selepas subuh kerana bas akan sampai untuk membawa kami pulang ke Mekah jam 8 pagi nanti. Jemaah yang lain akan melontar pada jam 10 malam sebagaimana yang telah diaturkan oleh pihak Tabung Haji bagi kumpulan kami.

Hampir 120 orang daripada lebih 400 orang Jemaah kumpulan kami mengambil keputusan untuk membuat Nafar awal. Pada pagi tanggal 12 Zulhijjah, sebaik selepas subuh, saya terus bersedia menunggu di luar pagar maktab untuk melakukan lontaran di ketiga jamrah. Pagi itu lama saya menunggu tapi suami tidak kelihatan.

Apabila saya bertanya di khemah suami, dia juga tiada. Saya mengagak yang suami sedang bertapa di bilik air sebagaimana kebiasaannya.

Saya menunggu semula di pagar Maktab. Tetapi kali ini, semasa menunggu, saya melihat seorang kakak keluar ke pagar dengan wajah yang kelihatan sedikit gusar. Saya terus bertanya kepada kakak itu,

“Akak dengan siapa?” Jawab kakak, “Sorang, suami tidak sihat.”

Saya dengan spontan tanpa berfikir panjang terus mencapai tangan kak Bi (nama panggilan yang kakak beri) dan berkata kepada beliau. “Akak pergi melontar dengan saya. Kita pergi sama-sama.”

Dalam hati terdetik, alamak tak minta kebenaran suami lagi. Tapi suami yang saya kenali memang tidak akan membantah keputusan yang saya buat ini.

tempat melontar di Mina

Rombongan Jemaah kami mula bergerak ke Jamrah tanpa diiringi oleh petugas kumpulan haji kami. Memang travel agency ini punya jumlah petugas yang sedikit berbanding dengan jumlah Jemaah yang mereka jaga.

Semasa berjalan, kak Bi meminta saya dapat menunggunya sebentar ketika melontar kerana dia perlu melontar untuk suaminya yang sakit. Permintaan itu bukan satu masalah buat saya.

Satu setengah jam kami ambil untuk melaksanakan lontaran di ketiga-tiga jamrah. Saat hampir tiba di maktab, Kak Bi bercerita yang suaminya kaki melepuh kerana banyak berjalan. Apabila suami Kak Bi berjalan kaki kembali ke Mekah selepas lontaran yang pertama kerana beliau ingin cepat melakukan tawaf dan saie haji, kakinya menjadi teruk. Suami kak Bi pula menghidap kencing manis, luka yang sedikit cepat menjadi teruk dan beliau terpaksa dimasukkan ke hospital.

Awal pagi 12 Zulhijjah itu, kak Bi bangun melakukan solat tahajjud dan solat hajat agar urusan melontarnya pagi itu dipermudahkan Allah. Dan kak Bi berkata yang beliau merasa sangat bersyukur bahawa sebaik keluar pagar maktab, kami bertemu dan seterusnya bersama melaksanakan lontaran di jamrah.

MasyaAllah. Saya merasa sangat hiba waktu itu. Saya memohon agar diberi peluang untuk membantu manakala Kak Bi memohon untuk dibantu.

Menangis saya di khemah. . Doa kami bertemu di Mina.

Pengalaman haji tahun 2015

Aziah Yunus
Kaunselor berdaftar dan Human Inspirator

93 Comments

  1. Haji dan Umrah, kedua-duanya hanya wajib sekali saja seumur hidup dan sunat dikerjakan berulang-ulang kali. Perbezaan jelas antara kedua-duanya ialah haji hanya boleh dikerjakan dalam bulan haji iaitu mulai 1 Syawal hingga naik fajar hari 10 Zulhijah.
    Curahan rasa Supernifz @ ..3 VITAMIN UNTUK KEKAL SIHATMy Profile

Comments are closed.

OTHER POSTS

Subscribe to Denaihati

Dapatkan artikel terkini terus dalam email anda!