Budget Malaysia 2011 satu cadangan
Assalamualaikum dan salam 1Dunia, dah lama aku nak mencadangkan sesuatu kepada DS Najib Razak melalui blognya untuk Budget Malaysia 2011 tetapi tiada kesempatan. Aku mengambil peluang di hari pembentangan Budget Malaysia 2011 untuk mencadangkan suatu perkara yang penting dan menentukan survival Malaysia untuk generasi masa depan. Entri ini akan aku tweet dan pautkan terus ke blog DS Najib Razak manakan tahu akan diambil perhatian.
Aku mencadang supaya GAJI MINIMUM DITINGKATKAN untuk semua sektor buruh seperti pekerja ladang, pembuat bangunan, pekerja kilang dan sebagainya yang sekarang dikuasai oleh warga asing dengan izin dan tanpa izin yang majoritinya daripada Indonesia, Bangladesh, Nepal, Vietnam dan beberapa negara lain. Majoriti rakyat Malaysia tidak mahu bekerja dalam sektor ini kerana gajinya yang agak rendah dan tak kurang juga ramai yang lebih rela menganggur daripada bekerja.
Implikasi daripada penguasaan sektor buruh oleh warga asing adalah akan menyebabkan skil sebagai buruh akan hilaang daripada rakyat Malaysia. Sekarang mungkin majikan mampu membayar gaji kepada warga asing kerana ekonomi negara masih baik. Apa berlaku seandainya ekonomi kita jatuh teruk dan tidak mampu membayar gaji warga asing, sudah pasti warga asing ini akan berduyun-duyun keluar daripada Malaysia mencari rezeki di negara lain. Apabila keadaan ini berlaku maka Malaysia akan ditinggalkan dengan rakyat yang sudah hilang skil sebagai buruh dan ini sudah pasti akan menyebabkan ekonomi Malaysia akan menjadi lebih parah. Lihat sekarang berapa ramai rakyat Malaysia yang ada skil memetik kelapa sawit, membancuh simen, membuat bagunan dan lain-lain perkerjaan buruh.
Implikasi kedua dengan apa yang berlaku sekarang adalah berbillion Ringgit Malaysia mengalir keluar negara ke negara asal pekerja warga asing.
Dengan menetapkan gaji minimum yang lebih tinggi untuk sektor buruh akan menarik minat rakyat Malaysia kembali bekerja dalam sektor buruh. Apabila rakyat Malaysia terus berada dalam sektor buruh maka kita tidak risau seandainya Malaysia ditinggalkan oleh pekerja warga asing kerana skil sebagai buruh masih ada di kalangan rakyat Malaysia. Yang lebih penting Ringgit Malaysia tidak akan mengalir ke negara luar. Pekerja buruh rakyat Malaysia yang mendapat pendapatan yang lebih tinggi sudah pasti akan berbelanja di dalam negara. Perbelanjaan ini sudah pasti akan mengerakkan ekonomi negara terutama dalam sektor peruncitan.
Sememangnya Malaysia menuju negara Maju dan negara berpendapatan tinggi tetapi ini bukan bermakna 20 – 30 tahun akan datang Malaysia sudah tidak ada ladang sawit, sawah padi, ladang getah dan projek pembangunan. Adakah kita akan terus bergantung harap dengan pekerja warga asing yang majoritinya tak pernah merasa terima kasih pun.
Budget Malaysia 2011 satu cadangan dari aku rakyat kecil semuga kerajaan di bawah pimpinan DS Najib Razak mengambil perhatian isu ini yang kelihatan kecil tetapi akan menentukan survival Malaysia.
BERAPA AGAKNYA GAJI MINIMUM YANG PALING SESUAI UNTUK PEKERJA BURUH MALAYSIA???

