Belum Rezeki Dikurniakan Cahaya Mata? Lakukan 7 Saranan Ini

Spread the love

Assalammualaikum dan salam sejahtera.

Setiap pasangan yang bernikah sudah pasti menginginkan kehadiran cahaya mata sebagai penyeri rumahtangga, penyambung keturunan dan meramaikan umat Nabi Muhammad SAW. Sesungguhnya itulah matlamat berkahwin pada asalnya.

Namun, setiap rezeki itu ditentukan oleh Allah SWT. Ada yang berkahwin bertahun-tahun pun namun masih belum dikurniakan rezeki itu. Ada pula yang berkahwin tidak lama sudah dikurniakan cahaya mata, begitulah manusia yang rezekinya berbeza-beza.

Isu lambat memperoleh cahaya mata ini sedikit sebanyak memberi kesan emosi kepada pasangan. Jadi bagi pasangan yang mengharapkan kehadiran cahaya mata boleh mencuba beberapa saranan ini:

1 – Bersangka Baik Kepada Allah SWT

Sebagai seorang hamba yang tiada apa-apa dan begitu naif, bersangka baiklah kepada Allah. Sesungguhnya Allah SWT Maha Baik yang memberikan kita segalanya. Bahkan dia lebih tahu waktu yang tepat untuk mengurniakan kita cahaya mata.

2 – Jangan Bersedih Dan Kecewa

Malahan jangan terlalu banyak mempersoalkan kenapa masih belum diberikan anak. Jangan terlalu menfokuskan sebab dan kesalahan diri tidak dikurniakan anugerah anak, tetapi teruslah berusaha dan berdoa.

Sudah tentu ada perasaan sedih, rendah diri, emosi dan mudah tersentuh apatah lagi jika ditanya ‘bila mahu ada anak?’ atau ‘belum punya anakkah?’ atau beberapa soalan lain seumpamanya. Walaupun sedih tapi berusahalah untuk memujuk hati agar reda dan positif.

Selain itu, jawablah setiap pertanyaan dengan baik, dan mohonlah agar mereka mendoakan kita dikurniakan rezeki zuriat. Walaupun susah, berusahalah untuk menunjukkan kita baik-baik sahaja dan tidak putus asa dengan rezeki Tuhan. Perkara terpenting adalah jangan merungut dengan rezeki yang belum tiba itu.

Orang sekeliling juga janganlah mengulang tanya soalan yang sama kerana hal berkenaan anak bukanlah dalam pengetahuan kita sebagai manusia yang serba lemah.

Baca : Allah Turunkan Ujian Dalam Pelbagai Bentuk Dan Waktu Yang Berbeza

3 – Berlapang Dada Dan Sabar

Tidak semestinya tanpa kehadiran anak kita tidak dapat hidup dengan bahagia. Bahagiakan hati dengan menerima dan bersama-sama dengan setiap orang di sekeliling kita, suami, ibubapa, adik beradik anak-anak saudara dan kawan-kawan.

Gunakan masa sebelum kehadiran anak ini dengan sebaikanya, menyertai persatuan, usrah, melakukan kerja kebajikan, bercuti, pergi ke kelas menjahit dan buat aktiviti yang disukai dan lain-lain.

4 – Berusaha Dan Tidak Putus Asa

Teruskanlah usaha bersungguh-sungguh dan jangan berputus asa. Ambillah iktibar daripada kenalan yang pernah menghadapi pengalaman yang sama.

Ini kerana ada dalam kalangan kita, pasangan yang telah berkahwin selama 20 tahun dan barulah diberikan rezeki mendapat anak. Allah SWT jadikan setiap sesuatu dengan beribu hikmah.

Usaha ini boleh dilakukan melalui pelbagai aspek, antaranya melalui pemakanan. Makanlah makananan sunnah, seperti kurma, madu, kismis, buah tin dan banyak lagi.

Selain itu, pasangan yang idamkan zuriat juga dianjurkan untuk mengamalkan bacaan surah Ibrahim ayat 40, surah Furqan ayat 74 dan surah al-Anbia’ setiap hari.

Selain itu, jika perlu, lakukan pemeriksaan kesihatan dan ikutlah nasihat doktor. Lakukanlah bersama-sama pasangan sebagai langkah usaha. Lalu terimalah dengan reda jika ada kekurangan pada pasangan. Penting untuk suami dan isteri sama-sama berusaha, jangan hanya sebelah pihak sahaja.

Baca : Lelaki Mahu Poligami, Adakah Keluarga Boleh Halang ?

5 – Banyakkan Berdoa Dan Bersyukur

Dengan itu, janganlah berhenti untuk mengamalkan sujud syukur atas segala rezeki-Nya selama ini.

Dan (ingatlah juga), tatkala Rabbmu memaklumkan; “Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu, dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih (Surah Ibrahim ayat 7)

Banyakkan berdoa, beristighfar dan amalan solat taubat agar diampunkan segala dosa di samping memohon kepada Allah SWT agar dikurniakan zuriat. Paling baik, mohonlah orang lain untuk sama-sama berdoa untuk kita.

Selain itu, banyakkan pujian kepada Allah SWT dan bersyukurlah dengan segala kemudahan rezeki yang Allah berikan selama ini.

6 – Amalkan Sedekah dan Tinggalkan Larangan Allah

Banyakkanlah memberi sedekah kerana melalui sedekah dapat menyucikan jasad dan hati selain membuka seluas-luas pintu rezeki oleh Allah, bahkan InsyaAllah anda akan turut mendapat rezeki yang tidak disangka-sangka. Selain itu, rajinkan diri untuk banyak membantu orang lain dengan seikhlas hati.

Suami isteri juga mestilah sepakat untuk sama-sama meninggalkan segala amalan buruk, tinggalkan segala larangan Allah dan baiki diri dengan melakukan segala kebaikan yang diwajibkan atau dianjurkan Islam.

Baca : Harta Yang Kekal Walaupun Kita Mati Adalah Sedekah

7 – Rapatkan Hubungan Bersama-sama Pasangan

Janganlah disebabkan isu belum dikuniakan zuriat, hubungan suami isteri menjadi hambar, sewajarnya hubungan itu perlu lebih dieratkan dan saling menguatkan antara satu sama lain. Bahkan setiap ujian itu diterima bersama-sama.

Lakukan segalanya bersama agar lebih disepakati. Sering kali isteri akan berasa risau jika tidak dikurniakan anak kerana bimbang suaminya akan berniat untuk berkahwin lain, lalu suami hendaklah lebih berperanan untuk menyokong dan memberi sokongan moral bukan hanya mencari alasan menambah ‘cawangan’ lain. Terimalah pasangan seadanya.

Sebenarnya penantian ini adalah ujian kebergantungan seseorang hamba terhadap Tuhannya. Ini juga sebahagian ujian Allah sebagai tanda sayangnya Dia kepada hamba-Nya itu.

Baca : Allah Turunkan Ujian Tanda Allah Sayang

Tidak dikurniakan zuriat bukanlah satu kesalahan atau kelemahan, cuma harus diingat anak itu adalah pemberian dan amanah dari Allah SWT. Jika belum dapat, reda dan sabarlah menanti sehingga Allah memakbulkan doa tersebut. Insyallah, Allah akan kurniakan zuriat pada masa dan waktu yang tepat.

Sesungguhnya Allah mengetahui apa yang terbaik untuk hambaNya. Wallahu’alam 🙂

kredit : Tazkirah


Spread the love

3 Comments

  1. Assalamualaikum Abg DH, betul tu. Pentingnya perkukuhkan saling memahami antara suami isteri. Jgn salah menyalahkan.
    Sangat betul 7 saranan ini. Pengalaman sendiri menanti kelahiran anak pertama setelah 9 thn usia perkahwinan. Alhamdulillah kini dh dikurniakan 3 org anak lelaki.

Comments are closed.

OTHER POSTS

Subscribe to Denaihati

Dapatkan artikel terkini terus dalam email anda!