Bekas suami Datuk Seri Vida failkan tuntutan hadhanah

Spread the love

Assalamualaikum dan selamat sejahtera,

Bekas suami pertama usahawan kosmetik terkenal, Datuk Seri Vida memfailkan tuntutan hadhanah iaitu hak lawatan, bermesra dan bermalam ke atas dua anaknya di Mahkamah Tinggi Syariah Kota Bharu.

Mohd Amin Yassin, 42, memfailkan tuntutan berkenaan dua minggu lalu dengan pengurusan kes bermula hari ini.

Bagaimanapun, prosiding tidak dapat dijalankan kerana Datuk Seri Vida, 49, selaku defendan tidak hadir.

Sebutan semula kes.

Hakim Mahkamah Tinggi Syarie, Datuk Abu Bakar Abdullah Kutty menetapkan 25 November ini sebagai sebutan semula kes.

Datuk Abu Bakar juga tidak akan membuat sebarang keputusan hari ini sehingga mendengar keterangan dengan kehadiran kedua-dua pihak.

Dalam masa sama, Datuk Abu Bakar juga mengarahkan kedua-dua anak plaintif dan defendan turut hadir dalam prosiding berkenaan.

Bekas suami dihalang berjumpa anak-anaknya

Mohd Amin memfailkan tuntutan itu selepas dihalang untuk berjumpa dua anaknya, Edlynn Zamileen, 15, atau lebih dikenali sebagai Cik B dan Muhammad Eric Zaquan, 13, yang popular dengan panggilan Kacak.

Menurut Mohd Amin, kali terakhir beliau bertemu anak-anaknya itu ialah lebih dua tahun lalu di ibu pejabat Vida Beauty Sdn Bhd di Ipoh, Perak selama 15 minit sahaja.

Kata Mohd Amin, sebagai bapa, beliau amat merindui kedua-dua anaknya itu dan hanya mengetahui perkembangan terkini mereka melalui media sosial dan televisyen.

“Sebagai bapa, saya amat rindukan mereka. Saya tidak mahu hak penjagaan. Cukup sekadar dibenarkan untuk bertemu mereka berdua dalam tempoh yang singkat.

“Sebelum ini, saya ada menghubungi Cik B dan Kacak, namun tidak berjawab. Saya tidak pasti sama ada mereka sudah menukar nombor telefon atau sengaja tidak mahu mengangkat panggilan,” kata Mohd Amin ketika ditemui di Kompleks Mahkamah Syariah di sini, hari ini.

Mohd Amin juga mendakwa, sebelum ini, beliau hanya dibenarkan bertemu anak-anaknya itu di kawasan pagar rumah Vida, di Meru, Ipoh atau di pusat beli-belah sahaja.

“Kedua-dua anak masih mengenali saya. Dalam pertemuan sebelum ini, mereka akan memeluk saya dan masih mengenali bapa kandung mereka.

“Itu sudah cukup buat saya”

“Itu sudah cukup buat saya. Bertemu dengan mereka sudah membuatkan saya gembira. Jika teringatkan mereka, hanya linangan air mata dan kenangan-kenangan lama kami bersama sebagai pengubat rindu,” katanya lagi.

Mohd Amin berkahwin dengan usahawan komestik dan kesihatan itu pada 2000 sebelum bercerai pada 2008.

Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan empat cahaya mata iaitu Muhammad Eddie Zuhdie, Muhammad Edrie Zikree, Edlynn Zamileen dan Muhammad Eric Zaquan.

Muhammad Eddie Zuhdie dan Muhammad Edrie Zikree meninggal dunia dalam satu kebakaran di rumah Vida di Ipoh pada 2013.

Mohd Amin diwakili peguam syarie Zaki Zainal Abidin dan Nik Mohamad Amin Nik Abdullah.

Sumber: Awani


Spread the love

2 Comments

  1. Tiada apa lebih bermakna dalam hidup tanpa keluarga di sisi. Melalui kehidupan bersama-sama adalah kenangan yang akan sentiasa berkunjung di fikiran. Setiap masalah ada jalan keluarnya.

  2. Susah gak kalau tiada persefahaman dalam penjagaan anak-anak. anak pun dah besar. Ibu bapa sepatutnya lebih bertolak ansur demi anak-anak. Jangan ikut ego je manjang

Comments are closed.

OTHER POSTS

Subscribe to Denaihati

Dapatkan artikel terkini terus dalam email anda!