Agong mengharapkan belanjawan 2021 bersifat kebajikan rakyat

Spread the love

Assalamualaikum dan selamat sejahtera.

Pada jumaat, 6 November, rakyat Malaysia akan menyaksikan pembentangan belanjawan 2021 di Dewan Parlimen oleh Menteri Kewangan.

Dalam pada itu, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menerima menghadap Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkenaan penyediaan Belanjawan 2021.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin menerusi kenyataan yang dikeluarkan Istana Negara memaklumkan, Al-Sultan Abdullah berkenan menerima sembah taklimat ringkas mengenai kedudukan ekonomi dan fiskal negara dan majlis menghadap itu berlangsung selama 70 minit di Istana Negara.

Agong mengharapkan Belanjawan 2021 bersifat kebajikan rakyat

Susulan pertemuan tersebut, YDP Agong turut menzahirkan harapan agar kerajaan dapat memperhalusi sebaiknya cadangan yang telah dikemukakan bagi merangka Belanjawan 2021 yang bersifat inklusif dan komprehensif serta berpaksikan kebajikan rakyat, pemulihan ekonomi negara dan pembendungan efektif pandemik COVID-19.

“Seri Paduka Baginda juga turut dimaklumkan mengenai usaha Kementerian Kewangan bagi penyediaan Belanjawan 2021 sejak bulan Julai 2020, melalui lebih 40 sesi libat urus yang melibatkan lebih 2,000 individu dan wakil perniagaan, termasuk para wakil daripada parti-parti politik negara yang telah diadakan baru-baru ini.

Kredit: NST

Agong turut menzahirkan penghargaan

“YDP Agong menzahirkan penghargaan kepada kerajaan serta parti-parti politik di atas semangat bipartisan dan pemuafakatan yang telah ditunjukkan.

“Al-Sultan Abdullah berpendapat amalan kematangan berpolitik dengan mengenepikan perbezaan dan kepentingan parti atau peribadi amatlah penting pada ketika ini demi keselamatan dan kebajikan rakyat serta kesejahteraan negara yang amat terkesan akibat bencana wabak COVID-19,” jelasnya.

Jelasnya, semangat ini adalah selaras dengan budaya syura yang dianjurkan oleh Islam sebagaimana yang telah dipamerkan oleh Raja-Raja Melayu dalam sesi Perbincangan Khas di Istana Negara pada 25 Oktober, 2020 yang lalu.

Kredit: Malay Mail

Dahulukan kemaslahatan rakyat

“Dalam keadaan kita menghadapi situasi yang sukar dan genting ini, adalah wajar kita mendahulukan kemaslahatan masyarakat umum di atas kepentingan individu secara khusus.

“Ia sejajar dengan kaedah fiqh dengan merujuk kepada Al-Muwafaqat (jilid 3, mukasurat 88) yang bermaksud mengambil kira kemaslahatan umum adalah lebih didahulukan daripada mengambil kira maslahah khusus,” katanya.

Sehubungan itu, Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan harapan agar semangat kerjasama yang dizahirkan oleh pelbagai pihak dapat diteruskan demi kesejahteraan rakyat dan negara.

Sumber: Awani


Spread the love

2 Comments

  1. Yang di-Pertuan Agong meletakkan harapan tinggi agar Belanjawan 2021 lebih menguntungkan rakyat dan bersifat kebajikan. Sesuai dengan peranannya sebagai payung negara, YDPA pastinya cintakan rakyat dan mahu negara dapat keluar daripada kemelut permasalahan ini.

  2. Pemimpin yang berjiwa rakyat pasti memikirkan tentang rakyat first sebelum hal lain. kami pun mengharapakan Belanjawan 2021 yang terbaik esok

Comments are closed.

OTHER POSTS

Subscribe to Denaihati

Dapatkan artikel terkini terus dalam email anda!