Kembara Bloggers ke Kemboja-Vietnam

Assalamualaikum dan Salam 1Dunia, Kemboja dalah satunya negara yang  ingin dilawati. Kali ini aku mengikuti Kembara Jejak Rehlah Dakwah dan Mujahadah dengan tema ‘Bloggers Mengemban Tanggungjawab Sosial‘ ke Phnom Penh, Siem Reap dan Ho Chi Minh City (Saigon). Aku memulakan catatan perjalanan, pengalaman dan pelbagai kisah menarik serta terkesan di hati untuk dikongsi bersama pembaca. Terima kasih kepada Denaihati, Darul Maghfiroh, Cambodian Muslim Cooperatives dan eQurban selaku penaja kembara kali ini. Kembara ini telah berlangsung pada 18 Disember 2013 sehingga 23 Disember 2013.

Blogger ke kemboja

Kembara ini disertai oleh Kujie, suami dan anaknya Intan, Deqnoor, Azlina serta aku dan isteri. Selain itu, turut serta adalah Haji Masrukhin dari Darul Maghfiroh, Jefri dari Inspen, Haji Khanafi dari Al-Ansar. Kami ke Phnom Penh dengan syarikat penerbangan MAS jam 9.25 pagi di mana aku sempat bersolat subuh dan bersarapan dengan Denaihati yang kebetulan ke Kembara Palestin pada pagi yang sama. Penerbangan ke Phnom Penh tidak terasa lama, mungkin dek melayan IFE yang mempunyai pelbagai cerita dan lagu. “Late Breakfast” juga disediakan kepada kami dalam penerbangan MAS ini.

Phnom Penh Skyview

Dua jam penerbangan, kami mendarat di Phnom Penh International Airport. Perbezaan waktu di Kuala Lumpur, Malaysia dengan Phnom Penh, Kemboja adalah satu jam. Ini bermaksud kami tiba di Phnom Penh pada jam 10.25 pagi mengikut waktu Kemboja. Setelah mendapat bagasi dan pemeriksaan e-gate, kami dijemput oleh wakil Cambodian Muslim Cooperatives (CMC).

Blogger di Kemboja

Sejurus selepas ‘touchdown’ di Phnom Penh

SMART simcard

Dapatkan simkad SMART untuk kegunaan telekomunikasi di Kemboja

Di perkarangan luar Lapangan Terbang Antarabangsa Phnom Penh, aku agak menggigil kesejukan. Cuaca yang aku anggarkan dalam 24 darjah Celcius membuatkan rombongan kami seperti berada di tanah tinggi. Kemudian, kami dibawa ke Hotel Holiday Villa untuk check-in dan perkara pertama yang kami pesan adalah untuk membeli simkad telefon. Di Kemboja, ada pelbagai pilihan syarikat telekomunikasi tetapi orang tempatan memberikan cadangan supaya menggunakan SMART. Bagi kami sebagai penulis blog, internet adalah sangat penting apatah lagi bila di perantauan.

Restoran Halal di Phnom Penh

Cafe Malaya menjadi pilihan untuk makan tengahari

Kemudian, kami dibawa untuk makan tengahari. Lokasi makanan halal di Kemboja semakin bertambah. Cafe Malaya menjadi pilihan pengunjung dari Malaysia, dan tukang masaknya berasal dari Kedah. Jadi, kami makan dengan tidak kekok sebab menu hidangannya seperti sama di Malaysia. Ada rendang, kari ikan, sambal udang dan macam-macam lagi.

Selepas mengisi perut, kami ke Cambodian Islamic Center (CIC) yang merupakan sebuah tempat pengajian bagi pelajar lelaki. Mereka yang belajar di sini amat berbeza dengan kemudahan pembelajaran di Malaysia yang fasilitinya lebih baik. Debu tanah merah masih nampak di lantai kelas dan mereka hanya berselipar atau bersandal untuk ke kelas. Di sini, seorang Dato’ dari Kolej swasta di Tanjung Karang menawarkan 5 orang pelajar terbaik di CIC ini untuk melanjutkan pelajaran di Malaysia. Diharap mereka tidak melepaskan peluang untuk menimba ilmu di Malaysia.

CIC student

Sebahagian pelajar tahun akhir di CIC.

Pelawat di Kemboja

Wakil dari Malaysia memberikan tawaran belajar di Malaysia

Kemudian kami ke Nurul Iman Chroy Metrey yang terletak berhampiran. Ia merupakan tempat sekolah pelajar perempuan dari 7 sehingga 17 tahun. Bahagian tingkat atas masih dalam tambahan pembinaan. Sebahagian infaq dari rakan dan kenalan Malaysia diberikan untuk tujuan ini. Masjid Al-Rahman yang terletak bersebelahan juga sedang dalam penambahbaikan. Semoga keselesaan yang bakal dinikmati oleh pelajar dan penduduk sekitar memberikan mereka lebih semangat untuk terus belajar dan menghayati Islam.

School in Kemboja

Pembinaan tingkat atas yang masih dalam proses

Masjid di kemboja

Penambahbaikan untuk Masjid Al-Rahman

Pelajar di Nurul Iman Chroy Metrey

Pelajar perempuan di Nurul Iman Chroy Metrey

Pada sebelah malam pula, kami dibawa menaiki bot merentasi Sungai Sap. Menikmati hidangan ringkas seperti daging bakar pada waktu malam di atas bot memang cukup seronok. Kesejukan dengan angin dingin malam membuatkan kami leka seketika menikmati panorama dengan lampu neon di Bandar Phnom Penh.

Jambatan Sungai Sap

Melalui jambatan kecil untuk menaiki Bot

BBQ di atas bot

Makan atas bot menyusuri Sungai Sap

Hari Kedua. Kami semua lebih bersemangat dan tidak sabar meneruskan kembara.

Phnom Penh town

Pemandangan dari tingkat 5 hotel

Sarapan pagi di Hotel Holiday Villa. Cuaca pagi yang cukup indah. Panorama dari tingkap di tingkat 5 yang cukup segar. Pada hari kedua, kami dijadualkan untuk ke Tuol Seng Genocide Museum. Antara menu yang aku suka adalah nasi lemak disediakan di hotel ini sebab ada sardin dan rasa nasi lemak pun sedap.

breakfast in Cambodia

Kujie dan suami sedang sarapan pagi

Sementara menunggu van, kami sepakat untuk ke Phsar Thmei atau Central Market. Di Central Market, terdapat pelbagai jenis barang yang dijual. Beg, baju, seluar, cermin mata, cenderamata dan macam-macam lagi. Di sini aku membeli sehelai jaket berharga 19USD selepas tawar menawar. Cuaca masih sejuk dan berangin!

Pasar Central

Tshirt cambodia sebagai kenangan

Di Kemboja, banyak menggunakan note Riel dan juga USD yang diterima rata-rata peniaga di sini. Di sini boleh memborong tshirt kenangan Cambodia yang murah, sekitar 2USD-3USD sehelai.

Sampai di Tuol Seng Genocide Museum. Pada mulanya, aku memang tidak tahu sangat perihal sejarah. Tetapi setelah diceritakan oleh Kholiq selaku pemandu dari CMC dan pembacaan di papan tanda, aku melihat tempat ini sebagai suatu lokasi penyeksaan di zaman Pol Pot. Pol Pot atau nama sebenarnya Saloth Sar  ialah pemerintah Khmer Rouge serta Perdana Menteri Kemboja (secara rasmi dipanggil Kampuchea Demokratik semasa pemerintahannya) dari 1976 hingga 1979.

Tuol Sleng Genocide Museum

Pintu gerbang Tuol Sleng Genocide Museum

Kubur Mangsa Pol Pot

Antara kubur mangsa kekejaman Pol Pot

“Kejam dan tidak berperikemanusiaan”.

Itulah ungkapan yang dapat aku tafsirkan mengenai Pol Pot. Mangsa diambil gambar dahulu sebelum mereka diseksa dengan pelbagai cara. Tidak kira tua dan muda, lelaki dan perempuan, penyeksaan dilakukan dengan kejam dan tidak masuk akal bagi yang kita normal. Ada yang disebat, ada yang dikerat jarinya, ada yang dilemaskan dalam tempayan dan pelbagai lagi jenis penyeksaan yang sangat kejam.

Gambar mangsa pol pot

Mangsa diambil gambarnya dahulu sebelum diseksa

Kawat duri yang mengelilingi bangunan

Kawat duri yang mengelilingi bangunan

Selepas itu kami pulang ke hotel untuk check out. Lewat petang hari kedua, kami akan ke Siem Reap. Makan tengahari kami di Nurul Iman Chroy Metrey. Aku terkejut kerana dihidangkan dengan seekor ikan yang besar. Rupanya ia adalah ikan toman. Cambodian Muslim Cooperatives telah mengusahakan kolam ikan toman sebagai salah satu cara untuk menambah dana pendapatan. Ikan toman hampir sebesar lengan aku yang dimasak stim dengan ramuan tersendiri, aku makan habis licin bersama Haji Masrukhin. Sedap!

Ikan Toman masak Stim

Aku pertama kali menjamah ikan toman

Basikal ke Masjid

Basikal buruk bukan penghalang untuk ke Masjid

Kembara Blogger di Kemboja

Kenangan bergambar di hadapan Sekolah Nurul Iman dan Masjid Al-Rahman

Berkesempatan untuk bergambar kenangan di hadapan masjid Al-Rahman, kami mengucapkan selamat tinggal kepada ustaz dan cikgu di situ. Kemudian, kami di bawa ke kolam ikan toman yang aku lihat cukup banyak dan produktif. Harga yang mahal di pasaran diharap dapat menjana pendapatan bagi CMC.

Waktu tempatan menunjukkan jam 5.00 petang. Kami perlu bertolak segera ke Siem Reap kerana perjalanan sejauh 320km melalui jalan darat dianggarkan dalam 5 hingga 6 jam.

Kenderaan di Phnom Penh

Pemandangan ini adalah biasa di Kemboja

Dengan keadaan jalanraya yang tidak berapa elok, perjalanan ke Siem Reap agak mencabar.

Lembu di Kemboja

Memberi laluan kepada lembu yang melintas

Pelbagai situasi dan perkara yang kami lalui. Tidak seperti di Malaysia, jalanraya tanah merah di Phnom Penh berkongsi dengan segala kenderaan lain. Lori, van, pacuan empat roda, kereta, motorsikal, kereta lembu, kereta kuda dan basikal semuanya dalam laluan yang sama. Satu perkara yang kami perasa, toleransi penduduk di Kemboja terhadap laluan jalanraya adalah tinggi. Bermaksud, walaupun sesak dan jalan agak teruk, pemandu memberikan laluan kepada yang memotong dari arah yang bertentangan dan sering memberikan hon sebagai pemberitahuan kehadiran pemandu.

Kegelapan di Kemboja

Gelap gelita pada jam 6.20 petang menuju siem Reap

Tiada lampu jalan menuju ke Siem Reap. Hanya ditemani kegelapan dan sesekali lampu dari kenderaan arah bertentangan. Jam telah menunjukkan 6.20 petang tetapi suasana sudah gelap. Kami bersembang bergilir-gilir dengan Kholiq dan Syukri, seorang lagi pemandu dari CMC. Ternyata pelbagai kisah yang dapat dikongsi mengenai Kemboja.

Restoran halal di Siem Reap

Menikmati makan malam di Siem Reap

Jam 10.30 malam. Kami tiba di Siem Reap. Terus di bawa ke restoran makan yang terletak bersebelahan dengan Masjid Al-Hikmah. Seterusnya kami check-in di Ta Prohm Hotel. Ada night market yang berdekatan. Deqnoor, Azlina, Atus serta aku dan isteri tak melepaskan peluang untuk menaiki Tuk-Tuk. Pemandu tuk-tuk ini bernama Thowi, seorang muallaf yang baru mengusahakan perkhidmatan tuk-tuk ini.

Tuk Tuk Siem Reap

Sila cari Thowi untuk khidmat tu-tuk

Kami berlima sempat menaiki tuk-tuk ini dan mengelilingi sekitar pekan di Night Market Siem Reap.

Waktu untuk berehat di hotel setelah perjalanan darat yang jauh dan lama.

---

    Kongsi pendapat anda

    *

    CommentLuv badge

  1. seronoknya dapat mengembara ke kemboja dimana banyak saudara islam kita di sana. Dapat juga kita membantu dan mengetahui cara hidup mereka yang serba kekurangan tu. teringin nak join kembara macam ni. Thumbs up team bloggers :)
    Entri terbaru Azhafizah – Design Header Blog Lea AzleeyaMy Profile

  2. Seronoknya dapat kembara ke Kemboja, Vietnam. Boleh dapat banyak pengalaman yang menarik selama berada di sana. ;)
    Entri terbaru Sally Yatiey – BBQ.My Profile

  3. rasa bersyukur sangat di negara kita tidak seteruk di sana…pengalaman macam inilah akan menyedarkan kita bertapa bertuahnya bumi Malaysia…

    p/s : nampak sedap pulak ikan toman tu
    Entri terbaru blogger lelaki – Tips Tugasan Kedua Cabaran iPhone 5sMy Profile

  4. Wah bestnya dapat pengalaman yang menarik di sana disamping dapat menikmati keindahan di sana VIetnam. Pengalaman macam ini memang takkan dilupakan.
    Entri terbaru adarain – Keluaran Terbaik Samsung : Galaxy Note 4My Profile

  5. Patut ayah wan cakap memang orang-orang sana agak susah.
    Kasihan pula bila tengok lifestyle diorang yang sangat berbeza dengan kita di Malaysia.
    Syukurlah bahawa kita antara yang paling banyak nikmat yang Allah kurniakan. Masih ramai yang tak bernasib baik.
    Entri terbaru Mohd Ridzwan – Malaysia Tanah Airku Tanah Airmu JuaMy Profile

  6. jauh perjalanan luas pengalaman..kalo dulu, tulis dlm diari je, skng ni leh catit dlm blog..sumer boleh baca..
    Entri terbaru JMR – Kemana tumpahnya kuah, kalau tidak ke nasi.My Profile

  7. terbaik jugak pergi sini…mcm best je makan angin..
    Entri terbaru Vimax Malaysia Original – Cara Mudah Pembelian Vimax Malaysia OriginalMy Profile

  8. terimakasih atas infromasi yang sudah disampaikan sangat menarik sekali gan !

Trackbacks

  1. […] Kisah percutian 6 hari 5 malam ini bermula di  Phnom Penh, Kemboja sehingga ke Siem Reap sebelum memasuki Vietnam . Baca saja di sini kembara cuti saya bersama Team Denaihati. […]

Artikel pilihan...close