Perogol Dalam Rumah!

Spread the love

Assalamualaikum dan salam 1Dunia,

satu tajuk yang memerlukan kupasan yang lebih lanjut oleh mereka yang pakar dan berpengalaman adalah mengenai ROGOL.

Rogol adalah serangan seksual yang dianggap oleh kebanyakan orang sebagai jenayah yang sangat serius. Definasi teknikal untuk “rogol” merangkumi sebarang serangan serius dan yang merosakkan terhadap seseorang atau sekumpulan orang, tetapi dalam penggunaan sehari-harian, istilah tersebut adalah mengenai serangan seksual.

Wacana Sinar siri ke 51 membawa tajuk Perogol Dalam Rumah! yang membawakan ahli panel Prof Dr Muhaya, Abjda Dato’ Zulkifli, Kamal Effendi dan Dr. Mazlena. Moderator bagi wacana kali ini adalah Datuk Abd Jalil Ali.

 

Perkara rogol adalah serius

Persepsi masyarakat mengenai rogol adalah bila berlakunya hubungan jenis antara lelaki dan perempuan atau persetubuhan dengan elemen-elemen paksaan dan keganasan. Tetapi dari segi Kanun Keseksaan Seksyen 375 Rogol, definasinya adalah :

Seseorang lelaki adalah dikatakan melakukan “rogol” jika ia, kecuali dalam hal yang dikecualikan kemudian daripada ini, bersetubuh dengan seseorang perempuan dalam keadaan seperti berikut :

a) bertentangan dengan kemahuan perempuan itu;

b) dengan tiada kerelaan perempuan itu;

c) dengan kerelaan perempuan itu manakala kerelaannya telah didapati dengan mendatangkan kepadanya atau mana-mana orang lain ketakutan mati atau cedera, atau telah didapati melalui salah tanggapan fakta dan lelaki itu tahu atau ada sebab untuk mempercayai bahawa kerelaan itu telah diberi akibat dari salah tanggapan tersebut;

d) dengan kerelaan perempuan itu manakala lelaki itu ketahui bahawa ia bukan suaminya, dan kerelaan itu diberi kerana perempuan itu percaya lelaki itu ialah lelaki yang menjadi atau yang ia percaya menjadi suaminya yang sah di sisi undang-undang atau yang kepadanya ia akan memberi kerelaan;

e) dengan kerelaannya, jika pada masa memberi kerelaan itu dia tidak boleh memahami jenis dan akibat mengenai apa yang dia memberi kerelaan;

f) dengan kerelaan perempuan itu, apabila kerelaanya didapati dengan menggunakan kedudukannya yang berkuasa ke atas perempuan itu atau atas sebab hubungan profesional atau lain-lain hubungan amanah berkaitan dengannya;

g) sama ada dengan kerelaan perempuan itu atau tidak, apabila perempuan itu di bawah umur 16 tahun.

Jika di Malaysia, majoriti mengetahui bahawa perogol adalah hanya lelaki dan ada juga kes di luar negara mana perogol adalah wanita. Penjenayah rogol ini sangat positif dan merancang dengan baik kerana mereka merancang terlebih dahulu sebelum melakukan jenayah rogol tersebut.

Di sini terletak betapa pentingnya pendidikan di sekolah mengenai perkara ini. Seharusnya anak-anak diajar di sekolah untuk mengetahui mengenai apa yang patut dibuat atau apa yang tak patut dibuat, seperti contoh bahagian yang tak sepatutnya dipegang. Dalam hal ini, konteks ajaran Islam mengenai aurat sesama mahram amat penting.

Kembali kepada asas, aurat perlu dijaga sama ada di dalam atau di luar rumah.

Aurat Ketika Bersama Mahram

Pada asasnya aurat seseorang wanita dengan mahramnya adalah antara pusat dan lutut. Walau pun begitu wanita dituntut agar menutup mana-mana bahagian tubuh badan yang boleh menaikkan syahwat lelaki walaupun mahram sendiri.

Perkara ini dilakukan bagi menjaga adab dan tatasusila wanita terutana dalam menjaga kehormatan agar perkara-perkara sumbang yang tidak diingini tidak akan berlaku.

Oleh itu, pakaian yang labuh dan menutup tubuh badan dapat menutup syahwat lelaki. Pakaian yang digalakkan walaupun semasa bersama mahram adalah pakaian yang lengkap dan labuh.

Dalam hal ini Allah s.w.t telah berfirman dalam surah Al-Ahzab ayat 59 yang bermaksud :

“Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu, dan perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar), cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun lagi maha mengasihani.”

Bukti berlakunya kes rogol

Seseorang yang ditangkap tidak semestinya bersalah dan hak bukan sahaja untuk si mangsa, tetapi hak kepada yang dituduh. Dalam pembuktian, perlu gunakan istilah yang jelas. Masyarakat perlu diajar bagaimana untuk menjaga diri sendiri dan tak perlu terlalu berkias dalam bercerita.

Tanpa pembuktian, pendakwaan mungkin tidak boleh dilakukan. Dalam jenayah seksual ini, terdapat banyak akta-akta yang merangkumi pelbagai jenis jenayah, yang ada hampir sama macam rogol dan ada yang hukuman lebih berat.

Kes rogol pada zaman dahulu dan sekarang tetap sama. Tetapi jumlah keganasannya sahaja berbeza yang mana kini menyebabkan mangsa sehingga dibunuh. Rogol adalah jenayah yang boleh dibanteras. Istilah sumbang mahram terlalu lembut bagi seorang perogol yang duduk dalam rumah dengan mangsa.

Masalah rogol juga ada banyak peringkat. Setiap peringkat adalah berbeza. Ramai ibu takut untuk lindungi anak perempuannya daripada dirogol bapa kerana takut hilang mata pencarian atau secara mental didera oleh suaminya. Keluarga perlu bangkit memerangi jenayah rogol dalam rumah. Ibu bapa perlu tahu peranan masing-masing.

Ibu atau mangsa sendiri perlu tahu saluran yang betul untuk mengadu jenayah rogol yang berlaku dalam rumah. Negara kita punyai undang-undang mengenai rogol dan kesemua masyarakat perlu mengambil berat tentang hal ini kerana melibatkan maruah, agama dan institusi kekeluargaan.


Spread the love

97 Comments

Comments are closed.

OTHER POSTS

Subscribe to Denaihati

Dapatkan artikel terkini terus dalam email anda!