Perjalanan Rasulullah SAW ke Taif untuk sebarkan islam

Spread the love

TABAH TERHADAP KESUSAHAN UNTUK AGAMA ALLAH

Tidak mungkin bagi orang yang lemah seumpama kita untuk menanggung
kesusahan dan kepayahan dalam menyebarkan agama Allah sebagaimana yang telah ditanggung oleh Rasulullah dan para sahabat. Malah berniat untuk mencontohi mereka pun adalah susah. Kitab-kitab sejarah penuh dengan kisah-kisah sedemikian tetapi untuk beramal dengannya telah menjadi perkara yang asing. Malah kita tidak ingin pun bersusah-payah untuk mengambil tahu tentang kisah-kisah tersebut. Semoga kita diberi kekuatan untuk terus bersama-sama Rasulullah, terus mengikut Baginda SAW

  1. PERJALANAN NABI SAW KE TAIF

Setelah mendapat tugas kenabian, Nabi menjalankan usaha dakwah selama
sembilan tahun di Makkah dan terus berusaha demi petunjuk dan islah kaum Baginda. Kesemua orang kafir Makkah berusaha sedaya upaya untuk menyusah dan mempersendakan Baginda serta para sahabat dengan berbagai-bagai cara tanpa melepaskan sebarang peluang yang ada kecuali segolongan kecil orang yang telah memeluk Islam dan segelintir orang yang menolong Baginda walaupun masih belum memeluk Islam.

Bapa saudara Baginda, Abu Talib juga ialah antara mereka yang baik hati walaupun tidak memeluk Islam, dia tetap membantu Baginda dalam semua segi. Selepas sepuluh tahun Baginda menjadi Nabi, apabila Abu Talib meninggal dunia, orang kafir pun mendapat lebih banyak peluang untuk menghalang penyebaran Islam dan menyeksa orang Islam dengan berbagai-bagai cara secara terbuka.

Nabi telah pergi ke Taif dengan anggapan bahawa di sana ada kabilah Saqif yang ramai bilangannya. Sekiranya kabilah tersebut memeluk Islam maka kaum muslimin di Makkah akan mendapat keselamatan daripada segala kesusahan tersebut dan Taif akan menjadi pusat penyebaran Islam.
Setelah tiba di sana, Baginda telah berbicara dengan tiga pembesar yang dianggap tinggi darjatnya. Baginda menyeru mereka kepada agama Allah SWT dan berusaha menarik perhatian mereka untuk membantunya. Walau bagaimanapun, mereka bukan sahaja tidak menerima ajaran Baginda SAW sebaliknya telah menjawab secara kasar dan tidak berakhlak sekali.

Sekurang-kurangnya mereka patut melayan tetamu yang baru datang dengan baik sesuai dengan sifat suka melayan tetamu yang memang termasyhur dalam kalangan bangsa Arab. Sebaliknya mereka telah menjawab secara kasar. Mereka juga tidak rela Nabi tinggal di sana. Nabi menganggap mereka yang merupakan pembesar kaum ialah orang yang baik dan akan bercakap dengan sopan tetapi salah seorang daripada mereka telah berkata,
“Hoi! Engkaukah orangnya yang Allah hantar sebagai nabi?”

Yang kedua berkata, “Tiadakah orang lain daripada engkau yang Allah temui untuk diutus sebagai nabi?”

Yang ketiga berkata, “Aku tidak ingin bercakap dengan engkau. Kerana kalaulah engkau sememangnya nabi sebagaimana didakwa maka tidak layak untuk orang seumpama aku bercakap-cakap dengan engkau. Sekiranya engkau seorang pendusta, aku tidak ingin bercakap dengan orang seumpama engkau.

Nabi tiada menaruh harapan lagi terhadap pembesar-pembesar itu. Baginda cuba bercakap-cakap pula dengan orang lain kerana Baginda ialah seorang yang mempunyai hemah dan kecekalan seumpama gunung. Malangnya
tiada seorang pun yang sanggup menerima. Bukan sahaja mereka tidak menerima bahkan mereka telah berkata kepada Nabi SAW, “Keluarlah dari bandar kami ini serta-merta. Pergilah ke mana-mana yang kamu suka.”

Apabila Baginda langsung tidak menaruh harapan lagi terhadap mereka maka Baginda SAW telah memulakan langkah untuk pulang. Mereka telah menghantar budak-budak untuk mengejar, mengejek, mempersenda dan melontari Baginda SAW dengan batu hinggakan kedua-dua kasut Baginda SAW dilumuri dengan darah yang mengalir. Dalam keadaan itulah Nabi SAW pulang.

Apabila Baginda & sudah selamat daripada pengacau-pengacau tersebut. Baginda SAW pun berdoa


“Ya Allah, kepada-Mu aku mengadu kelemahanku, kekurangan daya-upayaku dan kehinaanku pada pandangan manusia. Ya Arhamar raahimin! Engkaulah Tuhan orang yang ditindas. Engkaulah Tuhanku. Kepada siapakah Engkau menyerahkan diriku ini, kepada orang asing yang memandangku dengan penuh kebencian atau kepada musuh yang menguasai aku? Sekiranya Engkau tidak murka kepadaku maka aku tidak peduli. Namun, afiat-Mu sudah cukup buatku. Aku berlindung dengan nur wajah-Mu yang menerangi segala kegelapan dan teratur di atas-Mu itu urusan dunia dan akhirat, daripada Engkau menurunkan kemarahan-Mu kepadaku atau Engkau murka kepadaku. Kepada-Mulah aku tetap merayu shingga Engkau reda. Tiada sebarang daya (untuk melakukan kebaikan) dan tiada upaya (untuk meninggalkan kejahatan) kecuali dengan bantuan-Mu.”

Dengan doa sedemikian, bersemaraklah sifat Qahhar Allah, Raja segala kerajaan. Lalu Jibrail datang memberi salam dan berkata, “Allah SWT telah mendengar perbualan kaum itu dan telah mendengar jawaban mereka serta menghantar satu malaikat yang berkuasa ke atas gunung-ganang. Perintahkan sahaja malaikat itu supaya melakukan apa-apa yang tuan kehendaki.”

Selepas itu, malaikat tersebut memberi salam dan berkata,
“Saya akan menunaikan segala yang diperintahkan oleh tuan. Sama ada diperintahkan supaya saya melagakan bukit-bukau di kedua-dua arah yang akan menyebabkan mereka semua akan hancur atau apa-apa sahaja hukuman yang tuan tetapkan.”

Baginda SAW ialah seorang yang amat pengasih lagi belas kasihan. Baginda SAW telah member jawaban,
“Aku tetap menaruh harapan kepada Allah bahawa walaupun mereka ini tidak memeluk Islam, pasti akan lahir orang yang akan menyembah Allah SWT dan beribadat kepada-Nya dalam kalangan anak-anak mereka.”

Inilah dia akhlak peribadi mulia seseorang yang kita kononnya berbangga-bangga menjadi pengikutnya. Sebaliknya, apabila kita sendiri mengalami sedikit kesusahan atau kita dilempari dengan kata-kata kesat, kita akan menjadi begitu marah sehingga kita menaruh perasaan dendam yang tidak padam-padam seumur hidup kita terhadap orang yang telah menyakiti kita. Kezaliman demi kezaliman kita lakukan ke atasnya sedangkan kita mengaku yang kita ialah pengikut Nabi Muhammad SAW yang mengikut jejak langkah Baginda SAW.

Setelah menanggung kesusahan dan penderitaan yang sebegitu dahsyat, Baginda SAW sendiri tidak pun mendoakan keburukan kepada mereka dan tidak juga mengambil sebarang tindak balas.


Spread the love

One Comment

Comments are closed.

OTHER POSTS

Subscribe to Denaihati

Dapatkan artikel terkini terus dalam email anda!