Kongres Maruah Melayu : “Tanah Aku”

Spread the love

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Perkataan ‘maruah’ berasal daripada bahasa Arab, iaitu ‘muru’ah’ yang mengikut Kamus Dewan bermaksud, ‘kehormatan diri’ atau ‘harga diri’. Ia juga digambarkan dalam Kamus Dewan sebagai sifat laki-laki, iaitu keberanian dan kegagahan.

Dalam konteks maqasid al-Syariah, maruah adalah juga suatu perkara yang dijamin kedudukannya. Menarik untuk dilihat antara perkataan ‘maruah’ ini dalam perkembangan semasa.

Satu kongres yang dinamakan sebagai ‘Kongres Maruah Melayu’ berlangsung di Stadium Melawati, Shah Alam.

Kongres ini dilaporkan sebagai anjuran empat buah Universiti Awam, iaitu Universiti Malaya, Universiti Teknologi MARA, Universiti Putra Malaysia dan Universiti Pendidikan Sultan Idris.

Keadaan dan realiti Melayu di Malaysia

Kongres ini juga menggunakan tagline ‘Tanah Aku’. Melalui tagline tersebut secara tidak langsung dapat dirasakan bahawa tujuan penganjuran kongres ini amat serius.

Nyata sekali, dua frasa yang menjadi kunci kepada kongres ini, iaitu ‘Maruah Melayu‘ dan ‘Tanah Aku‘ berupaya membangkitkan semangat Melayu yang jitu dan tinggi.

Kedua-duanya menggambarkan tentang sejarah tanah air ini yang mana nama tanah ini ialah Tanah Melayu.

Pada masa yang sama, keadaan semasa dilihat oleh segolongan besar khalayak Melayu, sebagai satu masa sukar, bahkan mencabar kewujudan Melayu di bumi anugerah Allah ini. Justeru, timbul persoalan dan kata-kata sinis, bahkan ekspresi rasis dilabelkan kepada Kongres Maruah Melayu ini.

Walaupun begitu, dari sudut perundangan, tiada salah dengan ekspresi yang digunakan dalam penganjuran kongres ini. Ia sekadar menzahirkan fakta sejarah tentang realiti sebenar negara ini.

Amanah untuk jaga agama dan bangsa

Secara intelektual, fakta sejarah ini tidak boleh disangkal lagi. Malah penggunaan istilah ‘Semenanjung Tanah Melayu’ masih lagi menjadi terjemahan kepada frasa ‘States of Malaya’ dalam beberapa peruntukan Perlembagaan.

Frasa ‘Tanah Aku’ boleh menjadi peringatan kepada bangsa Melayu di negara ini bahawa, jagalah tanah air ini, ia milik ‘aku’.

Pada masa sama, kongres ini seolah membawa mesej, wahai orang Melayu, jagalah maruah bangsamu. Jagalah agamamu.

Keadaan semakin mencabar. Akidah makin tergadai. Justeru, penganjuran kongres ini tidak perlu dilabelkan. Ia sekadar menyedarkan orang Melayu tentang amanah yang wajib mereka pikul untuk menjaga agama dan bangsanya.

Apa yang dikhabarkan oleh media ialah, masyarakat Malaysia bakal melihat dalam kongres ini, jiwa-jiwa besar dan jiwa-jiwa kental pemimpin Melayu yang bukan semata-mata bersaing, tetapi bersaing secara “ganas”, yang telah sekian lama di atas pentas politik kepartian.

Mereka bertemu di pentas Kongres Maruah Melayu. Tiada lain harapan orang Melayu, selain sudah lama mereka memperkatakan dan mengharapkan para pemimpin politik mereka tidak lagi berseteru, malah boleh berpadu atas nama agama dan bangsanya.

Justeru, tidak perlu dibahaskan lagi kerelevanan kongres ini. Atau tidak perlu diangkat penilaian politik kepartian semata-mata.

Sampai bilakah kita mahu menjadi mata lalat yang hanya melihat kebusukkan. Berilah peluang kepada mata kita untuk menjadi mata lebah yang hanya melihat dan mencari kemanisan.

Moga umat Melayu dan umat Islam seluruhnya memberikan kepercayaan dan peluang kepada Kongres Maruah Melayu ini berlangsung dengan tenang.

Berikan peluang kepada para ilmuan untuk membuktikan kesungguhan dan keseriusan mereka dalam mencari jalan supaya umat Melayu di tanah air ini bersatu padu dan saling berpaut antara satu sama lain.

Hasrat orang Melayu kepada yang memerintah

Para ahli akademik dan para cendikiawan yang menjadi penganjur kepada kongres ini boleh berbahasa menyatakan bahawa inilah sumbangan mereka dalam menyatukan bangsanya sendiri.

Para ilmuan di universiti perlu buktikan bahawa mereka bukan sekadar mengejar ranking. Tetapi mereka mahu berbakti kepada nusa dan bangsanya.

Dari aspek lain, kongres ini memberi ruang untuk orang Melayu menyatakan hasrat dan harapan mereka kepada kerajaan yang memerintah.

Di bawah tiket kebebasan bersuara serta di bawah tiket kepentingan bangsanya, Melayu perlu mengambil tempat dalam menentukan masa depan bangsanya sendiri dengan mambawa suara ilmuan dan masyarakat terbanyak dengan harapan perpaduan dan kesefahaman jua yang dicapai.

Khabarnya resolusi-resolusi yang akan dibentangkan berkisar kepada kepentingan umat Melayu yang diharapkan akan membina pengukuhan jati diri Melayu.

Sekali lagi, semua ini tidak boleh dibaca dengan bacaan ‘rasis’ kerana sifat jati diri bangsa Melayu ialah, bangsa yang beramanah, bangsa yang berpegang pada janji dan bangsa yang mengotakan kata-katanya.

Kongres Maruah Melayu‘ diharap menyuarakan kebenaran berpaksikan kenyataan. Kongres Maruah Melayu bukan platform yang disediakan oleh para cendikiawan sebagai medan politik atau perkauman, ia sekadar medan memperingatkan bangsanya sendiri.

Akhir kalam, moga Allah mempermudahkan urusan yang mulia ini dan Allah berikan petunjuk. Allah berikan kebahagian di dunia dan di akhirat kepada mereka yang mengusahakannya ke arah kebaikan.
-Dr Shamrahayu Aziz-


Spread the love

4 Comments

Comments are closed.

OTHER POSTS

Subscribe to Denaihati

Dapatkan artikel terkini terus dalam email anda!