Wangian Yang Hilang Di Timur Jauh

Spread the love

Assalamualaikum dan Salam 1Dunia, membaca sajak nukilan Sasterawan Negara Dato’ Usman Awang atau lebih dikenali sebagai Tongkat Warrant memberi kesan yang mendalam di dalam hati dan jiwa. Sajak beliau bertajuk “Wangian Yang Hilang Di Timur Jauh” adalah satu catatan Bangsa Melayu yang dikatakan satu Bangsa yang hilang sehingga kini masih tidak jelas susur galurnya walaupun berbagai kajian telah dibuat.

Melayu itu orang yang bijaksana
Nakalnya bersulam jenaka
Budi bahasanya tidak terkira
Kurang ajarnya tetap santun
Jika menipu pun masih bersopan
Bila mengampu bijak beralas tangan.
Melayu itu berani jika bersalah
Kecut takut kerana benar,
Janji simpan di perut
Selalu pecah di mulut,
Biar mati adat
Jangan mati anak.
Melayu di tanah Semenanjung luas maknanya:
Jawa itu Melayu, Bugis itu Melayu
Banjar juga disebut Melayu,
Minangkabau memang Melayu,
Keturunan Acheh adalah Melayu,
Jakun dan Sakai asli Melayu,
Arab dan Pakistani, semua Melayu
Mamak dan Malbari serap ke Melayu
Malah mua´alaf bertakrif Melayu
(Setelah disunat anunya itu)
Dalam sejarahnya
Melayu itu pengembara lautan
Melorongkan jalur sejarah zaman
Begitu luas daerah sempadan
Sayangnya kini segala kehilangan
Melayu itu kaya falsafahnya
Kias kata bidal pusaka
Akar budi bersulamkan daya
Gedung akal laut bicara
Malangnya Melayu itu kuat bersorak
Terlalu ghairah pesta temasya
Sedangkan kampung telah tergadai
Sawah sejalur tinggal sejengkal
tanah sebidang mudah terjual
Meski telah memiliki telaga
Tangan masih memegang tali
Sedang orang mencapai timba.
Berbuahlah pisang tiga kali
Melayu itu masih bermimpi
Walaupun sudah mengenal universiti
Masih berdagang di rumah sendiri.
Berkelahi cara Melayu
Menikam dengan pantun
Menyanggah dengan senyum
Marahnya dengan diam
Merendah bukan menyembah
Meninggi bukan melonjak.
Watak Melayu menolak permusuhan
Setia dan sabar tiada sempadan
Tapi jika marah tak nampak telinga
Musuh dicari ke lubang cacing
Tak dapat tanduk telinga dijinjing
Maruah dan agama dihina jangan
Hebat amuknya tak kenal lawan
Berdamai cara Melayu indah sekali
Silaturrahim hati yang murni
Maaf diungkap senantiasa bersahut
Tangan diulur sentiasa bersambut
Luka pun tidak lagi berparut
Baiknya hati Melayu itu tak terbandingkan
Selaga yang ada sanggup diberikan
Sehingga tercipta sebuah kiasan:
“Dagang lalu nasi ditanakkan
Suami pulang lapar tak makan
Kera di hutan disusu-susukan
Anak di pangkuan mati kebuluran”
Bagaimanakah Melayu abad dua puluh satu
Masihkan tunduk tersipu-sipu?
Jangan takut melanggar pantang
Jika pantang menghalang kemajuan;
Jangan segan menentang larangan
Jika yakin kepada kebenaran;
Jangan malu mengucapkan keyakinan
Jika percaya kepada keadilan.
Jadilah bangsa yang bijaksana
Memegang tali memegang timba
Memiliki ekonomi mencipta budaya
Menjadi tuan di negara Merdeka

(Usman Awang)

Memang telah disebut dalam Al Qurat surah Al Hujuraat ayat 13 bahawa manusia memang dijadikan berbangsa-bangsa untuk dijadikan sebagai ujian kerana hanya mereka yang bertaqwa dikalangan bangsa-bangsa dan suku-suku tersebut akan dipandang mulia di sisi ALLAH SWT. Bangsa Melayu adalah antara beribu bangsa yang terdapat di dunia yang dilahirkan dari keturunan Nabi Nuh a.s.

Kisah Sejarah Bangsa Melayu yang hilang tercatat SINI

Kehebatan Bangsa Melayu yang merupakan bangsa alter yang boleh berubah sifat apabila terdesak lihat sahaja apabila saudara seIslam di Gaza dibantai oleh Israel tiba-tiba Bangsa Melayu jadi garang sehingga berani menggegar pintu restoran Mc Donald yang membantu Israel.

Hai manusia, Sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa – bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia diantara kamu disisi Allah ialah orang yang paling taqwa diantara kamu. Sesungguhnya Allah Maha mengetahui lagi Maha Mengenal.” – Surah Al-Hujuraat ayat 13

Semuga kita menjadi antara Bangsa Melayu yang bertaqwa yang mendapat kemuliaan di sisi ALLAH. Hidup kita di dunia adalah mencari redha ALLAH biar pun manusia lain marah tetapi jangan sekali mencari redha manusia dengan kemarahan ALLAH. Bangsa ku Melayu sedang berpecah pasti boleh dirapatkan jemaah dengan hanya mengikut cara hidup yang ditunjuk oleh Rasulullah SAW.

“Imam Ahmad juga meriwayatkan dari ‘Abdullah bin ‘Amirah, suami Darrah binti Abi Lahab, dari Darrah binti Lahab, ia berkata: “Ada seorang laki-laki yang berdiri menemui Nabi saw. yang ketika itu beliau tengah berada di atas mimbar, lalu ia berkata: ‘Ya Rasulallah, siapakah orang yang paling baik itu?’ Rasulullah menjawab: ‘Sebaik-baik manusia adalah orang yang paling baik bacaan Al Qur’an nya, paling bertaqwa kepada Allah, paling gigih menegakkan amar ma’ruf nahi munkar, dan paling giat menyambung tali silaturahim.’


Spread the love

239 Comments

Comments are closed.

OTHER POSTS

Subscribe to Denaihati

Dapatkan artikel terkini terus dalam email anda!