Kisahnya Secebis Hati part 16

Spread the love

Assalamualaikum dan Salam 1Dunia, ini part ke-16 sambungan “Kisahnya Secebis Hati“ hasil coretan dari Penderma HATI, Ahmad Khariri. Kalau belum baca episod awal Part 1 hingga 15 yang dipublish sebelum ni bolehlah KLIK DI SINI. Rakan Blogger boleh menjemput Saudara Ahmad Khariri untuk sessi Motivasi berkongsi pengalaman dan juga kepada yang teringin mempromosikan bisnes isteri beliau sila klik – Bunga Telur Teddy Bear.

Pesakit Bengkak Hati : Allahyarham Adik Mohd Yohitt Bin Mohd Farhan Kutty Krishnan

Penderma Hati : Ahmad Khariri Al-Hadi Bin Md Yusop

Tarikh pembedahan pemindahan hati (Liver Transplant) : 18 Disember 2004

Tarikh Adik Yohitt meninggal dunia : 28 Januari 2005

Abang Khai Kisahnya Secebis Hati

Hari yang dinantikan telah tiba. Sebuah klinik di Petaling Jaya saya kunjungi untuk sesi temubual oleh Doktor Pakar Sakit Jiwa. Saya ditemani oleh isteri namun saya minta beliau tunggu diluar bilik sahaja. Saya tidak mahu beliau tertekan dengan soalan-soalan yang bakal ditanya oleh doktor ini. Saya yakin isteri saya tidak mampu menghadapi tekanan itu kerana ianya bukan seperti temubual yang dijangkakan. Semua ini hasil khidmat nasihat saudara Wan Hafizam.

Di dalam bilik ini saya hanya berdua dengan doktor tersebut dan ianya berlangsung lebih kurang dua jam. Sebelum ini ketika berjumpa dengan Dato’ Dr KC Tan tidaklah seteruk yang saya hadapi ketika ditemubual oleh doktor pakar sakit jiwa ini. Walaupun perbualannya hanya seperti berbual-bual biasa tetapi isi perbualan tersebut seolah-olah ‘peluru’ yang ditembak secara senyap. Wajah doktor itu sentiasa tenang dan mulut beliau tidak lekang senyuman. Saya sudah bersedia sebenarnya dengan keadaan ini.

Doktor itu akan psiko kau dengan soalan-soalan yang merepek! Buat tak layan dan kau balas sahaja jawapan yang kau fikirkan logik!” Pesan Wan Hafizam sebelum kami menamatkan perbualan.

Antara soalan-soalan dari pakar sakit jiwa ini ialah:

  • Mengapa awak teringin sangat hendak dermakan organ kepada orang yang awak tidak kenal?
  • Awak waras ke?
  • Konon-konon awak ingin menjadi hero di negara ke?
  • Bayi itu ada mak, ayah dan keluarga dia. Biarkan dia dengan keluarga dia. Buat apa nak sibuk-sibuk hal keluarga orang lain?
  • Berapa (RM) keluarga itu beri kepada awak?
  • Awak ada keluarga, sekiranya awak mati atau sakit selepas pembedahan itu, siapa yang akan menjaga dan menanggung keluarga awak?
  • (Ini adalah soalan yang buat saya bertambah ‘panas’ tetapi saya cuba tenangkan diri) Saya dimaklumkan oleh doktor pakar dari Kementerian Kesihatan, walaupun bayi itu akan dibedah dan digantikan oleh organ awak, dia akan mati juga. Buat apa hendak membazirkan masa dan wang?

Apa jawapan anda semua sekiranya ditanya dengan soalan-soalan seperti ini?

Walaupun saya sedar ianya hanya psiko untuk melihat sejauh mana saya benar-benar ingin mendermakan sebahagian hati saya namun adalah tidak wajar kerana soalan-soalan ini mengundang rasa yang tidak selesa kepada saya. Adakah setiap perkara kebaikan yang ingin kita lakukan perlu lalui soalan-soalan seperti ini? Mengapa tidak diberikan galakan dengan cara yang lebih menyenangkan semua pihak? Alangkah sedih sekiranya keluarga pesakit ini tahu beginilah yang terjadi dan seolah-olah anak kecil yang menderita kesakitan ini di’permain’kan perasaan dan maruah mereka.

Saya berikan contoh begini. Seorang OKU yang menghadapi masalah penglihatan sedang berusaha untuk melintas jalan raya yang sesak dengan kenderaan. Ramai yang memerhatikan dan ingin membantu insan OKU ini. Tiba-tiba datang seorang ‘manusia’ membawa sepanduk yang tertulis seperti ini..

Jangan cuba membantu OKU ini kerana kereta sedang banyak di jalan raya. Adalah dikhuatiri sekiranya anda membantu OKU ini anda akan mengalami kemalangan dan mungkin mati.

Walaupun ianya hanya contoh atau perumpamaan kepada niat kita yang ingin membantu tetapi perlukah kita dididik dengan ‘amaran’ seperti ini? Adakah ini yang dinamakan keperihatinan sesama manusia?

Di dalam bilik ini semakin PANAS dan bukan kerana kepanasan cuaca tetapi kerana sesi temubual ini telah bertukar kepada sesi menghentam saya! Kredibiliti seorang doktor pakar sakit jiwa sudah saya tidak hormati lagi apabila ayat-ayat seperti mati, hero, tidak selamat, simpati, mengemis, biarkan sahaja, waris dan pelbagai lagi yang keluar dari mulut pakar ini. Saya rasa muka saya sudah ‘merah padam’ menahan marah dan kesabaran saya benar-benar telah diuji oleh doktor pakar ini. Walaupun saya diminta bersabar namun adakalanya saya terpaksa meninggikan sedikit nada suara saya terutama apabila ada soalan-soalan yang ditujukan kepada saya melibatkan kemanusiaan dan maruah seorang manusia.

Sesi temubual ini berakhir dengan saya betul-betul ‘puas dihentam’ dan mengalami tekanan emosi yang hebat. Mungkin doktor tersebut beranggapan beliau baru sahaja berjaya membuatkan saya berfikir untuk menarik diri daripada mendermakan hati saya kepada Adik Atiqah, namun sebenarnya beliau telah tersilap! Walaupun emosi saya sedikit terganggu namun saya telah bertekad apa jua yang terjadi (dengan izin Allah SWT), saya tidak akan berpatah balik dan menyerah kalah hanya kerana beberapa orang yang sedaya upaya membuatkan saya lemah semangat.

Isteri saya perasan perubahan saya sejurus saya keluar daripada bilik doktor pakar tersebut. Beliau tidak banyak bertanya dan hanya memberikan kata-kata semangat agar saya kembali tenang dan kuat. Kata-kata itu walaupun sudah lali kepada saya, namun sebenarnya itulah yang diharapkan oleh seorang suami apabila menghadapi situasi seperti ini. Saya tidak banyak bercakap dan terus menuju ke kereta untuk pulang ke rumah dengan segera. Di dalam kereta juga saya tidak bersuara dan fikiran saya sentiasa teringat kata-kata kurang sopan doktor tersebut tentang niat saya ini.

Saya rasakan tubuh badan saya berbeza seperti sediakala. Terasa panas sejuk tidak menentu. Kepala terasa berat dan jantung saya berdegup laju. Sedih, kecewa, ingin menangis semuanya ada ketika ini. Saya kurang pasti mengapa situasi ini terjadi.

Malam itu saya diserang demam panas!

Bersambung …


Spread the love

43 Comments

Comments are closed.

OTHER POSTS

Subscribe to Denaihati

Dapatkan artikel terkini terus dalam email anda!