Kisahnya Secebis Hati part 14

Assalamualaikum dan Salam 1Dunia, ini part ke-14 sambungan “Kisahnya Secebis Hati“ hasil coretan dari Penderma HATI, Ahmad Khariri. Kalau belum baca episod awal Part 1 hingga 13 yang dipublish sebelum ni bolehlah KLIK DI SINI. Rakan Blogger boleh menjemput Saudara Ahmad Khariri untuk sessi Motivasi berkongsi pengalaman dan juga kepada yang teringin mempromosikan bisnes isteri beliau sila klik – Bunga Telur Teddy Bear.

Pesakit Bengkak Hati : Allahyarham Adik Mohd Yohitt Bin Mohd Farhan Kutty Krishnan

Penderma Hati : Ahmad Khariri Al-Hadi Bin Md Yusop

Tarikh pembedahan pemindahan hati (Liver Transplant) : 18 Disember 2004

Tarikh Adik Yohitt meninggal dunia : 28 Januari 2005

Ahmad Khariri Al-Hadi

Selepas solat Maghrib, saya bersiap-siap untuk pergi ke Fitness First. Ketika saya sampai di gymnasium, mata saya tercari-cari jurulatih peribadi (PT) saya di sudut jurulatih bertugas. Kebiasaannya waktu ini beliau sedang sibuk mengajar pelatih-pelatih yang memerlukan khidmat beliau sebagai jurulatih kecergasan. Kemahiran beliau dan jurulatih yang lain sememangnya diperlukan sekiranya kita benar-benar serius untuk mendapatkan tahap kecergasan yang diperlukan. Rupa-rupanya bukan mudah untuk menjalani latihan kecergasan dengan cara yang betul. Nampak seperti mudah namun terlalu banyak yang saya sendiri tidak tahu walaupun sudah biasa bersenam dan mengunakan mesin-mesin kecergasan yang terdapat di Fitness First ini.

Kelibat Azlan masih tidak kelihatan. Tanpa mempedulikan beliau, saya terus menukar baju di tingkat satu yang menempatkan locker dan bilik persalinan. Kelihatannya ramai yang sudah memulakan aktiviti-aktiviti. Saya menegur beberapa orang yang bertembung dengan saya. Ada beberapa orang yang sedang menukar pakaian sukan, ada yang baru mahu bermula dan ada yang sudah selesai bersenam. Terdapat tiga orang jejaka sedang berbual-bual sambil melibas-libas baju, kepanasan barangkali. Mereka kelihatannya seperti sudah biasa datang ke sini kerana susuk tubuh badan yang tegap seperti seorang atlet bina badan. Mungkin mereka ini sudah lama dan menjadi pelanggan tetap di sini. Di dalam hati ini saya turut menyimpan perasaan untuk menjadi seperti mereka, mempunyai susuk tubuh yang diidamkan oleh semua lelaki.. dan wanita!

Saya turun ke bawah untuk memulakan latihan senaman tanpa ditemani jurulatih peribadi saya. Tips-tips yang diberikan oleh beliau dahulu, saya akan gunakan untuk tanpa beliau di sisi. Boleh dikatakan majoriti yang berada di ruang bawah ini adalah wanita dan hanya beberapa orang sahaja lelaki yang bersenam dan yang selebihnya hanya menjadi penonton kepada gadis-gadis yang sedang bersenam. Sedang membuat ‘senaman’ mata barangkali.

Pada mulanya saya juga berasa amat janggal dikelilingi suasana begini namun saya teruskan jua hasrat saya untuk menguruskan badan bagi membantu adik Atiqah. Saya memulakan dengan larian di trackmill selama 20 minit, 20 minit stepper, 20 minit berbasikal dan 20 minit bermain besi! Saya hanya berehat 5 minit di antara suatu latihan yang lain. Selesai sahaja semua itu, saya seperti mahu pitam! Tenaga saya sudah tiada dan saya pun tidak tahu bagaimana untuk pulang ke rumah. Hanya Allah sahaja yang tahu bagaimana yang saya rasa ketika itu.

Jam hampir menunjukkan pukul 10 malam dan saya masih terduduk di tempat persalinan. Saya tidak mampu untuk bangun dan menukar baju. Peluh masih keluar dan membasahi seluruh tubuh badan gempal saya ini. Walaupun tempat ini mempunyai penghawa dingin yang sejuk namun peluh saya masih belum kering dan tidak dapat menghilangkan kepenatan yang teramat sangat ini.

Tiba-tiba saya ditegur oleh seorang pekerja di sini dan mengatakan sebentar lagi gymnasium ini akan ditutup dan saya perlu segera meninggalkan gymnasium ini. Saya memohon beberapa minit lagi agar untuk mendapatkan kembali tenaga dan menukar baju. Beberapa orang yang masih di situ kelihatan tersenyum-senyum melihat saya. Mungkin mereka beranggapan saya akan berputus asa dan tidak akan datang lagi untuk meneruskan latihan hari-hari seterusnya di sini.

Selesai sahaja menukar baju, saya terus menuju ke tempat memakir kereta saya di bahagian bawah bangunan Wisma Tractors ini. Tinggal beberapa buah sahaja kenderaan yang dipakir dan saya terus mengeluarkan kunci kereta untuk membuka pintu kereta. Apabila saya cuba untuk memusingkan kunci tersebut, tiba-tiba saya rasa saya tidak berdaya. Tangan saya masih lemah dan tidak boleh untuk membuka pintu. Saya mencuba beberapa kali dan akhirnya saya berjaya.. itupun setelah 15 minit! Keadaan sedemikian terjadi juga apabila saya mencuba untuk menghidupkan enjin kereta. Saya duduk di dalam kereta bagi mendapatkan tenaga semula. Setelah beberapa kali mencuba barulah enjin kereta saya dapat dihidupkan. Fuh! Lega rasanya.

Kebiasaannya perjalanan dari Subang Jaya ke Shah Alam hanya memerlukan masa lebih kurang 15-20 minit sahaja. Namun hari ini saya perjalanan ini memakan masa 45 minit dan saya sampai di rumah kira-kira pukul 12.00 malam! Sepanjang pemanduan saya ke rumah, saya sentiasa memikirkan adakah saya akan terus begini sehingga saya dapat menguruskan badan atau saya akan berhenti di separuh jalan. Saya hanya berharap keletihan saya pada hari ini akan membuatkan orang lain bergembira satu hari nanti. Semoga air peluh yang keluar pada hari ini, akan digantikan dengan linangan air mata kegembiraan semua pihak.

Sampai sahaja di rumah, anak-anak kesayangan saya sudahpun tidur dan hanya mak yang masih mengaji di ruang tamu. Saya terus masuk ke bilik untuk mengambil tuala dan terus ke bilik air. Lega rasanya apabila tubuh badan yang berbau peluh ini dibasahi air. Tenaga kembali pulih apabila kesejukan air ini menyentuh kulit sehingga ke tulang. Walaupun saya diberitahu mandi pada waktu malam tidak baik untuk kesihatan namun lebih baik saya mandi daripada saya tidur dalam keadaan yang berbau peluh. Saya berharap tidak ada yang memudaratkan saya dalam hal ini.

Selesai sahaja mandi, saya mengambil air wudhuk dan terus masuk ke dalam bilik menukar baju untuk solat Isyak. Selesai sahaja solat, saya menadah tangan dan berdoa kepada Allah agar segala urusan saya dipermudahkan oleh Allah SWT. Saya memohon ke hadratNya agar impian saya, impian keluarga saya, impian keluarga adik Atiqah dan impian seluruh rakyat Malaysia menjadi kenyataan dan adik Atiqah dapat sembuh seperti kanak-kanak yang lain.

Tatkala berdoa, setitis demi setitis air mata seorang lelaki ini jatuh di sejadah. Sebak dan malu untuk memohon daripadaNya kerana kadangkala saya meninggalkan apa yang disuruhNya. Tiada tempat lagi untuk saya mengadu dan memohon selain daripadaNya Yang Maha Esa. Dia sahaja yang Maha Mendengar segala rintihan hati saya ini. Manusia tidak dapat membantu dan kadangkala manusia juga yang menyebabkan semangat dan keyakinan diri ini akan hilang.

Berbuat baik kepada manusia adalah dituntut tetapi hati budi manusia boleh berubah-ubah. Teringat kata-kata seorang Ustaz ketika belajar di Sekolah Agama Izzuddin Shah, Ipoh satu masa dahulu,

Manusia berjanji dan manusia juga akan mungkir janji tetapi Allah SWT berjanji namun tetapi tidak akan mungkir!”

Bersambung …

43 Comments

Comments are closed.

OTHER POSTS

Subscribe to Denaihati

Dapatkan artikel terkini terus dalam email anda!