Kisahnya Secebis Hati part 9

Spread the love

Assalamualaikum dan Salam 1Dunia, entri kali ni part yang ke-9 sambungan “Kisahnya Secebis Hati“ coretan dari Penderma HATI, Ahmad Khariri Al-Hadi. Bagi yang belum baca episod awal yang telah dipublish sebelum ni iaitu Part 1 hingga 8 boleh KLIK SINI. Rakan Blogger boleh menjemput Saudara Ahmad Khariri untuk sessi Motivasi berkongsi pengalaman dan kepada yang teringin mempromosikan bisnes isteri beliau sila klik – Bunga Telur Teddy Bear.

Pesakit Bengkak Hati : Allahyarham Adik Mohd Yohitt Bin Mohd Farhan Kutty Krishnan

Penderma Hati : Ahmad Khariri Al-Hadi Bin Md Yusop

Tarikh pembedahan pemindahan hati (Liver Transplant) : 18 Disember 2004

Tarikh Adik Yohitt meninggal dunia : 28 Januari 2005

Ahmad Khariri Al Hadi

Ibu nampaknya memahami keadaan diri saya waktu ini. Beliau tidak bertanya apa yang terdapat di dalam surat khabar hari ini. Saya dibiarkan melayan karenah anak-anak bermain. Beliau mungkin telah dapat membaca apa yang sedang saya fikirkan. Bukannya letih kerana banyak kerja di pejabat tetapi berfikir apa lagi yang harus saya tempuhi selepas ini. Rupa-rupanya berhadapan dengan perkara-perkara yang melibatkan sensitiviti dan perasaan insan lain lagi susah daripada menjaga hati dan perasaan keluarga. Mana tidaknya selepas ini pasti ada hubungkait berita di surat khabar tersebut dengan saya dan keluarga adik Atiqah. Jika difikirkan sememangnya ada banyak perkara yang baik apabila cerita ini diketahui oleh seluruh rakyat Malaysia tetapi secara jujurnya saya belum bersedia untuk menjawab soalan-soalan serius berkaitan ini semua. Saya sendiri tidak menjangkakan keadaan sebegini yang harus saya tempuh.

Sepanjang malam saya hanya berkurung di dalam bilik sahaja. Anak-anak dan isteri sedang duduk di ruang tamu bersama beberapa ahli keluarga yang lain. Mungkin ada ahli keluarga yang perasan perubahan tentang diri saya semenjak petang tadi. Cuma mereka tidak menegur saya dan bertanya. Barangkali ibu telah berpesan agar saya tidak diganggu buat sementara waktu. Selepas saya menjemput isteri pulang dari tempat kerja, saya terus mandi, solat dan tidak lagi keluar dari bilik. Isteri ada mengajak saya makan malam bersama namun selera saya seperti disekat daripada dimasuki sebarang makanan mahupun minuman. Saya hanya terbaring merenung siling rumah berfikir dan terus berfikir. Apa yang saya fikirkan sendiri kurang jelas kerana perasaan saya berkecamuk dengan pelbagai perkara.

Ahmad Khariri Al Hadi

Pada malam ini juga saya terpaksa membatalkan latihan di Fittness First. Saya menghubungi Azlan petang tadi apabila saya rasakan tidak bersemangat seperti biasa untuk sesi training. Saya tidak memberikan sebabnya untuk tidak dapat hadir. Tidak perlu untuk menambahkan lagi serabut di kepala ini. Saya berpendapat Azlan mungkin tidak mampu untuk membantu saya dalam situasi ini. Beliau hanya seorang pelatih kecergasan dan bukannya pakar dalam menyelesaikan masalah saya ketika ini, fikir saya. Ada kemungkinan juga beliau tidak membaca akhbar hari ini. Sibuk melatih barangkali. Kalau tidak masakan beliau tidak bertanya sebab saya tidak dapat hadir.

Sesekali Aina dan Anis masuk ke bilik bermain-main di atas katil berhampiran saya. Mereka memanjat-manjat badan saya sambil ketawa dan bergurau. Kebiasaannya saya akan turut serta dalam permainan bersama mereka ini namun kali ini tidak begitu. Saya hanya memerhatikan mereka berdua bermain seolah-olah saya tidak berada di situ. Suara saya tiada untuk menegur kehadiran mereka. Saya ‘hilang’ dalam pandangan mereka dan fikiran saya merewang jauh menembusi kelam malam ini. Jasad sahaja berada di hadapan mereka namun hakikatnya diri abah mereka ini ‘kaku’ seketika. ‘Kaku’ dari segi tingkahlaku kebiasaan. Saya tidak berupaya untuk ketawa dan bergurau pada malam ini. Barangkali anak-anak saya juga terfikir begitu. Pelik dengan sikap saya, anak-anak mulai bosan dan keluar dari bilik. Akhirnya saya tertidur pada malam itu bukan dalam keadaan diri saya yang sebenar. Bukan Ahmad Khariri Al-Hadi yang suka bergurau dan bukan seorang abah yang sering membuatkan anak-anak menjerit kerana diusik.

Di pejabat, saya sudah menjadi sedikit pendiam. Kurang menegur dan kurang bercakap dengan sahabat sekerja mahupun kakitangan bawahan saya. Saya lebih selesa membuat kerja yang diamanahkan. Ada beberapa orang sahabat yang berbisik-bisik apabila saya melintasi mereka. Biarlah apa pun yang mereka umpatkan saya tidak ambil pusing semua itu. Senyuman tawar saya berikan. Saya tidak marah kepada sesiapapun di pejabat ini. Walhal sebenarnya saya cukup berterima kasih kepada mereka semua. Apa yang saya lalui 24 jam yang lepas tidak diungkitkan sedikitpun. Mungkin ada yang mengatakan mengapa saya perlu bersikap begini hanya kerana sebuah gambar dan cerita di akhbar tersebut? Jawapannya mudah, saya tidak biasa menjadi bahan cerita apatah lagi cerita yang melibatkan tujuan ikhlas saya kepada adik Atiqah. Saya bukannya seorang artis yang memerlukan kontroversi atau gossip untuk naik ke persada yang dikenali. Namun saya berharap saya akan lebih matang dan bersedia sekiranya keadaan sebegini memerlukannya.

Bersambung …


Spread the love

64 Comments

Comments are closed.

OTHER POSTS

Subscribe to Denaihati

Dapatkan artikel terkini terus dalam email anda!