Kisahnya Secebis Hati part 12

Spread the love

Assalamualaikum dan Salam 1Dunia, ini part ke-12 sambungan “Kisahnya Secebis Hati“ hasil coretan dari Penderma HATI, Ahmad Khariri. Kalau belum baca episod awal Part 1 hingga 11 yang dipublish sebelum ni bolehlah KLIK DI SINI. Rakan Blogger boleh menjemput Saudara Ahmad Khariri untuk sessi Motivasi berkongsi pengalaman dan juga kepada yang teringin mempromosikan bisnes isteri beliau sila klik – Bunga Telur Teddy Bear.

Pesakit Bengkak Hati : Allahyarham Adik Mohd Yohitt Bin Mohd Farhan Kutty Krishnan

Penderma Hati : Ahmad Khariri Al-Hadi Bin Md Yusop

Tarikh pembedahan pemindahan hati (Liver Transplant) : 18 Disember 2004

Tarikh Adik Yohitt meninggal dunia : 28 Januari 2005

 

Abang Khai Ada Hati

 

Satu demi satu soalan diajukan kepada saya. Kadangkala soalan-soalan daripada wartawan ini sesuatu yang sukar untuk saya fikirkan jawapannya dalam tempoh yang lama. Dalam beberapa saat sahaja jawapan ‘terpaksa’ diberikan. Kadangkala terfikir juga adakah jawapan yang saya berikan itu betul atau sengaja direka-reka. Bukannya menipu tetapi bagi orang yang baru 2-3 kali berhadapan dengan pihak wartawan ini, banyak yang perlu saya pelajari terutama ketika menjawab soalan-soalan yang berbentuk peribadi. Mudah-mudahan jawapan kepada setiap soalan itu adalah yang terbaik daripada saya dan tidak menyinggung mana-mana pihak terutama keluarga saya dan keluarga adik Atiqah.

Lensa kamera dan lampunya memenuhi ruang di hadapan saya. Soalan demi soalan diajukan dan kadangkala saya diminta untuk beraksi bersama-sama adik Atiqah. Beberapa possing yang sengaja di’lakon’kan untuk menjadikan sesi temubual ini lebih menarik. Menarik perhatian orang ramai dan barangkali untuk menarik pembaca dan penonton. Apa jua yang berlaku petang ini, saya hanya berniatkan untuk membantu adik Atiqah dan jauh sekali untuk bermegah-megah dengan apa yang akan saya lakukan satu hari nanti. Semoga dengan cerita dan berita yang bakal keluar nanti, menjadikan perjalanan saya dan adik Atiqah berkongsi hati dalam satu pembedaham pemindahan hati lebih mudah.

Saya rasakan pihak media memainkan peranan yang amat penting dalam mempublisitikan cerita dan berita seumpama ini. Walaupun kadangkala ada yang sengaja diada-adakan bagi melariskan jualan namun dalam soal kemanusiaan begini, pihak media terlalu penting bagi kami. Mereka juga manusia dan mereka juga punya perasaan belas ehsan. Sekiranya mereka semua tiada, mungkin harapan kepada kami agak tipis. Bagaimana kami ingin mencari dana pembedahan yang sebegini banyak? Amat mustahil kami boleh melakukannya secara individu kecuali dengan izinNya sahaja.

Allah SWT juga menyarankan hambanya berusaha terlebih dahulu sebelum menyerahkan segala-galanya kepadaNya. Dengan usaha dan berdoa barulah kita boleh mengharapkan tawakal sebagai jalan terakhir. Dana sejumlah RM275,000.00 yang perlu dicari dalam masa yang singkat ini amat merisaukan kami dan keluarga kami kerana sekiranya tiada pembabitan pihak media, ianya hanya sekadar ‘mimpi di siang hari’ sahaja.

Adik Atiqah adalah salah seorang insan yang bertuah kerana ramai yang bersimpati dan ingin membantu beliau. Saya dimaklumkan oleh Encik Sharif, sejak keluar gambar dan berita pagi ini ramai tetangga dan orang luar menziarahi dan menelefon beliau untuk menziarahi adik Atiqah. Tidak semena-mena nama adik Atiqah menjadi bualan ramai pihak yang ingin membantu beliau. Syukur kepada Allah SWT yang melahirkan keperihatinan kepada kita semua terhadap masalah yang ditanggung oleh adik Atiqah dan keluarga Encik Sharif.

Jika sebelum ini tiada siapa yang mempedulikan nasib adik Atiqah tetapi saya yakin selepas ini nasib beliau akan berubah. Lebih banyak tangan-tangan yang sudi menghulurkan tangan membantu pesakit Bengkak Hati ini. Putaran dunia akan merubah segalanya nasib adik Atiqah. Beliau seumpama Idola kepada kanak-kanak senasib dengan beliau. Adik Atiqah akan menjadi ‘jurucakap’ kepada dunia bahawa kanak-kanak kecil juga memerlukan perhatian untuk terus hidup di bumi Malaysia yang tercinta ini. Walaupun bukan mulut beliau yang berkata namun dengan suara hati kanak-kanak kecil ini lebih mudah difahami oleh kita semua.

Lebih kurang jam 5.15 sesi wawancara ini selesai. Saya mengharapkan agar cerita dan berita ini akan mensensasikan dunia perubatan yang kadangkala hanya memilih ‘pangkat dan darjat’ untuk dibantu. Mungkin berlainan situasinya apabila yang sakit ketika ini adalah anak kepada seorang kenamaan mahupun artis terkenalkan? Dalam sekelip mata sahaja semua pihak tampil membantu dan tidak perlu bersusah payah ‘mengemis’ di dada akhbar mahupun televisyen.

Rasanya tidak perlulah ianya diulang-ulang beberapa kali lagi untuk menarik perhatian pihak berwajib yang seharusnya lebih peka dan prihatin terhadap masalah anak kecil seperti adik Atiqah ini. Sekiranya mereka tersentap dengan berita ini, seharusnya satu tindakan segera perlu diambil. Jika tidak, mereka ini umpama seperti ‘masuk telinga kanan, keluar telinga kiri’. Mereka mencari rezeki dan menyuap mulut ahli keluarga dengan ‘air mata’ adik Atiqah dan kanak-kanak yang senasib dengan beliau. Perasaan geram ini hadir bukan kerana personaliti diri saya, tetapi kerana situasi yang melibatkan nyawa adik Atiqah dipermain-mainkan.

Bersambung …


Spread the love

37 Comments

  1. Peranan media dalam menyebarkan berita kemanusiaan amatlah penting. Ramai yg nak menolong, tp tak terjumpa channelnya.

    Moga cerita2 sebegini mampu mmberi kesedaran kepada kita yg masih ramai lagi yg memerlukan bantuan dan perhatian kita
    Curahan rasa hafizmd @ ..Wordless Wednesday #29 SyamsiMy Profile

Comments are closed.

OTHER POSTS

Subscribe to Denaihati

Dapatkan artikel terkini terus dalam email anda!