Cita-cita Saidina Umar al-Khattab R.A

Spread the love

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Warna-warni, suka-duka dan pelbagai peristiwa yang berlaku sepanjang 2021, itulah putaran hidup yang terpaksa kita lalui. Benarlah firman Allah SWT:

وَتِلْكَ الْأَيَّامُ نُدَاوِلُهَا بَيْنَ النَّاسِ

MaksudnyaDan demikian itulah keadaan hari-hari (dunia ini dengan peristiwa-peristiwa kemenangan atau kekalahan), kami gilirkan dia antara sesama manusia, (supaya menjadi pengajaran)

(Surah Ali Imran: 140)

Dalam menapak ke hadapan pada 2022 ini, sudah semestinya kita mempunyai hasrat, harapan untuk bertambah baik dalam meniti kehidupan.

Menyebut cita-cita Saidina Umar sebagai mengambil semangat dan inspirasi untuk kita bina cita-cita kita ke arah yang lebih baik dalam melayari bahtera kehidupan ini.

Suatu ketika, Saidina Umar bin al-Khattab R.A berkata kepada sahabat-sahabatnya:

تَمَنَّوْا ، فَقَالَ بَعْضُهُمْ : أَتَمَنَّى لَوْ أَنَّ هَذِهِ الدَّارَ مَمْلُوءَةٌ ذَهَبًا أُنْفِقُهُ فِي سَبِيلِ اللهِ وَأَتَصَدَّقُ ، وَقَالَ رَجُلُ : أَتَمَنَّى لَوْ أَنَّهَا مَمْلُوءَةٌ زَبَرْجَدًا وَجَوْهَرًا فَأُنْفِقُهُ فِي سَبِيلِ اللهِ وَأَتَصَدَّقُ ،

ثُمَّ قَالَ عُمَرُ : تَمَنَّوْا فَقَالُوا : مَا نَدْرِي يَا أَمِيرَ الْمُؤْمِنِينَ ، فَقَالَ عُمَرُ : أَتَمَنَّى لَوْ أَنَّهَا مَمْلُوءَةٌ رِجَالاً مِثْلَ أَبِي عُبَيْدَةَ بْنِ الْجَرَّاحِ ، وَمُعَاذِ بْنِ جَبَلٍ ، وَسَالِمٍ مَوْلَى أَبِي حُذَيْفَةَ ، وَحُذَيْفَةَ بْنِ الْيَمَانِ.

Maksudnya“Tunjukkan cita-cita kamu.” Salah seorang menjawab, “Aku bercita-cita rumah ini dipenuhi dengan emas, agar aku dapat infakkan di jalan Allah dan bersedekah!” Sahabat yang lain pula berkata: “Aku bercita-cita rumah ini dipenuhi zamrud dan batu permata agar aku dapat infakkan di jalan Allah dan bersedekah!”

Kemudian Umar R.A berkata lagi: “Tunjukkan cita-cita kamu.” Mereka menjawab: “Kami tidak tahu wahai Amir al-Mukminin.”

Lalu Umar R.A berkata: “Aku bercita-cita agar rumahku dipenuhi pemuda-pemuda seperti Abu Ubaidah Ibn al-Jarrah, Mu’adz bin Jabal, Salim Maula Abi Huzaifah dan Huzaifah ibn al-Yaman.”

Riwayat al-Hakim dalam al-Mustadrak (5005),
dan Abu Nu’aim dalam Hilyah al-Auliya’ (318)

Mafhum daripada cita-cita sahabat dan Saidina Umar amat banyak. Antaranya:

  • Sahabat bercita-cita untuk mendapat kejayaan dalam hidup yang disambung dengan kejayaan akhirat. Ia seolah-olah dunia sebagai ladang akhirat untuk menatijahkan pahala dan syurga di hari akhirat kelak.
  • Cita-cita Saidina Umar jelas menunjukkan betapa jauhnya ufuk minda dan pemikiran Saidina Umar dalam meraih human capital atau modal insan bagi manusia kerana ia menjadi pengubah dunia dan pemakmurnya mengikut neraca Syari’ah. Justeru, cita-cita Saidina Umar jauh lebih besar berbanding dengan yang lain.
  • Nama-nama yang disebut oleh Saidina Umar seperti Abu Ubaidah Ibn al-Jarrah, Mu’adz bin Jabal, Salim Maula Abi Huzaifah dan Huzaifah ibn al-Yaman adalah tokoh yang amat istimewa dengan kelebihan yang tersendiri, menegak dan mengukuhkan agama Islam dan sebaran dakwah Islamiyyah begitu meluas. Mereka juga adalah antara yang cerdik, bijak, berhikmah dan mempunyai kesabaran yang amat tinggi untuk menjulang Syariat Islamiyyah.

Cita-cita Tokoh Besar

Kami sengaja kemukakan cita-cita tokoh besar untuk sama-sama kita tekuni. Mudah-mudahan kita juga satu masa nanti akan memperolehi apa yang kita cita-citakan. Antaranya:

  • Barack Obama[1], Mantan Presiden Amerika Syarikat

Beliau telah mengungkapkan cita-cita menjadi presiden sejak di bangku sekolah rendah dan sehingga dewasa cita-citanya tidak pernah berubah. Perkara ini diceritakan oleh Israella Pareira, salah seorang bekas gurunya semasa di sekolah rendah.

Obama kemudian merealisasikan cita-cita yang dipasakkannya sejak hampir 40 tahun lalu. Seluruh dunia menyaksikan Barack Obama mewujudkan cita-citanya menjadi presiden pertama dari bangsa kulit hitam dengan mengalahkan lawannya, John McCain.

  • Bill Gates[2], Pengasas Microsoft

Ayah beliau, William H. Gates berkata bahawa anaknya ketika di bangku sekolah rendah pernah diminta untuk menulis tugasan berkenaan cita-cita. Beliau kemudian menggambarkan sebuah kotak dengan tulisan saintis di sebelahnya. Beliau sememangnya telah menunjukkan minat dalam bidang sains sejak kecil lagi. Sebahagian besar masanya dihabiskan dengan membaca dan bermain dengan programming komputer sejak usia 13 tahun lagi.

Beliau kemudian mengasaskan perniagaan software bersama rakannya Paul Allen pada 1975. Antara tahun 1978-1981, Microsoft berkembang dengan pesat. Sehinggalah sekarang banyak komputer di dunia menggunakan software Microsoft.

  • Thomas Alva Edison[3]

Sebelum beliau berjaya, beliau telah ribuan kali melakukan eksperimen yang gagal. Ketika rakan-rakannya mengejek kegagalannya, beliau menjawab: “Tidak, aku sama sekali tidak gagal dalam percubaan ini. Aku hanya menemui satu cara baharu yang menjadikan mentol ini tidak menyala.”

  • Stephen Hawking[4]

Beliau menonjolkan minat dan bakatnya terhadap matematik dan fizik sejak masa kecil lagi. Ketika berumur sebelas tahun, Hawking menghadiri Sekolah St Albans di Hertfordshire yang berhampiran dengan London. Hawking kemudian menyertai Kolej Universiti, Oxford, dan hendak belajar matematik. Apabila kursus matematik tidak ada, beliau belajar fizik sebagai ganti.

Pada 1974, Hawking menjadi satu daripada felo termuda badan saintifik berprestij di Britain, Royal Society pada usia 32 tahun. Seterusnya pada 1979, beliau dilantik sebagai Profesor Lucas Matematik di Universiti Cambridge yang pernah dipegang oleh Isaac Newton.

Ramai yang suka bekerja dengan beliau kerana sikap agresif dan gaya fikirnya untuk menghasilkan sesuatu yang luar biasa. Dalam masa yang sama, terdapat segelintir individu yang memandang sikap ini sebagai satu sikap yang sia-sia. Mereka beranggapan, menghasilkan sesuatu yang belum pernah dihasilkan orang lain adalah satu tindakan yang membazir masa. Kita akan menghadapi risiko yang tinggi, sama ada kerugian berbilion ringgit, atau kerugian masa selama bertahun-tahun akibat mengusahakan sesuatu yang tidak pasti.

Tetapi tidak pada diri Steve Jobs. Selagi beliau mahu produk itu disiapkan, maka ia mesti disiapkan. Walau apa jua cara sekalipun.

Bill Gates – rakan yang juga pesaingnya – pernah mengungkapkan bahawa tiada siapa mampu menandingi kemampuan Steve Jobs dalam mencapai sesuatu yang diinginkan. [6]

Cita-cita Ulama’

Kami lampirkan di sini hasrat dan cita-cita para ulama sedari kecil lagi. Antaranya:

  • Dr. Yusuf al-Qaradhawi

Ketika ditanya semasa di bangku sekolah, “Apa cita-cita kamu?” Beliau menjawab, “Ingin menjadi Syeikh al-Azhar.” Guru yang bertanya terkejut dan menggelengkan kepala.

Walaupun Syeikh al-Qaradhawi belum ditakdirkan menjadi Syeikh al-Azhar sedangkan kemampuan dan ilmunya amat luar biasa. Justeru murid-muridnya berkata, “Kamu bukan Syeikh al-Azhar tetapi kamu adalah Syeikh al-Ummah.” Dalilnya beliau pernah menjawat sebagai Pengerusi Kesatuan Ulama’ Sedunia dan beliaulah yang mengasaskannya, yang menghimpunkan ulama’ seluruh dunia.

Beliau merupakan salah seorang tokoh yang luar biasa dalam ilmu perubatan. Kemampuannya boleh merawat seorang raja menyebabkan raja tersebut bertanya kepadanya, “Apakah yang diingini dan dicita-citakan?” Maka jawabnya, “Patik dengar, tuanku mempunyai perpustakaan yang besar, di mana banyak kitab-kitab yang nadir terdapat dalam perpustakaan tuanku. Maka izinkan patik masuk untuk membacanya.”

  • Imam Izzuddin Ibn Abdissalam[8]

Imam Taqiyyuddin al-Subki berkata, “Pada mulanya Syeikh Izzuddin hidup dalam keadaan sangat miskin. Beliau baru mula belajar ketika sudah berusia dewasa. Faktor yang membuat beliau tergerak untuk belajar adalah pernah suatu hari beliau tidur di pintu bahagian utara Masjid Umawi di Damsyiq. Cuaca malam itu sangat dingin, lantas beliau bermimpi basah (junub). Dengan segera beliau bangun dan pergi ke perigi untuk mandi. Setelah mandi, beliau merasa sangat sejuk. Kemudian beliau kembali lagi tidur dan bermimpi basah lagi. Akhirnya pergi lagi ke perigi untuk mandi. Kerana pintu masjid ketika itu tertutup dan tidak membolehkannya keluar, maka beliau memanjat pintu. Namun akhirnya beliau pengsan disebabkan terlalu sejuk. Perkara itu terjadi kerana beliau tidak mengetahui bahawa sebenarnya beliau dibolehkan untuk tidak mandi dan menggantinya dengan tayamum ketika musim dingin dan tidak ada air hangat. Ketika beliau mengetahui hal itu, beliau bertekad untuk mulai mencari ilmu.

Meskipun beliau baru mula menuntut ilmu pada usia tua, namun beliau sangat bersemangat menghafaz kitab dan giat belajar, dan secara berkala belajar kepada para ulama’ besar pada masa tersebut. Semua itu beliau lakukan untuk menebus masa kecilnya yang tidak sempat merasai pendidikan lantaran keadaan keluarga beliau yang miskin.

Ketekunan beliau ditunjukkan dengan jarangnya tidur pada malam hari. Beliau pernah berkata bahawa selama 30 tahun beliau tidak tidur sebelum benar-benar memahami kitab yang sedang beliau pelajari. Selain itu lingkungan di mana beliau tinggal, iaitu Damsyiq pada masa itu adalah daerah yang dipenuhi ulama’-ulama’ yang masyhur dalam pelbagai ilmu.

  • Umar bin Abdul Aziz

Beliau dibesarkan di kota Madinah dalam keadaan yang cukup selesa di samping bergaul dengan pembesar, para ulama dan orang-orang soleh. Hatinya sangat rindu kepada Masjid Nabi sehinggakan beliau sentiasa berada di sana. Hatinya begitu terpaut kepada ulama yang terkemuka pada masa itu, iaitu Abdullah bin Umar, bapa saudara kepada ibunya. Beliau bercita-cita mengambil hadis daripadanya dan begitu bersemangat untuk mengikuti sirah Abdullah bin Umar. Pernah pada suatu ketika, beliau berkata kepada ibunya: “Hai ibu, aku suka untuk menjadi seperti bapa saudaraku (Ibn Umar).” Lantas ibunya menjawab seolah-olah dengan nada kehairanan: “Kamu mahu menjadi seperti bapa saudaramu?” Ibunya mengulangi persoalan tersebut berulang kali.

Akhir kalam, kami mengharapkan sebuah kebaikan dan keberkatan hidup sentiasa menaungi kami dan singgah dalam kehidupan kita semua yang akhirnya membawa kebahagiaan dan ketenangan. Ingatlah, api kemarahan dan dendam kesumat tiada yang bermanfaat kecuali kebinasaan dan kerugian yang akan mengundang ke dalam kehidupan kita. Justeru, tepuk dada tanyalah iman.

Kami menadah tangan dan bermunajat kepada Yang Maha Esa:

اللَّهُمَّ اجْعَلْ مَاليزِيَا وَسَائِرَ بِلَادِ الْمُسْلِمِينَ طَيِّبَةً آمِنَةً مُطْمَئِنَّةً رَخِيَّةً، يَا رَؤُوفًا بِالْعِبَادِ

اللَّهُمَّ أَعِزَّ الْإِسْلَامَ وَالْمُسْلِمِينَ فِي كُلِّ مَكَانٍ وَحِيْنٍ، وانْصُرْ مَن نَصَرَ الدِّينَ، وَاخْذُلْ

مَنْ خَذَلَ الْمُسْلِمِينَ، وَأَعْلِ كَلِمَتَكَ إِلَى يَوْمِ الدِّينِ، وَدَمِّرْ أعْدَاءَكَ أعْدَاءَ الدِّينِ

رَبَّنَا لَا تُزِغْ قُلُوبَنَا بَعْدَ إِذْ هَدَيْتَنَا وَهَبْ لَنَا مِن لَّدُنكَ رَحْمَةً ۚ إِنَّكَ أَنتَ الْوَهَّابُ

رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ

Semoga negara kita Malaysia yang kita pijak ini, menjadi negara yang aman sentosa serta diberkati Allah dan seperti yang disifatkan Baldatun Toyyibatun wa Rabbun Ghafur. Amin.


Spread the love
OTHER POSTS

Subscribe to Denaihati

Dapatkan artikel terkini terus dalam email anda!