Keputusan kebenaran laksana umrah bermula 8 Februari disambut baik

Spread the love

Kuala Lumpur: Persatuan Pengembaraan Dan Agensi Pelancongan Selangor (SAFTTA) menyambut baik keputusan Kabinet memberi semula kebenaran perjalanan umrah bermula 8 Februari 2022 ini.

Presiden SAFTTA, Dr Fathir Badri Alhadad berkata, keputusan diumumkan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac), Datuk Seri Nancy Shukri itu memberikan kelegaan kepada hampir 10,000 jemaah umrah yang sudah tertangguh perjalanan umrah mereka.

Beliau berkata, sesi pertemuan dan libat urus agensi umrah bersama Nancy dan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin ternyata membuahkan hasil.

“Perasaan syukur dan terharu dengan keputusan kerajaan ini sudah pastinya kepada hampir 10,000 jemaah umrah yang telah tertangguh perjalanan umrah mereka, selain pihak pengendali umrah.

“Sesi libat urus bersama Menteri Motac dan Menteri Kesihatan jelas membuahkan hasil positif, ternyata mereka juga mengotakan janji mereka untuk tidak melanjutkan tempoh penggantungan perjalanan umrah melebihi satu bulan.

“Keprihatinan kerajaan yang turut berjanji untuk memaklumkan awal kepada kami juga sudah mereka kotakan,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, dengan pemakluman awal maka dapatlah ahli persatuan mengurus semula jadual perjalanan jemaah masing-masing.

Menurutnya, SAFTTA akan terus berbincang dengan kementerian terbabit untuk merangka prosedur operasi standard (SOP) supaya perkara penangguhan umrah ini tidak akan berulang lagi.

“Kami juga menyeru jemaah untuk sentiasa menjaga SOP dan kebersihan ketika mereka mengerjakan umrah kelak,” katanya.

Terdahulu, Kabinet hari ini membuat keputusan umat Islam di negara ini boleh kembali mengerjakan ibadah umrah mulai 8 Februari ini.

Nancy dilaporkan berkata, keputusan itu dibuat kerana kerajaan tidak berhasrat melanjutkan penangguhan sementara ibadah umrah yang berkuat kuasa 8 Januari lalu berikutan penularan jangkitan Omicron.

Bagaimanapun, beliau berkata, garis panduan SOP baharu susulan penarikan semula penangguhan itu akan dibincangkan secara terperinci termasuk bersama agensi umrah, selepas ini.

“Baru tadi kami buat keputusan sepertimana dinyatakan dahulu yang penangguhan umrah hanya satu bulan sahaja jadi bermula 8 Februari ini bolehlah agensi pelancongan umrah meneruskan aktiviti umrah dan inilah yang sudah diputuskan hari ini oleh Kabinet.

“SOP baharu akan dibincang bersama agensi pelancongan umrah kerana kita mahu pastikan apabila balik (dari tanah suci) nanti mereka (jemaah) dapat pilih di mana mereka nak dikuarantinkan,” katanya kepada media selepas pelancaran Video Dream Malaysia melalui kerjasama Tourism Malaysia dan GoPro Malaysia, di sini, hari ini.

Sebelum ini Khairy mengumumkan kerajaan menangguhkan ibadah umrah buat sementara waktu berkuat kuasa 8 Januari lalu berikutan penularan jangkitan Omicron.

Mengenai penerbangan pertama bagi jemaah umrah bermula 8 Februari ini, Nancy berkata, ia belum diputuskan lagi.

“Mungkin agensi pelancongan umrah sudah mengetahui sebab kami juga sudah mengadakan perjumpaan dengan mereka tidak sampai dua minggu lalu.

“Saya rasa mereka sudah membuat persediaan untuk aktiviti atau promosi mereka selanjutnya,” katanya.


Spread the love
OTHER POSTS

Subscribe to Denaihati

Dapatkan artikel terkini terus dalam email anda!