Camar Bulan dan Tanjung Datu

Spread the love

Assalamualaikum dan salam 1Dunia, Indonesia terlalu rapat dengan aku selain dari sering berulang alik ke Jakarta, Bandung, Pekanbaru, Bali, Padang dan banyak lagi kota yang lain, keluarga aku juga berasal dari Indonesia. Keturunan Emak berasal dari Jawa Barat, keturunan Abah berasal dari Sumatera Barat dan paling menarik Ibu Mertua aku katanya berasal daripada keturunan Pengeran Diponegoro. Bukan sahaja aku malah ramai lagi rakyat Malaysia yang keturunan susul galurnya dari Indonesia. Kerana itu ramai yang merasakan Indonesia itu terlalu rapat di hati sebahagian besar rakyat Malaysia.

Malangnya rasa kasih sayang rakyat Malaysia tidak dapat dirasai oleh sebilangan rakyat Indonesia. Isu demi isu dibawa untuk menyalahkan Malaysia. Rakyat Malaysia keturunan Jawa dikatakan mencuri budaya Indonesia dengan wayang kulit, tarian kuda kepang dan sebagainya. Nasib baik rakyat Malaysia keturunan Cina yang mengamalkan budaya Cina tidak dituduh mencuri budaya oleh rakyat China dan rakyat Malaysia keturunan India yang mengamalkan budaya India tidak dituduh mencuri budaya oleh Rakyat India.

Kalau dulu Ambalat kini Malaysia dikatakan menceroboh Camar Bulan dan Tanjung Batu. Kerajaan Malaysia sudah berulang kali mengatakan bahawa tiada pencerobohan berlaku di Camar Bulan dan Tanjung Batu. Perkara ini disahkan oleh Kerajaan Indonesia tetapi masih adalah lagi rakyat Indonesia yang tidak puashati dengan meneruskan demostrasi di hadapan Kedutaan Malaysia di Jakarta. Perkataan Ganyang Malaysia terus berkumandang di sana-sini.

Apa sebenarnya yang berlaku? Apa sebenarnya yang mereka inginkan? Adakah mereka cemburu dengan kejayaan Malaysia dianggap adik oleh Indonesia. Atau mungkin Malaysia hanya menjadi punching bag apabila berlaku isu dalaman sebagaimana kes Ambalat apabila rakyat Indonesia marah bila harga petrol dinaikan oleh Kerajaan. Atau mungkin ada pihak ketiga yang akan sentiasa mencipta isu supaya Malaysia dan Indonesia tidak menjadi rakan karib secara tidak lansung Islam akan menjadi lemah.

Sampai bila kita mesti begini?


Spread the love