Kisah 10 hari terakhir Ramadan, pecutan untuk bekalan akhirat berkali ganda

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Rasulullah mempergiatkan amal ibadah pada 10 terakhir daripada bulan Ramadan melebihi daripada waktu lain.

Antara ibadat yang boleh dilakukan pada 10 terakhir Ramadan ialah iktikaf di masjid, perbanyakkan ibadat khusus seperti membaca al-Quran, sedekah, berzikir solat sunat seperti duha, solat tahajud, solat tasbih dan lain-lain.

Aisyah Radhiyallahu anhuma, berkata: “Rasulullah SAW lebih giat (dalam beribadah) pada sepuluh hari terakhir ini yang tidak baginda lakukan pada hari-hari lainnya.” (HR Muslim No: 2009)

Melipat Gandakan Amal Di Sepuluh Akhir Ramadan

Dikatakan Saidina Umar sibuk menunaikan solat sepanjang malam hingga fajar. Qatadah pernah mengkhatam seluruh al-Quran setiap malam pada 10 malam terakhir Ramadan.

Ada orang yang sanggup mengambil cuti semata-mata untuk menumpukan ibadat sepanjang 10 hari terkahir Ramadan.

Mari kita lipat gandakan amalan di sepuluh hari terakhir daripada Ramadan ini dengan tiga tips ini.

1. Menjaga solat terawih dan pergi awal ke masjid, bersungguh untuk berada di saf paling hadapan dan tidak beredar sehinggalah imam meninggalkan tempatnya.

2. Iktikaf – usahakan pada sepuluh terakhir bulan Ramadhan, ajak ahli keluarga, jiran dan kenalan ke Masjid sekurang-kurangnya bermula waktu magrib sehingga tamat solat tarawikh.

3. Perbanyakkan doa “Sesungguhnya doa di waktu sahur adalah anak panah qadar”. Doa untuk diri dan keluarga, doa untuk dakwah ini, doa untuk kesejahteraan umat Islam di Malaysia.

Amalan Iktikaf 10 Hari Terakhir Ramadan

Daripada Aisyah Radhiyallahuanha, bahawa Nabi SAW beriktikaf pada sepuluh hari terakhir dari bulan Ramadan sampai Allah mewafatkan baginda, kemudian isteri-isteri baginda (tetap) beriktikaf sepeninggalan baginda. (Sahih Bukhari No: 1922) Dar Ibn Kathir.

Iktikaf ialah tetap tinggal di dalam masjid dengan niat beriktikaf dan bertujuan beribadat kepada Allah. Mengikut Imam Syafie, iktikaf boleh dilakukan sekadar masa lebih sedikit daripada tomakninah dalam solat.

Sunnah iktikaf yang dilakukan Rasulullah SAW ialah sepuluh hari terakhir daripada bulan Ramadan. Baginda melaksanakan sejak berpindah ke Madinah sehingga baginda wafat.

Amalan iktikaf sepuluh hari terakhir Ramadan antara sunnah Rasulullah SAW yang dilupakan oleh kebanyakan umat Islam hari ini. Amalan iktikaf dapat mengembalikan kita untuk mengimarahkan masjid (rumah Allah). Rumah yang menghimpunkan kebaikan untuk dunia dan akhirat.

Mengimarahkan masjid adalah tanda orang beriman

Firman Allah:

“Hanyasanya yang layak memakmurkan (menghidupkan) masjid-masjid Allah itu ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat.” (At-Taubat: 18).

Rebut peluang beriktikaf dan menghidupkan sepuluh hari terakhir Ramadan.

Mendirikan Ramadan atas dasar iman bermaksud menghidupkan malam hari dengan solat sunat tarawih, solat witir, solat tahajud, tilawah Al-Quran, iktikaf, berdoa, berwirid dan lain-lain amal soleh kerana menyakini akan amalan sunnah.

Ihtisab membawa maksud mengharap pahala semata-mata dari Allah Ta’ala. Kita tidak merasa berat melaksanakan amal. Tidak dilakukan atas dasar riya’, mencari pujian atau hanya sekadar mengikuti kebiasaan orang sekitar.

gambar masjidil haram
Masjidil Haram

Semoga ibadat qiam di malam hari sama ada untuk solat sunat, tilawah, zikir, doa, iktikaf mahupun bangun sahur, akan menjadi instrumen menghapuskan dosa-dosa yang lalu

Pastikan kita dapat bersama solat tarawikh di masjid atau surau bersama imam hingga selesai kerana ganjarannya ditulis pahala seperti ia qiam sepanjang malam. Rugilah kita yang balik awal dari masjid sedangkan imam masih bersolat.

3 Comments

Comments are closed.

OTHER POSTS

Subscribe to Denaihati

Dapatkan artikel terkini terus dalam email anda!