Bagaimana blog membantu perniagaan anda berkembang

Spread the love

Assalamualaikum dan Salam 1Dunia,

sejak kebelakangan ini, kelihatan semakin ramai yang kembali ingin mengusahakan blog terutama untuk perniagaan-perniagaan yang mula terasa bahang cabaran menggunakan satu saluran semata-mata tanpa melibatkan blog dan laman sesawang.

Ini perubahan yang positif, kerana membina laman sesawang bukan sekadar untuk membuat jualan langsung, tetapi untuk membina juga perhubungan antara syarikat dan pelawat yang baru mahupun pembeli yang sedia ada. Menguruskan artikel ini akan membolehkan kita mempunyai wakil jualan yang bercerita untuk perniagaan kita tanpa perlu kita berada di sana.

Cerita-cerita ini akan dibaca dengan sendiri dan ia akan menjadi wakil jualan dan wakil syarikat yang bercerita tanpa perlu kita berada di situ.

Menguruskan blog untuk perniagaan

Soalnya, bagaimana untuk menulis agar cerita itu menjadi wakil syarikat?

Artikel-artikel ini perlu bercerita kepada pembaca, bukan sekadar menulis artikel hanya kerana ingin menyampaikan makumat produk. Ianya adalah dua perkara yang sangat berbeza. Bercerita kepada pembaca sebaiknya kaitkan dengan kisah hidup seharian, artikel akan menjadi lebih dekat kepada pembaca.

Pembaca juga akan mudah faham mengapa artikel itu ditulis, berbanding jika kita sibuk menerangkan perkara-perkara yang menjurus kepada fitur produk. Info produk kita boleh muatkan dalam halaman khas mengenai produk, tidak perlu sentiasa ingin bercerita mengenai produk dalam artikel.

Pembaca zaman sekarang adalah pembaca yang sangat bijak, mereka membeli selepas membuat kajian dan perbandingan (sebahagiannya). Apabila ini berlaku, artikel-artikel mengenai pengalaman dalam kehidupan ini akan memberikan kesan yang mendalam. Ianya akan menimbulkan keyakinan tanpa dipaksa-paksa.

membina perhubungan dengan pembaca

Kongsi kesan bagaimana masalah diselesaikan dalam artikel

Penulisan cerita dalam artikel, fokus atau lebihkan kepada pengalaman bagaimana masalah diselesaikan. Masalah-masalah ini akan dicari oleh bakal pembaca atau pelawat di laman enjin carian. Mereka tidak akan terus mencari produk kita kerana belum mengenali.

Apabila banyak artikel yang fokus pada masalah-masalah yang dialami, ianya akan menyebabkan trafik organik yang mengikut sasaran kita akan dapat dikumpulkan. Trafik ini akan lebih mudah untuk kita tukarkan kepada pembeli berbanding trafik rawak yang entah datang dari mana.

Masalah = carian.

Rumus mudah ini, membolehkan kita menulis dengan banyak sekali, terutama sekiranya produk atau perniagaan kita itu berkaitan dengan kehidupan seharian. Semakin banyak masalah yang kita boleh tulis atau ceritakan, semakin tinggi peluang untuk kita mengumpulkan pelawat-pelawat yang mengikut sasaran ini.

menyelesaikan masalah pelanggan

Usah menjual dalam artikel, hanya berikan kesedaran

Mentang-mentang artikel kita menyelesaikan masalah yang dialami dalam kehidupan, usahlah sibuk menjual dalam setiap artikel. Di sini penting untuk kira rancang struktur laman dan bagaimana kita ingin membuatkan pelawat yang berminat boleh mendapatkan produk tanpa perlu menjual secara langsung.

Bunyinya agak pelik sedikit, bagaimana pula boleh membuat jualan jika kita tidak menjual secara langsung.

Itulah menariknya penulisan artikel di blog atau laman sesawang, tujuan utama adalah untuk memberi kesedaran terlebih dahulu. Apabila mereka telah sedar bahawa masalah tersebut boleh diselesaikan, mereka akan mula bertanya atau mencari-cari dalam laman kita.

menguruskan artikel sebagai alat pemasaran jangka masa panjang

Biasanya mereka tak perlu cari pun, sebab struktur laman telah disusun dengan baik dan ini membenarkan mereka untuk mendapatkan perkhidmatan atau produk daripada syarikat kita dengan mudah.

Hari ini, jika kita masih tidak membina laman sesawang dan meletakkan artikel yang bersesuaian dengan perniagaan kita, kita sedang melupakan satu alat pemasaran yang berkesan dan bersifat jangka masa panjang. Usah tunggu lama-lama, kos untuk membina laman bukanlah terlalu mahal, semuanya dalam harga mampu milik.

Semoga rakan-rakan yang mengusahakan perniagaan jangka masa panjang, tidak melupakan kepentingan untuk menulis artikel dan menerbitkan agar ianya menjadi pukat-pukat mengumpulkan bakal pelanggan baru.


Spread the love

36 Comments

    1. Hari ini saya sudah rasa kesannya, blog saya jadi penyumbang untuk prospek hubungi saya untuk ambil servis.

Comments are closed.

OTHER POSTS

Subscribe to Denaihati

Dapatkan artikel terkini terus dalam email anda!