Allah tempat mengadu segalanya

“Dan tidak (dinamakan) kehidupan dunia melainkan permainan yang sia-sia dan hiburan yang melalaikan: dan demi sesungguhnya negeri akhirat itu lebih baik bagi orang-orang yang bertaqwa. Oleh itu, tidakkah kamu mahu berfikir?” (Surah Al-An’am, 6:32)

Bukan sekali jiwa kita pernah remuk sepanjang masih meniti perjalanan hidup di dunia. Bukan sekali kita pernah menangis kerana keadaan jiwa kita yang tidak dapat kita jelaskan kepada orang lain, dan tidak dapat pula orang  lain fahami sesungguhnya. Betapa sehingga hari ini, sudah pelbagai rasa dalam jiwa yang telah kita lalui.

Kadang-kadang kesedihan dan air mata itu bukanlah kerana tidak meyakini bahawa Allah memang tahu dan akan sentiasa membantu kita selagi mana kita menjaga hakNya, tetapi kerana kita ini seorang hamba yang tiada upaya melainkan upaya dari Dia, maka kerapuhan jiwa kita akan tersembah kepadaNya.

Adakalanya tangisan itu terbit kerana kita mahu mengadu kepada Allah. Kita laksana anak kecil yang mahu mengadukan kesakitan dan kesedihan kepada sang ibu. Agar nantinya perasaan lega singgah dihati.

Kita Masih Berada di Dunia

Selalu kita terdengar atau terbaca perkongsian dan peringatan, bahawasanya dunia ini bukanlah tempat kebahagiaan yang hakiki. Bukan juga tempat untuk mendapatkan keabadian selamanya. Semuanya hanya senda gurau, akan lenyap semuanya.

Dunia hanyalah yang kita singgah. Membuat dan membawa segala yang diperlukan untuk pulang ke ‘kampung halaman’; seperti mana kita merantau ke luar daerah, betapa cantik pun tempat baru yang kita diami, tidak akan membuatkan rasa rindu dan cinta kita hilang terhadap kampung halaman.

Walau keselesaan menyapa kehidupan di daerah baru, masih ada kekurangan yang kita rasai. Yang mana kekurangan itu akan menambahkan lagi kecintaan dan kerinduan yang dalam terhadap kampung halaman.

Maka, bukankah sekarang kita laksana sedemikian? Yang hanya singgah di dunia merantau seketika, dan akhirnya akan balik ke kampung kita di alam akhirat sana.

Bukankah sepatutnya kita mempunyai rasa rindu terhadap kehidupan di ’sana’ dengan memotivasikan kita untuk membuat yang terbaik sementara berada di dunia, serta mahu pulang dengan jiwa yang penuh gembira dan bahagia?

Kita perlu sedar, bahawa nantinya dunia ini juga akan membuatkan kita merasa kita tidak berguna. Dan ada ketikanya, dunia juga akan membuat kita merasa bahawa kita sedang menguasai dunia dengan segala tipu daya.

Sedang kita, adalah manusia. Manusia yang jiwanya sering berbolak balik.

Kita Ada Allah Yang Menguatkan Kita

Hidup ini, adalah sangat tipu jika semuanya selalu indah. Juga adalah penipuan jika semuanya selalu duka. Kita akan berdepan dengan banyak situasi atau keadaan yang tidak menyamai keinginan kita.

Dan berapa ramai dari kita yang akhirnya akan kecewa dengan keadaan seperti itu. Keburukan dan kesedihan yang berlaku akan membuatkan jiwa kita lemah. Kadang-kadang ketidakwarasan menguasai iman. Tidak sedikit yang tewas dengan perasaan ini.

Tetapi saya rasa sudah sampai masanya untuk kita sendiri sedar bahawa, kita perlu sentiasa memperingatkan diri. Disaat kita dalam kesedihan, kita ada Allah yang akan menghiburkan kita dengan caraNya.

Disaat kita kesempitan dalam hidup, kita ada Allah yang akan melapangkan segalanya sesuai dengan keadaan kita. Disaat kita merasa tidak mampu untuk melakukan segalanya, kita ada Allah yang berjanji tidak akan membiarkan hamba-Nya.

Ketika kita merasakan bahawa kita sedang dipencilkan oleh dunia, tanpa kita sedar bahawa kita ada Allah yang sentiasa ada dengan kita.

Saat kita merasa lelah dan tidak berupaya untuk hidup, kita ada Allah yang setiap harinya akan memperlihatkan sesuatu dalam kehidupan. Memberikan sebab untuk kita terus bertahan.

Kerana tiada sesiapa pernah mengatakan bahawa dunia ini adalah mudah. Tiada sesiapa pernah mengatakan bahawa dunia ini adalah kegembiraan selamanya.

Titik paling rendah dan paling lemah dalam kehidupan kita, adalah waktunya dimana kita perlu datang dan kembali kepada Allah Azza Wa Jal. Jika kita bertanya, dalam keadaan apapun dan dosa yang banyak mana pun?

Ya, dalam keadaan apa dan dosa yang sebanyak apa. Kerana apa? Kerana pada waktu itu, tiada sesiapa yang akan dapat menerima kita sesungguhnya tanpa berburuk sangka dan sebarang ungkit mengungkit hatta dalam hati. Melainkan Allah Subhana wa Ta’ala.

Hanya Dia yang akan dapat menerima kita dengan seratus peratus kekurangan dan segala macam dosa yang pernah kita lakukan.

Kerana hanya Dia, yang dapat mengampunkan segalaNya.

Kerana hanya Dia, sumber kekuatan yang kita ada.

Kerana hanya Dia, yang mengasihi kita melebihi siapa pun yang mengasihi kita di dunia.

Allah Tempat Mengadu Segalanya

Ketika gembira dan bahagia, maka Allah sepatutnya tempat pertama yang kita berkongsi kegembiraan, puji dan puja. Ketika bersedih hati, maka Allah jualah selalunya tempat kita mengadu, berkongsi serta memohon segala yang baik-baik dariNya.

Ketika kita lemah, maka kepada Allah jualah kita meminta kekuatan untuk menghadapi segalanya.

Bukankah sebenarnya kita ini tiada apa-apanya jika kita tiada Allah?

Dunia ini mahal, namun tidak akan membuatkan iman kita menjadi murah untuk sebuah nilai kebahagiaan kerana Allah yang tidak terbanding nilainya.

Dunia ini akan menggoncang kita dari pelbagai sudut, namun tidak akan sesekali menggoncangkan kecintaan kita kepada agama dan kesedaran kita sebagai hamba kepada Allah SWT.

Dunia ini mungkin tidak akan memberikan kita kedudukan atau harta yang banyak, tetapi tidak akan menjadikan kita miskin sedekah, amal dan jariah.

Dan jika kita mahu menjadi seseorang yang berjaya, kita mahu berjaya dan membuat sesuatu kerana Allah. Bukankah kita mahu membuat Dia bangga dengan kita, kerana kita mahu cintanya Dia?

Saya tidak tahu jika kita semua sedari. Tetapi era kini, lebih mencabar berbanding 10 tahun atau 20 tahun yang lepas. Dan saya percaya, semakin hari semakin mencabar buat semua orang.

Bukan sahaja untuk kehidupan fizikal, malah juga untuk spritual. Iman kita yang senipis-nipisnya ini akan berbolak-balik pada waktu-waktu yang tidak pernah kita sangkakan.

Kawan, semoga kita menjadi seseorang yang bangga serta tidak malu dengan pegangan agama dan tidak was-was mengatakan bahawa Allah Azza Wa Jal adalah Tuhan Sekalian Alam, Tiada Tuhan Melainkan Allah, dan Muhammad Pesuruh Allah.

Sungguh hanya kepada Allah kita mohon segalanya.

Semoga Allah merahmati.

Kredit: Tzkrh

2 Comments

  1. Nice info. This is a very impressive post, Very useful information, it clarified things a lot for us. Thanks for sharing valuable tips. – Shirdi Flight package from Chennai

Comments are closed.

OTHER POSTS

Subscribe to Denaihati

Dapatkan artikel terkini terus dalam email anda!