YAB Perdana Menteri lancarkan program 5MY dan MYBeras khas buat Warga Wilayah

Spread the love

Assalamualaikum dan Selamat sejahtera,

Berita baik buat warga Wilayah Persekutuan,

Berikutan dengan wabak pandemik COVID-19 yang melanda negara Malaysia ketika ini, ramai orang terkesan meneruskan kehidupan seperti biasa kerana punca pendapatan semakin berkurangan.

Rentetan itu, bagi mengawal penularan wabak Covid-19, kerajaan mengambil keputusan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0. di seluruh Malaysia kecuali Negeri Sarawak.

Hal ini telah memberi kesan kepada rakyat khususnya golongan B40. Pendapatan yang tidaklah besar, ditambah dengan pelbagai sektor ditutup telah membuatkan golongan ini terhimpit untuk meneruskan kehidupan.

KWP melaksanakan Program 5MY

Justeru daripada itu, bagi membantu golongan yang terkesan ini, Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) telah melaksanakan program 5MY.

Program ini menyasarkan golongan B40 Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan. Kelima-lima program ini dilaksanakan secara berterusan bertujuan untuk meringankan dan membantu menambah baik social safety net dalam kalangan warga Wilayah Persekutuan yang berstatus miskin bandar.

Program 5MY ini dilihat sebagai ‘sentuhan hati’ Kementerian terhadap warga Wilayah Persekutuan. Sempena Sambutan Hari Wilayah Persekutuan tahun ini Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah melancarkan Program 5MY dan MYBeras@Wilayah secara virtual pada 31 Januari 2021 di dalam Perutusan Khas Hari Wilayah Persekutuan 2021.

Program yang boleh dimanfaatkan oleh golongan B40 ini antaranya ialah MYJob@Wilayah, MYSchoolBus@Wilayah, MYGrocer@Wilayah, MYFood@Wilayah dan MYMedic@Wilayah.

MYJob@Wilayah

  • Ia menawarkan peluang pekerjaan kepada warga kota yang tiada atau kehilangan pekerjaan akibat pandemik COVID-19.
  • Menerusi program itu, terdapat enam bidang pekerjaan ditawarkan iaitu perkhidmatan, pembinaan, penyelenggaraan, pembersihan, pembuatan dan pembungkusan.
  • Sasaran yang ditetapkan adalah 2,544 peluang pekerjaan yang
    diwujudkan namun pencapaian sebenar menjangkau sehingga 3,259 pekerjaan iaitu 28% lebih tinggi daripada sasaran yang ditetapkan.
  • Menerusi MYJob@Wilayah juga, kira-kira 1,000 pekerja tempatan kini sudah mula bekerja di Pasar Borong Kuala Lumpur di Selayang.
  • Pada tahun ini, lebih 1,000 belia muda dijangka mendapat pendedahan dalam pembinaan di bawah skim MYJob@Wilayah yang bertujuan, antara lain, untuk memberi peluang pekerjaan kepada mereka yang terjejas oleh COVID-19.

MYSchoolBus@Wilayah

  • Program MYSchoolBus@Wilayah adalah untuk membantu golongan berpendapatan rendah dengan menanggung perbelanjaan tambang pengangkutan anak-anak ke sekolah.
  • Pada tahun 2020 seramai 9,704 murid di 67 kawasan perumahan awam kos rendah telah menerima manfaat daripada program ini yang melibatkan 94 orang pengendali bas sekolah.
  • Program MYSchoolBus@Wilayah akan diperluaskan ke 158 kawasan perumahan awam dan swasta kos rendah. Ini akan memanfaatkan lebih kurang 10,000 orang murid menerusi program ini pada tahun ini.

MYGrocer@Wilayah

  • Ia satu inisiatif bagi membolehkan golongan B40 membeli barangan dapur, makanan asas harian pada harga lebih rendah dari pasar awam antara 5 – 20% dan dijual secara terus di kawasan perumahan kos rendah awam dan swasta di Kuala Lumpur.
  • MyGrocer@Wilayah bertujuan bagi meringankan beban golongan ini agar tidak terlalu terhimpit dalam menjalani kehidupan seharian di ibu kota.
  • Ia membolehkan golongan miskin membeli barangan yang segar, ayam, ikan, bawang, gula dan sebagainya yang berkualiti serta murah tanpa perlu mengeluarkan tambang pengangkutan ke pasar.
  • Sejak tahun lepas operasi telah melibatkan 30 lokasi PPR/PA mengikut jadual yang ditetapkan dengan lima buah trak yang beroperasi antaranya di PPR Jalan Jelatek, PPR Seri Semarak, PA Seksyen 10, Wangsa Maju dan beberapa lagi.
  • Pada tahun ini, Kementerian menyasarkan pertambahan sebanyak 15 unit trak MYGrocer yang diubahsuai dari bas terpakai.
  • Pada masa akan datang program ini dijangka akan dibuka kepada pengusaha yang layak berdasarkan syarat-syarat yang akan ditetapkan oleh pihak KWP.

MYFood@Wilayah

  • Program MYFood@Wilayah yang berkonsepkan pemberian bakul makanan secara kerjasama strategik dengan NGOs, Persatuan Penduduk, Majlis Perwakilan Penduduk dan Agensi-Agensi di bawah KWP. Program ini akan dijalankan dari masa ke semasa bergantung kepada keperluan. Sehingga kini program ini telah memanfaatkan seramai 32,000 ketua isi rumah di Kuala Lumpur.

MYMedic@Wilayah

  • MYMedic@Wilayah menyediakan perkhidmatan Klinik Bergerak yang memberi rawatan asas dan pemeriksaan kesihatan secara percuma warga kota yang kurang berkemampuan di kawasan perumahan kos rendah di Kuala Lumpur. Sebagai permulaan, sebanyak 3 unit bas medik akan bergerak ke 12 kawasan perumahan kos rendah secara mingguan.
  • Pada tahun ini, program ini akan diperkembangkan ke lebih banyak kawasan di Wilayah Persekutuan dimasa yang akan datang dengan penambahan 10 unit MYMedic.

Selain daripada itu, YB Menteri juga turut ada memperkenalkan satu program baharu yang bernama MYBeras@Wilayah.

MYBeras@Wilayah

  • Program MYBeras@Wilayah ini bertujuan untuk meringankan beban warga Wilayah Persekutuan yang terjejas akibat pandemik COVID-19. Antara golongan yang akan mendapat manfaat dan bantuan daripada inisiatif MYBeras@Wilayah ini ialah golongan berstatus olongan berpendapatan rendah, B40 dan yang terjejas akibat COVID-19.
  • Rakyat yang layak boleh memohon baucar MYBeras@Wilayah melalui wakil MPPWP zon masing-masing. Setiap minggu kupon yang berlainan warna dengan tempoh sah laku yang berbeza akan dikeluarkan. Rakyat boleh menuntut sumbangan beras ini daripada MPP kawasan masing-masing dengan mengemukakan kupon mereka.
  • Sebanyak 23,000 kampit beras (5KG) diperuntukkan kepada setiap warga Wilayah Persekutuan bagi edaran sepanjang bulan Februari 2021 melalui MPPWP. Penyerahan kepada penerima akan dibuat sebanyak 3 kali semingu iaitu pada Isnin, Rabu dan Jumaat untuk permulaan bagi program ini.

Untuk maklumat lanjut berkenaan kesemua inisiatif ini, sila layari laman web Kementerian Wilayah Persekutuan di www.kwp.gov.my atau Facebook rasmi KWP 

Sumber: Siakap Keli


Spread the love
OTHER POSTS

Subscribe to Denaihati

Dapatkan artikel terkini terus dalam email anda!