Sesi libat urus stabilkan harga ayam di pasaran – Nanta

Spread the love

PUTRAJAYA: Pelaksanaan mekanisme sesi libat urus pihak industri melalui pengeluaran Surat Pemberitahuan (SP) menunjukkan hasil positif apabila harga ayam di pasaran mula dilihat stabil pada masa ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata sesi libat urus yang membabitkan pembekal, penternak dan pemborong itu adalah supaya mereka tidak membuat sebarang tekanan harga yang memberi kesan kepada harga runcit pengguna.

Menurutnya mekanisme pengeluaran SP di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 kepada peniaga itu digunakan sebagai pendekatan secara lembut yang bersifat seimbang dan mengambil kira situasi yang dihadapi oleh pihak industri susulan daripada kenaikan harga makanan ternakan.

“Tujuan pengeluaran SP ini adalah sebagai peringatan dan arahan kepada pihak peniaga di setiap rantaian agar membuat semakan semula harga dan membuat perubahan harga (supaya) tidak beri kesan kepada harga runcit pengguna di pasaran,” katanya dalam kenyataan hari ini mengenai isu harga ayam.

Nanta berkata kenaikan harga yang berterusan sebelum ini dapat distabilkan hasil kerjasama daripada pengeluar dan pihak yang terbabit dalam rantaian pemasaran ayam.

Menurut beliau sejumlah 145 SP telah dikemukakan kepada peniaga di setiap rantaian pengedaran bagi memberi makluman dan peringatan agar tiada perubahan harga yang menunjukkan kenaikan mendadak dilakukan buat masa ini.

Nanta berkata Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) buat masa ini tidak bercadang untuk melaksanakan kawalan harga sepanjang masa kecuali yang dilaksanakan ketika musim perayaan utama melalui penguatkuasaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP).

Bagaimanapun, katanya kementerian tidak teragak-agak untuk melaksanakan penguatkuasaan yang lebih tegas dengan membuat kawalan harga sepanjang masa jika harga di setiap rantaian pengedaran ayam semakin meningkat dan tidak munasabah.

“Tindakan semasa adalah melaksanakan pemantauan dan pemeriksaan harga ayam secara konsisten bagi memastikan tiada berlakunya sebarang manipulasi harga atau untung dalam kalangan peniaga melalui mekanisme kawalan yang dikuatkuasakan melalui perundangan antipencatutan,” katanya.

Menurut Nanta sejumlah 164 premis telah diperiksa oleh penguat kuasa KPDNHEP di seluruh negara hingga 14 Sept lepas melibatkan 166 jenis ayam meliputi ayam hidup, ayam standard dan ayam super.

Sejumlah 163 Notis Pengesahan Maklumat Barangan (NPMB) juga telah dikeluarkan kepada peniaga ayam yang diperiksa bagi tujuan mendapatkan maklumat terperinci berhubung kos operasi dan kos belian, katanya.

Nanta berkata setakat ini tiada perlakuan kartel dikesan terlibat di sebalik kenaikan harga ayam, namun KPDNHEP dengan kerjasama Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) akan menyiasat di bawah perundangan yang dikuatkuasakan.

“KPDNHEP memahami kerugian yang dialami oleh pihak peniaga ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan yang telah menjejaskan perniagaan mereka.

“Namun peniaga di setiap rantaian bekalan ayam diingatkan untuk tidak mengambil tindakan drastik dengan menaikkan harga bagi menampung kerugian mereka. Orang tengah juga diingatkan untuk tidak mengambil kesempatan menekan peniaga dan pengguna,” katanya.

Menurut beliau KPDNHEP mengambil maklum permasalahan harga makanan ayam yang tinggi, yang mana kira-kira 80 peratus makanan ayam adalah diimport dan kenaikan harganya di peringkat global turut mempengaruhi isu harga ayam di pasaran negara.

Katanya KPDNHEP akan mengadakan perbincangan berterusan dengan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) untuk memastikan isu kos tinggi seperti dedak ayam diimport, harga baka ayam dan anak ayam yang mempengaruhi harga ayam di peringkat pengguna dapat diminimumkan dan diurus dengan baik.

Bagi mencari penyelesaian jangka panjang yang munasabah dan boleh dilaksanakan untuk menstabilkan harga ayam, Nanta berkata satu pertemuan dan perbincangan bersama MAFI dan Kementerian Kewangan (MOF) akan diadakan.

— BERNAMA


Spread the love

One Comment

Comments are closed.

OTHER POSTS

Subscribe to Denaihati

Dapatkan artikel terkini terus dalam email anda!