Semua orang boleh lakukan Ruqyah

Sebut sahaja ruqyah, maka orang akan terbayangkan kaedah perubatan cara Islam. Seorang ustaz akan membacakan sesuatu lalu ditiupkan kepada pesakit.

Ruqyah adalah salah satu cara perubatan Islam dengan menggunakan bacaan ayat-ayat Al-Quran ke atas pesakit. Ibn Manzur Rahimahullah menyebutkan perkataan Ibn Al ‘Athir rahimahullah mengenai ruqyah yang membawa maksud: Jampi perlindungan yang dijampi kepada orang yang sakit. Jampi di sini bermaksud memohon perlindungan daripada Allah SWT. (Kamus Lisan al-Arab)

Ruqyah boleh dilakukan dengan menulis ayat tersebut kemudian menggantungkannya atau boleh juga dibacakan terus ke atas orang yang sakit.

Selalunya apabila perubatan moden tidak mampu menjejaki punca sakit yang dialami, maka umat Islam akan beralih kepada alternatif perubatan Islam ini. Namun, tahukah anda, sesiapa sahaja boleh melakukan ruqyah atau membacakan ayat-ayat Al-Quran atau doa kepada orang sakit atau dirinya sendiri.

Hal ini boleh dilihat apabila Rasulullah SAW turut menyuruh Saidatina Aisyah R.Anha melakukan ruqyah ketika sakit.

Video Ruqyah Penawar Sihir oleh Sheikh Mishary Rashid Al-Afasy

Dalam Sahih Bukhari, di bawah bab ‘Meniupkan Bacaan Ketika Ruqyah’, dinyatakan hadis berikut:

Dari ‘Aisyah r.anha, dia berkata, “Apabila Rasulullah SAW hendak tidur, beliau akan meniupkan ke telapak tangannya sambil membaca Qul Huwallahu Ahad (surah Al-Ikhlas) dan mu’awidzatain (Surah An-Naas dan Al-Falaq), kemudian beliau mengusapkan ke wajahnya dan seluruh tubuhnya. Aisyah berkata, “Ketika beliau sakit, beliau menyuruhku melakukan hal itu (sama seperti ketika beliau hendak tidur…” (HR. Bukhari, no. 5748)

Bererti Rasulullah SAW juga menganjurkan agar surah-surah ini sentiasa dijadikan amalan – bukan hanya boleh dibaca sebelum tidur tetapi turut dibaca ketika sakit. Malah dalam satu kisah lain, surah Al-Fatihah juga dibaca sebagai doa ruqyah malah seluruh ayat Al-Quran sendiri adalah penawar.

Bukankah Al-Quran itu boleh dibaca oleh sesiapa sahaja, maka ia tidak dikhususkan buat pengamal perubatan Islam sahaja. Cuma mungkin kerana doa orang yang soleh, yang menjaga amalan dan menjauhkan diri daripada dosa dan maksiat itu berkat dan mustajab maka disebabkan itu mereka dirujuk apabila ingin mendapatkan bantuan.

Jadikanlah ayat-ayat suci Al-Quran sebagai amalan ketika sihat agar ia juga boleh dibaca dengan mudah ketika sakit. Kita juga boleh memanfaatkan amalan tersebut dengan membacakannya ke atas orang lain yang ditimpa sakit.

“Dan Kami turunkan dengan beransur-ansur dari Al-Quran Ayat-ayat suci yang menjadi ubat penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman kepadanya…”(Surah Al-Isra’ 17:82)

Mufti Wilayah

Leave a Reply

Your email address will not be published.

OTHER POSTS

Subscribe to Denaihati

Dapatkan artikel terkini terus dalam email anda!