Ramadhan datang lagi dinanti ramai

Spread the love

Assalamualaikum dan Salam 1Dunia, tahniah kepada semua rakan pembaca yang dipilih oleh ALLAH untuk sekali lagi bernafas dalam bulan yang pernuh keberkataan untuk meraih berbagai ganjaran yang berlipat ganda. Bulan yang sangat mulia Ramadhan ditunggu oleh ramai atas maksud yang berbeza.

Ada peniaga yang sudah berniaga selama sebelas bulan menunggu bulan Ramadhan kerana di bulan ini mereka akan menutup operasi untuk fokus kepada ibadah. Ramai juga yang tidak pernah berniaga selama sebelas bulan menunggu bulan Ramadhan untuk berniaga di bazar Ramadhan, meraih keuntungan sekali setahun. Di bulan Ramadhan ramai juga berpeluang menjual biskut raya, baju raya dan berbagai keperluan Aidilfitri secara online dan off line.

Bazar Ramadhan
Bazar Ramadhan

Ada juga menunggu Ramadhan kerana di bulan inilah mereka akan mengeluarkan zakat harta, zakat pendapatan atau zakat perniagaan selain zakat fitrah. Mereka juga berusaha memberi infaq di masjid-masjid yang menganjurkan majlis berbuka puasa serta memberi sedekah kepada fakir miskin. Mereka menyahut seruan Rasulullah SAW dengan memberi sebanyak mungkin kerana sedekah yang terbaik adalah sedekah di bulan Ramadhan.

Ada juga menunggu Ramadhan untuk berterawih dan bertadarus siang dan malam untuk khatam 30 juzuk Al Quran. Bangun di tengah malam bermunajat memohon keampunan atas segala dosa yang telah dilakukan sepanjang sebelas bulan. Berzikir mengingati ALLAH tanda syukur diberi nikmat Islam dan iman. Ada juga yang beriktikaf di masjid mengharap bertemu dengan malam Lailatulqadar untuk mengecapi kelebihan beribadah seperti 1000 bulan beramal. Paling nikmat menunggu waktu berbuka puasa untuk berbuka bersama keluarga tersayang dan sesekali berbuka puasa bersama kawan-kawan di buffet Ramadhan yang disediakan disana sini.

Ada juga menunggu Ramadhan kerana di bulan Ramadhan mereka akan menghabiskan masa beribadah sambil mengerjakan Umrah di Mekah dan menziarahi Rasulullah di Madinah. Nikmat solat terawih dan qiamullail bersama imam Masjidil Haram dengan ratusan ribu jemaah adalah satu pengalaman yang memang ditagih kepada yang sudah biasa.

gambar masjidil haram
Masjidil Haram di Mekah

Di bulan Ramadhan anak-anak paling gembira mendapat kebebasan untuk keluar rumah di waktu malam atas alasan solat terawih. Di masjid ada di kalangan anak-anak berpesta bagaikan taman permainan kerana terlepas pandangan daripada ibu bapa yang berada di rumah. Untuk kaum wanita inilah masanya sibuk membakar kuih raya berbagai warna dan rasa. Hubungan suami isteri semakin erat di bulan Ramadhan kerana sentiasa bersama setiap hari.

Apa juga matlamat kita kedatangan Ramadhan dinanti ramai, bersyukurlah kita kerana berpeluang memohon ampun dan beramal di bulan yang sangat mulia. Semuga Ramadhan kali dapat membersihkan jiwa dan meningkatkan martabat iman kita setelah kita keluar dari Madrasah Ramadhan.


Spread the love

44 Comments

Comments are closed.

OTHER POSTS

Subscribe to Denaihati

Dapatkan artikel terkini terus dalam email anda!