Perginya Muhammad Adib meninggalkan kita…
Assalamualaikum dan salam sejahtera.
Anggota Bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim yang parah dipukul ketika insiden di Kuil Sri Maha Mariamman di Subang Jaya bulan lalu disahkan meninggal dunia pada pukul 9.41 malam di Institut Jantung Negara (IJN).
Perkara itu diumumkan oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Zuraida Kamaruddin di IJN. Muhammad Adib dimasukkan ke IJN akibat mengalami cedera parah selepas diserang susulan insiden rusuhan di kuil Sri Maha Mariamman pada 27 Nov lalu.
Jenazah Muhammad Adib akan dibawa ke Balai Bomba Hang Tuah pada hari Selasa untuk penghormatan terakhir sebelum dibawa ke Kedah untuk dikebumikan.

IJN melalui satu kenyataan memaklumkan kesihatan Muhammad Adib kembali merosot dengan fungsi paru-parunya yang menurun tahapnya.
Selepas menjalankan penilaian menyeluruh, paru-paru anggota bomba itu didapati menunjukkan tanda-tanda konsolidasi dan pengerasan tisu, justeru menjadikan pertukaran gas tidak berkesan.
Dalam kejadian awal pagi 27 November lalu, Muhammad Adib yang juga anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya, parah dipercayai dipukul sekumpulan perusuh di hadapan kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya.

Dia dimasukkan ke unit jagaan rapi di Pusat Perubatan Ramsay Sime Darby, Subang Jaya, kira-kira 1 pagi, sebelum dipindahkan ke IJN, Kuala Lumpur, pada keesokan malamnya.
Al Fatihah.
