Pengalaman Menjejaki Kembara Israk Rasulullah SAW

Spread the love

Assalamualaikum dan Selamat sejahtera,

Ini adalah perkongsian daripada Tuan Amir Hassan di facebooknya berkenaan dengan pengalaman menjejaki kembara Israk Rasulullah SAW. Semoga kita semua dapat ambil iktibar dan pengajaran daripada kisah ini.

Pertama kali menjejaki kaki di bumi haram Mekah Mukarramah pada tahun 2007 tiada apa yang boleh dikatakan selain air mata mengalir deras terutama apabila masuk ke dalam Masjidil Haram dan dapat menatap dengan mata sendiri sebuah Kaabah yang gah di mana seluruh umat Islam menginginkan untuk melihatnya sendiri.

Pertama kali menjejaki bumi Mekah tempat bermulanya Israk Mikraj Rasulullah SAW masih tidak semoden sekarang yang penuh dengan bangunan pencakar langit hotel lima bintang yang menelan kehebatan Kaabah. Bukan mudah kehidupan Nabi SAW terutama setelah diangkat sebagai Rasul selama 13 tahun di Mekah.

Angin lembut mendambar hati sehingga rasa sayu yang teramat sangat ketika sujud kali pertama di Masjid Nabawi di Madinah Al Munawwarah.

Kali pertama sujud di Masjid Nabawi terasa seperti Rasulullah SAW sedang mendampingi di sisi. Nabi SAW singgah solat dua rakaat di bumi haram Madinah dalam perjalanan Israk. Perasaan memang berbeza bila berada di Madinah terasa tenang mungkin kerana warga Madinah yang baik dan lembut.

Memang belum ada rezeki lagi menjejaki Madyan dan Bukit Thursina tetapi menjejaki di Bethlehem tempat kelahiran Nabi Isa A.S bagaikan mimpi setelah melalui kesukaran untuk menyeberangi sempadan Israel.

Nabi SAW singgah solat dua rakaat di Baitullaham begitu juga Khalifah Umar Al Khattab R.A setelah tentera Islam berjaya menguasai Baitul maqdis sehingga terbina Masjid Umar Al Khattab di depan Gereja Nativity.

Kalau bukan kerana #KembaraDH ke Palestine memang tidak tahu keberadaan Masjid Buraq di Tembok Barat Masjidil Al Aqsa tempat Nabi SAW menambat Buraq tunggangan Rasulullah SAW dari Mekah ke Baitul maqdis.

Western Wall adalah tembok yang memisahkan antara dua agama di bahagian dalam kawasan Masjid Al Aqsa adalah Masjid Buraq tempat untuk umat Islam manakala di luarnya pulak adalah tempat ibadah Yahudi yang sentiasa penuh setiap masa terutama hari sabtu.

Paling tersentuh hati dalam kedinginan ketika bumi Palestine diuji dengan salji paling tebal dalam tempoh 100 tahun setelah melalui lorong-lorong sempit di dalam Kota Baitul maqdis apabila melihat Kubah Emas, ‘Dome of The Rock’.

Siapa sangka aku dapat menjejaki batu tempat Nabi Muhammad SAW solat sunat bersama Para Rasul dan Nabi dan Mikraj ke Sidratul-Muntaha. Paling istimewa apabila aku juga dapat memegang kesan tapak kaki Rasulullah SAW yang masih terpelihara.

Semoga aku, keluarga dan umat manusia seluruh alam terus mendapat hidayah dari Allah SWT dan sentiasa belajar dari peristiwa besar kembara Rasulullah SAW Israk dari Mekah ke Baitul maqdis dan terus Mikraj bertemu Allah SWT di Sidratul-Muntaha.

Semoga Allah SWT pilih kita meneruskan fikir risau dan perjuangan Rasulullah SAW membawa agama Allah SWT walaupun dihina dan dikeji kerana Baginda SAW pun begitu sehingga dituduh gila.

Tuan Amir Hassan


Spread the love

One Comment

Comments are closed.

OTHER POSTS

Subscribe to Denaihati

Dapatkan artikel terkini terus dalam email anda!