Nama Dan Gelaran Boleh Mempengaruhi Sikap Kita

Assalammualaikum dan salam sejahtera.

Percayakah kalian jika saya mengatakan bahawa setiap nama dan gelaran kita, akan mempengaruhi sikap serta tingkah laku kita? Ikuti tulisan ini.

Imam Ibnul Qayyim RA juga menyebutkan bahawa, gelaran nama anak perlulah diberi dengan maksud yang baik kerana ia berhubung kait dengan akhlak dan tindakan mereka. Bahkan, diriwayatkan juga bahawa dengan nama tersebutlah manusia akan dipanggil di akhirat kelak.

إنَّكُمْ تُدْعَوْنَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ بِأَسْمَائِكُمْ وَأَسْمَاءِ آبَائِكُمْ فَأَحْسِنُوا أَسْمَاءَكُم

Maksud: “Sesungguhnya kamu semua akan diseru pada hari kiamat kelak dengan nama kamu dan nama bapa-bapa kamu. Maka perelokkanlah nama kamu.” (Hadis Riwayat Abu Daud, no. 4948)

Baginda Pernah Menukarkan Nama Dengan Maksud Yang Baik

Dulu pernah timbul isu berkenaan nama yang diberikan kepada anak-anak, iaitu dengan tidak menggunakan nama yang dikatakan boleh membawa penyakit seperti Balqis dan seumpamanya.

Antara dakwaannya adalah Balqis merupakan nama ketua kepada jin dan jika manusia yang menggunakan nama tersebut, maka boleh timbul pelbagai penyakit sama ada yang berat mahupun yang ringan. Malah, apabila dilihat kepada beberapa komen dan penceritaan netizen, kebanyakannya bersetuju dengan hal tersebut.

لاَ طِيَرَةَ

Maksud: “Tiada thiyarah / kepercayaan sial dalam Islam.” (Hadis Riwayat Muslim, no. 2224)

Dalam Islam, mempercayai sesuatu nama itu sebagai pembawa penyakit atau sial itu adalah kepercayaan yang tidak didasari hujah yang sahih. Takdir dan kehidupan manusia itu ditentukan oleh Allah dan bukan disebabkan asal-usul nama tersebut.

Bahkan, para ulama berpendapat bahawa ia boleh jatuh kepada unsur khurafat kepada ia merupakan kepercayaan kepada perkara yang tidak bermanfaat dan dikhuatiri boleh bercanggah dengan akidah.

Walau bagaimanapun, jika nama tersebut membawa kepada maksud yang tidak baik dan buruk, maka dibolehkan untuk menukarnya. Sama juga dengan nama yang boleh memalukan anak-anak sehingga menjadi bahan ejekan.

Menurut Imam Ibnul Qayyim, Baginda SAW pernah menukarkan nama Zainab kerana nama asalnya yang membawa maksud yang tidak baik:

عَن أبي هُرَيْرَة أَن زَيْنَب كَانَ اسْمهَا برة فَقيل تزكي نَفسهَا فسماها رَسُول الله صلى الله عَلَيْهِ وَسلم

Maksud: “Bahawasanya, pada asalnya nama Zainab ialah Barrah, maka dikatakan kepadanya: “engkau memuji diri sendiri” maka Rasulullah SAW pun menukarkan namanya kepada Zainab.” (Hadis Riwayat Al-Bukhari, no. 6192)

Kesimpulannya, nama itu sepatutnya dijadikan sebagai salah satu panggilan yang membanggakan buat anak-anak sekali gus menjadi doa yang diujarkan untuk mereka. Oleh itu, berilah nama dan gelaran yang baik buat mereka agar boleh mempengaruhi peribadi mereka.

Wallahu a’alam.

Rujukan:
Mufti Wilayah

4 Comments

Comments are closed.

OTHER POSTS

Subscribe to Denaihati

Dapatkan artikel terkini terus dalam email anda!