Mendapat naungan di akhirat kelak bagi orang yang bersedekah

Spread the love

Assalamualaikum dan selamat sejahtera,

Baca: Rahsia Sedekah Yang Boleh Memberi Ketenangan

ISLAM menganjurkan umatnya berusaha dan memperoleh harta secara halal bagi mencapai kesenangan di dunia dan akhirat. 

Orang beriman dan bersyukur di atas segala nikmat yang diperolehnya akan membelanjakan hartanya pada jalan Allah.

Firman Allah SWT dalam Surah al-Muzzammil, ayat 20 yang bermaksud: “Dan (ingatlah), apa jua kebaikan yang kamu kerjakan sebagai bekalan untuk diri kamu, tentulah kamu akan mendapat balasannya pada sisi Allah, sebagai balasan yang sebaik-baiknya dan yang amat besar pahala-Nya.

Orang yang sentiasa bersedekah akan mendapat naungan pada hari akhirat kelak.

Rasulullah SAW pernah bersabda bahawa ada tujuh golongan manusia yang mendapat naungan Arasy Allah di akhirat kelak.

Itu termasuk mereka yang bersedekah dengan tangan kanannya dan menyembunyikan amalnya itu sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang disedekahkan oleh tangan kanannya.

Sedekah menghapuskan dosa kecil

Baca: Antara hadiah Allah untuk mukmin, Allah datangkan peminta sedekah ke rumahnya

Selain itu, amalan bersedekah juga boleh menghapuskan dosa kecil. Sebagaimana hadis daripada Muaz bin Jabal RA bahwa Rasulullah SAW bersabda: “Dan sedekah melenyapkan kesalahan (dosa) sebagaimana air memadamkan api.” (Riwayat al-Tirmidzi)

Bukan itu sahaja, bersedekah atau berinfak tidak akan menjadikan seseorang itu miskin, bahkan mempermudahkannya memperoleh sumber rezeki. 

Firman Allah SWT dalam Surah al-Saba’ ayat 39 yang bermaksud: Katakanlah (Wahai Muhammad): “Sesungguhnya Tuhanku memewahkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya di antara hamba-hamba-Nya, dan Ia juga yang menyempitkan baginya dan apa sahaja yang kamu dermakan maka Allah akan menggantikannya dan Dia lah jua sebaik-baik pemberi rezeki.”

Dalam hidup ini, sekecil mana pun sedekah yang dihulurkan, ia cukup bermakna kepada si penerima yang hidup serba kekurangan.

Malah, ‘buah tangan’ yang tidak seberapa itu mampu menerbitkan senyuman walaupun cuma untuk seketika.

Islam sangat menggalakkan umatnya membantu mereka yang berada dalam kesempitan.

Sebab itu, Islam sangat memuliakan orang yang sentiasa bersedekah atau menginfakkan hartanya. 

Orang yang bersedekah lebih mulia

Baca: Kelebihan Bersedekah Yang Dinyatakan Di Dalam Al-Quran

Sehinggakan Rasulullah SAW mengangkat kedudukan orang yang bersedekah lebih mulia daripada orang yang menerima. 

Perkara itu dijelaskan dalam satu hadis daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya tangan di atas (yang memberi) lebih baik daripada tangan yang di bawah (yang menerima).” (Riwayat al-Bukhari)

Walaupun sedekah itu sesuatu yang sangat digalakkan dalam Islam, terdapat segelintir masyarakat menyalahgunakan kebaikan orang yang suka berinfak atau mendermakan hartanya. 

Perbuatan meminta derma tanpa kebenaran masih berleluasa. Aktiviti terbabit dapat dilihat di tempat awam seperti di hadapan bank, stesen minyak, pasar malam dan restoran.

Haram dan berdosa hukumnya bagi sesiapa yang cuba mengambil kesempatan melakukan penipuan dengan memperdaya orang ramai yang ingin bersedekah.

Prof Madya Dr Nurkhamimi Zainuddin


Spread the love
OTHER POSTS

Subscribe to Denaihati

Dapatkan artikel terkini terus dalam email anda!