Marah itu hasutan syaitan, Rasulullah SAW suruh kita istiazah

Spread the love

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Perasaan marah, panas baran adalah salah satu penyakit didalam masyarakat masa kini dan kita mestilah belajar untuk menanganinya. Setiap individu pastinya pernah merasai perasaan marah dan ada yang sampai ketahap hilang kawalan diri.

Apabila seseorang mencederakan kita, mengugut, menghina kita biasanya kita akan berasa teramat marah. Itu adalah perkara normal bagi seorang manusia.

Sesungguhnya kemarahan akan  mengumpulkan segala keburukan.

Dari Abu Hurairah R.A. bahawa seorang laki-laki berkata kepada Nabi SAW: “Berilah aku wasiat?” baginda bersabda: “Janganlah kamu marah.” Laki-laki itu mengulangi pertanyaannya, baginda tetap menjawab: “Janganlah kamu marah.” (HR Bukhari No: 5651)

Rasulullah meninggalkan pesanan penting agar “Jangan Marah” yang diulang jawapan yang sama apabila ditanya berulang oleh sahabat. Menunjukkan pesanan ini amat penting.

Janganlah marah-marah!

Marah adalah pokok berbagai kejahatan, dan menahan diri darinya adalah pokok segala kebaikan.

Marah akan menimbulkan perbuatan yang diharamkan seperti memukul, menyakiti orang, mengeluarkan perkataan-perkataan yang diharamkan termasuk dalam bentuk tulisan seperti memfitnah, mencaci maki, berkata kotor, dan berbagai bentuk kezaliman termasuk mencederakan dan membunuh.

Imam Ahmad menafsirkan bahawa akhlak yang baik adalah dengan meninggalkan sifat marah.

Ibnu Mubarak apabila ditanya apakah himpunan akhlak yang baik yang terhimpun dalam satu kalimah!” Beliau menjawab, “Meninggalkan Marah.”

Istiazah Mengawal Marah

Dari Adi bin Tsabit telah menceritakan kepada kami Sulaiman bin Shurd dia berkata; “Ada dua orang yang saling mencerca dihadapan Rasulullah, sementara kami duduk di sisi baginda, salah seorang darinya mencerca temannya sambil marah, hingga wajahnya merah, maka Nabi SAW bersabda: Aku akan ajarkan satu kalimah dimana jika dia membacanya, kemarahan itu akan hilang daripadanya.

Baginda membaca (istiazah – aku berlindung daripada syaitan yang direjam). Lalu salah seorang lelaki yang mendengar, bangun mendapatkan lelaki tersebut sambil berkata: Apakah kamu tahu apa yang diperkatakan Nabi tadi? Lalu beliau mengulangi apa yang disebutkan Nabi. Lelaki itu berkata kepadanya: Apakah engkau tengok aku seperti orang gila?” (HR Bukhari No: 5650)

Marah itu dipengaruhi oleh syaitan. Mengikut Imam al-Ghazali, berlakunya sifat marah itu kerana urat saraf manusia ditarik oleh syaitan.

Orang yang sedang marah, jika tidak dikawal, boleh menyebabkan hilang pertimbangan seperti orang hilang akal. Dia boleh bertindak diluar kewarasan. Rasulullah mengajar agar membaca istiazah apabila seseorang itu marah iaitu :

أَعُوذُ بِاللَّهِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيم

Firman Allah:

Dan jika Engkau dihasut oleh sesuatu hasutan dari Syaitan, maka hendaklah Engkau meminta perlindungan kepada Allah. Sesungguhnya Dia lah Yang Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui. (Fussilat: 36)

Maka, kawallah kemarahan kita dengan sentiasa membaca istiazah memohon perlindungan dari hasutan Syaitan.

Orang Yang Kuat Berjaya Menahan Marah

Dari Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Bukanlah orang yang kuat itu yang pandai bergusti, tapi orang yang kuat adalah orang yang dapat menahan nafsunya ketika ia marah.” (HR Bukhari No: 5649)

Mukmin yang kuat lebih disukai Allah daripada mukmin yang lemah. Kekuatan seseorang bukan terletak pada fizikalnya. Orang yang kuat adalah yang berjaya mengawal nafsu menahan marah.

Bagaimana jika kita yang sedang marah akan hilang kewarasan fikiran, hilang pertimbangan, lidah akan memaki hamun dan anggota badan mungkin bertindak diluar kawalan.

Kekuatan mukmin bukan terletak kepada kemenangan semasa berkelahi tetapi kemampuan menguasai emosi di saat ia sedang marah.

Jom kita latih diri dengan akhlak yang mulia seperti sabar, lemah lembut dan pemaaf. Kawal dan kuasai diri ketika didatangi perasaan marah, iaitu dengan mengingati akibat buruk yang akan menimpa dan kelebihan pahala orang yang menahan marah.

Berusahalah mengekang hawa nafsu dan mengawal emosi diri ketika berlaku perselisihan agar tidak cepat marah. Jadilah insan yang lambat marah dan jika marah, ia cepat reda.

Berusahalah kita mengawal sifat marah yang diwasiatkan oleh Rasulullah SAW.


Spread the love

2 Comments

  1. Tak semua mampu menahan amarah. Kalau rasa nak marah cepat2 istighfar dan amik wudhu je la kan. kalau tengah berdiri better duduk..tak pun baring .

Comments are closed.

OTHER POSTS

Subscribe to Denaihati

Dapatkan artikel terkini terus dalam email anda!