Assalamualaikum dan Salam 1Dunia, kita sambung lagi cerita bersiri “Kisahnya Secebis Hati“. Bagi yang belum baca boleh klik Part 1 dan Part 2. Kepada Rakan Blogger dan mereka yang teringin membantu joom tolong promosikan bisnes isteri beliau – Bunga Telur Teddy Bear.
Pesakit Bengkak Hati : Allahyarham Adik Mohd Yohitt Bin Mohd Farhan Kutty Krishnan
Penderma Hati : Ahmad Khariri Al-Hadi Bin Md Yusop
Tarikh pembedahan pemindahan hati (Liver Transplant) : 18 Disember 2004
Tarikh Adik Yohitt meninggal dunia : 28 Januari 2005
Saya memberanikan diri untuk meluahkan apa yang saya simpan selama berada di SMC. Walaupun saya sedar akan jawapan dan penerimaan yang negatif namun saya harus berani! Bukan sekadar mulut ini berkata namun ianya lebih kepada hati yang membuak-buak untuk menjadi seorang yang membalas budi atas kebaikan yang saya terima. Setiap kali memandang wajah Anis, setiap kali itu juga saya tidak sampai hati melihat penderitaan yang dialami oleh rakyat Malaysia terutama kanak-kanak sebaya Anis. Apa yang saya rasa adalah mereka ini kadangkala tidak ada sesiapa yang ambil kisah samada sakit, hidup atau mati terutama kanak-kanak bukan dari golongan anak orang terkenal.
Seperti yang saya jangkakan, isteri tidak dapat menerima apabila saya luahkan untuk menjadi penderma hati. Seolah-olah ayat saya ingin ‘membunuh diri’ barangkali. Saya cuba terangkan kepada beliau mengapa saya beriya-iya untuk menjadi penderma hati walhal ketika itu saya sendiri pun tidak tahu kepada siapa saya akan dermakan hati saya. Saya minta beliau kenang kembali bagaimana ada insan yang baik hati sanggup menderma untuk pembedahan Anis dan betapa bersyukurnya kami ketika itu. Walaupun Encik Tamayoshi bukan satu agama, bangsa dan Negara dengan kami namun usaha murni beliau membuka mata saya untuk membantu insan lain pula. Beliau bukan dewa, malaikat mahupun tuhan namun dengan Izin Allah SWT beliau juga kenal erti kemanusiaan yang amat tinggi.
Walaupun isteri saya belum memberikan kata putus samada membenarkan atau sebaliknya, saya akui yang saya sememangnya ego dalam membuat keputusan. Saya tidak perlu menanti untuk beliau memberikan jawapan kepada keinginan saya itu. Lagipun saya bukannya ingin membuat sesuatu yang salah dari sisi agama mahupun undang-undang. Apa yang ingin saya lakukan adalah membantu insan yang kurang bernasib baik. Keputusan telah nekad dan saya tidak akan berundur dengan keputusan saya ini. Setiap lepas solat, saya akan memohon kepada Allah SWT agar keputusan yang saya lakukan ini betul dan dipermudahkan urusan olehNya. Saya sedar saya hanya manusia biasa yang kadangkala terburu-buru ketika membuat sesuatu keputusan namun saya yakin keputusan saya kali ini tepat!
Mak juga telah saya beritahu tentang hasrat saya ini. Seperti mak-mak yang lain pastinya beliau menasihati akan baik buruknya mendermakan hati. Tidak ada sejarah keluarga kami sejak turun temurun yang mendermakan organ ketika hidup dan barangkali ketika meninggal juga tiada. Mak tidak melarang sama sekali impian saya ini. Mak sememangnya telah mengetahui anak bongsunya ini mempunyai hati yang keras. Hati yang cukup keras sehinggakan beberapa kali dirotan setiap kali mencari buah koko dan dijual untuk pergi ke Bandar Teluk Intan. Amrin, Kecik, Fuad, Fa’aib, Emi dan Allahyarham Ayi adalah teman-teman saya sekiranya ke Teluk Intan. Saya bukannya dari keluarga yang berada dan sumber kewangan saya sekeluarga datangnya dari hasil kebun seperti buah koko dan buah kelapa. Saya sedar mak pastinya tidak akan memberikan saya duit sekiranya saya memberitahu ingin ke bandar. Justeru itu cara terbaik untuk mendapatkan duit adalah menjual buah koko di belakang rumah.
Saya pergi ke Majlis Belia Selangor (MBS) yang terletak di Seksyen 7, Shah Alam. Walaupun saya tidak mengetahui fungsi jabatan ini namun saya yakin ada maklumat yang saya akan perolehi. Apabila sampai di kaunter pertanyaan, saya bertanya kepada siapa boleh saya rujuk sekiranya ingin mendaftar sebagai penderma organ. Saya dirujuk kepada seorang pegawai yang bernama Encik Razak bin Hasbullah. Menurut Encik Razak, di MBS mereka sememangnya mengalu-alukan belia untuk berbakti dan salah satu program yang dijalankan adalah Program Belia Prihatin. Program ini mencakupi pelbagai aspek keperihatinan dan diantaranya adalah program mendermakan darah. Namun apabila saya memaklumkan kepada beliau saya ingin mendermakan organ, beliau agak terkejut kerana belum ada belia yang mendaftar sebagai penderma organ di MBS.
Kami berbual agak lama dan saya sampaikan hasrat saya untuk mendermakan organ setelah saya melalui pengalaman sakit dan terpanggil menjadi manusia yang ingin membalas budi. Beberapa kali perbualan kami terputus dan terhenti seketika apabila saya sebak menceritakan apa yang berlaku. Seolah-olah tiada suara yang keluar hanya air mata penggantinya. Saya bersungguh-sunguh meyakinkan kepada beliau bahawa niat saya bukannya untuk bermegah diri atau mendapat sanjungan tetapi semuanya datang dari peristiwa tersebut. Saya sebenarnya seorang yang penakut kepada darah dan saya belum pernah sekalipun mendermakan darah. Encik Razak bertanya adakah keluarga saya mengetahui hasrat saya dan bagaimana penerimaan mereka berkenaan hasrat saya ini. Saya hanya memaklumkan keluarga saya bersetuju walaupun isteri saya hanya mendiamkan diri sejak saya menyampaikan hasrat itu tempoh hari.
Setelah beliau yakin dengan keinginan saya itu, saya didaftarkan sebagai penderma organ. Menurut Encik Razak lagi saya akan dihubungi sekiranya ada seseorang yang memerlukan organ. Beliau menasihati saya agar lebih menjaga kesihatan. Sememangnya saya mempunyai susuk tubuh yang agak gempal dan saya yakin beliau khuatir saya sendiri yang kurang sihat. Walaupun begitu saya cuba menyakinkan kepada beliau tahap kesihatan saya amat baik dan saya tidak mempunyai penyakit-penyakit seperti darah tinggi, lemah jantung, kencing manis dan lain-lain. Alhamdulillah!
Nur Atiqah Najwa Mohd Sharif
Januari 2004 – Hari ini adalah hari Jumaat dan yang paling menyeronokkan adalah pada hari Sabtu dan Ahad saya tidak bekerja. Bolehlah saya membawa keluarga saya berjalan-jalan merehatkan diri setelah penat bekerja. Sedar tidak sedar telah lima tahun saya bertugas sebagai Penolong Perancang di Shin-Etsu Elektronik (M) Sdn Bhd. Tugas saya semakin hari semakin sibuk. Kalau sebelum ini saya melakukan lima tugas bersama seorang lagi sahabat namun kini semua tugas itu saya pikul sendiri. Bukan kerana dinaikkan pangkat namun kerana pembantu saya telah berhenti kerja. Sepanjang saya bertugas di syarikat ini, segala kebajikan saya sebagai pekerja sentiasa dijaga terutama apabila sesuatu musibah terjadi. Kami juga diberikan bonus tahunan, makan malam setiap tahun dan kenaikan gaji tahunan yang menarik.
Sedang saya membuat kerja tiba-tiba telefon bimbit saya berdering dan tertera nama ‘MBS – En. Razak’ di paparannya. Segera saya teringat seseorang yang saya jumpa di Majlis Belia Selangor dua tahun lepas. Ya! Saya kenal dengan nama ini. Loghat Bahasa Jawanya yang pekat dan bersongkok setinggi lima inci adalah empunya nama ini. Saya menjawab panggilan tersebut dengan memberikan ucapan ‘Assalamualaikum’.
Encik Razak bertanya samada saya masih berminat untuk mendermakan hati seperti apa yang saya ikrarkan dahulu. Kemungkinan dalam tempoh dua tahun ini saya berubah hati dan fikiran. Macam-macam boleh terjadi dalam tempoh ini. Saya hanya tersenyum apabila beliau seolah-olah khuatir insan yang beliau temui tahun 2002 itu sudah tidak sama pendiriannya tahun 2004 ini. Saya ketawa kecil apabila beliau bertanya ‘Masih berminat hendak menderma hati ke?’
Menurut Encik Razak, di hadapan beliau kini terdapat seorang ayah yang amat memerlukan penderma hati untuk didermakan kepada anak beliau. Menurutnya lagi, kanak-kanak tersebut berusia sembilan bulan dan menghidap penyakit ‘Billiary Atresia’ atau kita kenali sebagai Bengkak Hati. Secara ringkas beliau menerangkannya kepada saya dan sebelum mengakhiri talian beliau sempat memberikan nama, alamat dan nombor telefon ayah kanak-kanak tersebut. Saya tuliskan maklumat tersebut pada sekeping kertas. Encik Sarif, No …, Blok …, Seksyen 7, Shah Alam. 012- …………… Dekat sahaja rumah beliau dengan rumah saya rupanya. Sekiranya saya berkelapangan petang ini selepas pulang bekerja, saya akan datang menziarahi keluarga ini.
Berpusing-pusing juga saya mencari alamat rumah Encik Sharif. Saya jarang-jarang datang ke kawasan ini kerana tiada keperluan di sini. Apabila sampai sahaja di hadapan rumah beliau, saya memberikan salam. Setelah salam kedua barulah pintu dibuka oleh seorang lelaki bersusuk kurus. Barangkali inilah Encik Sharif detik hati saya. Saya bertanyakan samada ini rumah Encik Sharif dan lelaki tersebut mengiyakannya serta menghulurkan tangan menjemput saya masuk ke dalam rumah beliau.
Melangkah sahaja ke dalam rumah Encik Sharif, kedengaran suara kanak-kanak sedang menangis seolah-olah dalam kesakitan teramat sangat. Kelihatan seorang anak kecil sedang terbaring dengan ditemani oleh seorang wanita, ibunya barangkali. Encik Sharif mempersilakan saya duduk betul-betul berhadapan dengan kanak-kanak itu. Jarak saya hanya lebih kurang dua meter dari beliau. Encik Sarif memperkenalkan anak kecil itu sebagai Nur Atiqah Najwa atau dikenali sebagai adik dalam keluarga ini. Adik Atiqah adalah anak kedua pasangan Encik Sharif dan Puan Norazlina. Anak sulung mereka baru berusia tiga tahun dan sedang tidur di dalam bilik.
Adik Atiqah tidak berhenti-henti menangis sejak kehadiran saya tadi. Menurut Encik Sharif sememangnya begini seharian adik Atiqah kerana sakit yang dihidapi beliau. Kadangkala ianya berlarutan berjam-jam dan hanya berhenti apabila beliau keletihan atau tertidur. Saya tidak dapat membayangkan betapa sabarnya Encik Sharif sekeluarga menangani anak beliau yang sedang sakit ini. Menurut Encik Sharif lagi, adik Atiqah mudah terdedah dengan pencemaran dan beliau tidak boleh sentiasa dibawa keluar dari rumah. Penjagaan kesihatan adik Atiqah memang perlu diambil berat kerana tahap ketahanan tubuh badan beliau yang tersangat lemah dan mudah dijangkiti penyakit lain.
(Saya tidak sanggup menceritakan keadaan tubuh badan dan kesihatan adik Atiqah dengan lebih lanjut kerana dikhuatiri akan menimbulkan rasa kurang senang ahli keluarga Encik Sharif)
Setelah berbual lebih kurang dua jam sambil meneliti apa yang saya harus lakukan, saya memohon diri untuk pulang. Saya tidak sanggup memandang lebih lama wajah adik Atiqah kerana saya bukannya seorang yang kuat untuk berhadapan situasi yang cukup hebat ini. Teringat wajah anak saya Anis sewaktu beliau berusia enam bulan dan menanggung sakit satu ketika dahulu..
Bersambung …
76 Comments
Watak setiap org ada peranan mereka masing2. Sedih dan pilu menjadi tema kesedihan yg amat berat utk ditanggung.
Curahan rasa sensasi2020 @ ..Pantun-Janji Ditepati.
Kalaulah cerita ini difilemkan pasti mendapat anugerah ni, sebagai filem terbaik.
Curahan rasa sensasi2020 @ ..Pantun-Janji Ditepati.
Sungguh sedih… Huhu.. (T_T)
Curahan rasa Crew Fathi @ ..Sistem Auto Update Waktu Solat Di Facebook
Bagaimana kisah seterusnya ttg Nur Atikah, adakah sesuai hati Saudara Ahmad khariri dgn Nur Atikah?
Curahan rasa sensasi2020 @ ..Pantun-Janji Ditepati.
Sungguh trajedis cerita benar ini, lebih sedih dan sayu drp episod 1 dan 2 dulu.
Curahan rasa sensasi2020 @ ..Pantun-Janji Ditepati.
Aku suka entri mcm ni.. Siap bersambung-sambung lagi…
Curahan rasa ♌¹³ Pseudosupra | aLive Blog @ ..Sikap Lelaki dan Rambut | Rahsia Sifat
bro..kasi sapu ini blog. banyak habuk..berair mata aku nih..
Curahan rasa titan @ ..The Clown Class.
ialah banyak betul habuk kat blog ni, pedih mata susah nak baca…
Curahan rasa auc dot com @ ..Statistik Blog AUC Bulan September 2012
Hanya insan yang mempunyai perasaan belas dan simpati sahaja dapat menghayati dan memahami penderitaan orang lain.
Curahan rasa dhinai @ ..Pertanyaan sebagai peringatan.
berapa part cerita ni???
Curahan rasa zuhairi @ ..Omar Al-Khattab, MBC Series
banyak part sebab kisah ni panjang
cerita ini baru sahaja kurang lebih 20% daripada kisah yang sebenarnya.. masih panjang untuk dijadikan bahan bacaan yang menarik..
Curahan rasa abangkhai @ ..Tidak bekerja tetapi bekerjaya..
nampak seperti adik tu dalam kesakitan yang amat… huhuu
Curahan rasa KiD @ ..Aksi Racing Anak Beranak
apa akan jadi pada kisah seterusnya ye..
Curahan rasa boni kacak @ ..Gara-Gara Backstreet Boys Dan Nick Carter
sama-sama kita nantikan… penuh khusyuk kita baca kisah ni…
Curahan rasa KiD @ ..Aksi Racing Anak Beranak
Perjuangan orang tua untuk dalam rangka kesembuhan penyakit yang sedang diderita anaknya
Curahan rasa Blog Keperawatan @ ..Info Pengumuman Kelulusan CPNS 2012
Menunggu pula akan kesambungan ceritanya ini
Curahan rasa Blog Keperawatan @ ..Info Pengumuman Kelulusan CPNS 2012
realiti kehidupan yg memeritkan…
menanti sambungannya lagi…
Curahan rasa Ummi Hanie @ ..Lagi lukisan dari debu kereta… sungguh kreatif
Macam mana la sambungannya ni nanti. Kesian budak kecil tu, sekecil itu sudah menderita. Memang tiada cara lain yang dapat untuk melepaskan kesakitan yang di terima selain menangis
Curahan rasa Naziman @ ..Blog Popular mesti ada kumpulan – Tip Blogging
syahdu membacanya…InsyaAllah, buat baik dibalas baik
Curahan rasa eyriqazz @ ..Bila Eyriqazz Mula Membebel
Comments are closed.