Kisahnya Secebis Hati part 2

Spread the love

Assalamualaikum dan Salam dari London, ramai yang terharu membaca Kisahnya Secebis Hati (kalau belum baca klik je untuk baca) oleh si Penderma HATI, Saudara Ahmad Khariri. Kepada Rakan Blogger yang teringin membantu joom tolong promosi bisnis isteri beliau Bunga Telur Teddy Bear. Kepada yang menunggu-nunggu sambungan Kisahnya Secebis Hati jooom menghayati ….

Pesakit Bengkak Hati : Allahyarham Adik Mohd Yohitt Bin Mohd Farhan Kutty Krishnan

Penderma Hati : Ahmad Khariri Al-Hadi Bin Md Yusop

Tarikh pembedahan pemindahan hati (Liver Transplant) : 18 Disember 2004

Tarikh Adik Yohitt meninggal dunia : 28 Januari 2005

Oleh kerana rumah mak berhampiran dengan Selangor Medical Centre (SMC), saya dan isteri membawa  Anis ke sana. Sepanjang perjalanan ke SMC, Anis merengek dan sesekali beliau menangis kuat. Kami hanya mampu berdoa dan berharap agar tiada apa-apa yang teruk terjadi. Saya rasakan begitu jauh perjalanan menuju ke SMC walaupun hanya 10 kilometer sahaja dari rumah mak. Sesekali saya menoleh ke belakang untuk melihat Anis yang dipangku oleh isteri. Dari rumah hingga sekarang isteri saya masih lagi menangis kerana terkejut dengan apa yang menimpa Anis. Mak mana yang tidak sayang anak yang dikandung selama 9 bulan 10 hari..

Sampai sahaja di hadapan Jabatan Kecemasan SMC, isteri dan Anis saya turunkan dahulu sementara saya memakir kenderaan. Selepas membuat pendaftaran, saya terus dibawa berjumpa doktor yang bertugas kerana kes Anis ini dianggap sebagai krtitikal. Syukur kerana sehingga saat ini semuanya berjalan lancar namun hati kami berdua masih berdebar-debar untuk mengetahui apa sebenarnya yang terjadi. Anis dibawa berjumpa seorang doktor pakar kanak-kanak. Doktor terus memeriksa keadaan Anis yang kelihatan semakin lemah.

Menurut Doktor, apa yang dialami oleh Anis adalah usus besar beliau telah keluar dari lubang dubur. Kes ini hanya 1/1000 diantara kanak-kanak seluruh dunia. Walaupun ianya tidak terlalu membahayakan namun sekiranya tidak dibedah dan ditarik masuk ke dalam perut semula dalam tempoh lima jam, usus ini akan membusuk. Ini bermakna sekiranya usus itu sudah tidak boleh digunakan lagi, sepanjang hayat Anis akan membuang najis melalui lubang yang akan ditebuk di perutnya. Ya Alllah! Tidak sanggup rasanya mendengar apa yang diterangkan oleh doktor itu. Dan yang mengejutkan saya dan isteri lagi adalah kos pembedahan sebanyak RM10,000!

Dari mana kami ingin mendapatkan duit sebanyak itu dalam tempoh lima jam sahaja? Sudah pasti wang tabungan kami tidak ada sebanyak itu. Saya menghubungi adik-beradik bertanyakan sekiranya mereka dapat meminjamkan saya duit untuk membiayai kos pembedahan Anis namun mereka juga tidak dapat membantu. Kami mulai buntu dengan masalah itu. Sementara Anis dan isteri berada di hospital, saya perlu segera memaklumkan kepada majikan tentang cuti yang perlu saya ambil untuk menyelesaikan masalah ini. Fikiran saya mulai serabut dan saya perlu hadapinya dengan tenang dan perlahan-lahan. Sampai sahaja di tempat kerja, saya terus berjumpa dengan Encik Ahmadsur namun saya diberitahu beliau juga telah pulang kerana ada urusan. Saya perlu berjumpa pula dengan Pengurus saya iaitu Encik Tamayoshi iaitu seorang warga Jepun. Encik Tamayoshi ada di dalam pejabatnya. Walaupun saya jarang sekali berbual dengan beliau namun ketegasan beliau dalam menjalankan tugas, amat saya khuatiri tambahan pula saya perlu memohon cuti ketika tugas sedang banyak. Setelah mengetuk pintu pejabat beliau, saya terus masuk dan duduk dihadapan beliau.

Saya menerangkan tujuan saya saya berjumpa beliau. Borang cuti saya serahkan. Beliau bertanya keadaan Anis dan hospital mana Anis dibawa. Saya terangkan saya terpaksa membawa Anis ke hospital swasta memandangkan jarak dan masa yang terlalu singkat. Secara tiba-tiba beliau bertanya tentang kos pembedahan tersebut. Serba salah pula saya ingin memberitahu beliau namun rasanya tidak salah apabila saya berterus terang. Beliau agak terkejut apabila saya maklumkan kosnya sebanyak RM10,000! Encik Tamayoshi membuka laci di sebelah mejanya dan mengeluarkan sesuatu dari laci tersebut. Buku cek! Beliau seolah-olah sedang menulis sesuatu dan mengoyakkan helaian cek tersebut berhati-hati dan diletakkan di atas meja beliau. Beliau berdiri dan menghulurkan cek tersebut kepada saya! Saya tergamam dan seolah-olah tidak percaya warga Jepun ini sedang memberikan cek yang saya tidak pasti jumlahnya. Saya menyambut cek tersebut dan berjabat tangan erat dengan beliau. Ayat terakhir dari beliau ‘Khariri-san, go to hospital now!’

Sepanjang perjalanan ke hospital saya hanya mengucapkan syukur kepada Allah SWT kerana di tangan saya kini terdapat cek berjumlah RM10,000 dan yang pastinya Anis perlu dibedah dengan segera. Saya terlupa untuk mengucapkan terima kasih kepada Encik Tamayoshi apabila beliau memberikan cek kepada saya sebentar tadi. Saya bukan manusia yang demikian tetapi dek kerana tergamam dan terharu dengan bantuan warga Jepun itu tadi saya terlupa untuk mengucapkan terima kasih. Walau bagaimanapun saya mesti mengucapkan terima kasih kepada beliau apabila saya berjumpa beliau kelak. Itu pasti!

Saya dan isteri menunggu di bilik menunggu sementara Anis masih lagi di dalam dewan bedah. Isteri kelihatan sedang membaca Surah Yassin dan aku pasti beliau telah beberapa kali mengulangnya. Setiap kali habis sahaja beliau membacanya, pasti doa dipohon ke hadrat Illahi agar Anis selamat dibedah dan setiap kali itu juga air mata beliau mengalir dengan deras. Walaupun air mata aku tidak ‘semurah’ air mata beliau namun perasaan kami tetap sama. Kami sayangkan Aina dan Anis dan kami tidak mahu sesuatu yang tidak baik terjadi kepada mereka.

Mak memberitahu Aina mencari-cari saya sebelum Aina tertidur sebentar tadi. Memang kebiasaannya sebelum Aina tidur, saya akan bermain-main dengan beliau terlebih dahulu. Kemungkinan Aina telah sedia maklum ibunya lebih rapat dengan Anis maka beliau beralih arah kepada simpati kasih sayang daripada saya pula. Semenjak Aina mendapat adik, sifat manjanya telah berkurangan namun sekali- sekala Aina akan merengek seolah-olah minta dibelai seperti bayi yang masih kecil. Kesian juga kadangkala saya melihat Aina namun kami bersyukur mempunyai dua orang anak yang comel-comel belaka. Kasih sayang kami tidak berbelah bagi antara Aina dan Anis. Merekalah penyeri rumahtangga kami yang dibina sejak tahun 1999.

Syukur Alahamdulillah lebih kurang pukul 1.30 pagi, Anis dibawa keluar daripada dewan bedah. Kelihatan tiga orang jururawat sedang menolak Anis yang masih belum sedar di atas katil beroda. Beberapa tiub getah masih terpasang pada tubuh kecil Anis. Sedih saya melihatnya. Bagaimana agaknya anak kecil yang baru berusia enam bulan ini menempuh saat-saat yang getir ini. Jika boleh dipindahkan kesakitan yang dialami Anis, biarlah saya sahaja yang menangggung semuanya. Namun ianya mustahil. Tidak seperti filem daripada Hollywood kononnya ada kuasa boleh memindahkan sakit kepada sesiapa sahaja. Malah diantara kita lebih mempercayai filem-filem ini daripada kuasa Allah SWT.

Anis ditempatkan dalam wad dua orang sebilik. Agak luas dan selesa bilik ini. Sekurang-kurangnya sekira ada pengunjung yang datang tidaklah mereka terpaksa berhimpit-himpit dengan pengunjung pesakit lain. Saya dan isteri bermalam di SMC dan hanya isteri sahaja yang tidur di atas katil bersama Anis. Manakala saya hanya tidur di sofa bersebelahan katil. Keselesaan kepada kami tidak penting ketika ini, tetapi penjagaan yang sempurna kepada Anis lebih diutamakan. Mata saya hanya memandangkan ke arah Anis yang masih belum terjaga dari tadi. Mungkin kesan ubat ketika pembedahan dijalankan sebentar tadi masih berfungsi. Biarlah Anis tidur sehingga pagi esok.

Saya terjaga apabila Anis merengek seolah-olah meminta susu. Kali ini suaranya jauh ke dalam. Masih lemah lagi barangkali. Sememangnya sejak dibawa ke SMC semalam, Anis hanya dua kali meminum susu. Beliau terpaksa meminum susu formula bagi menggantikan susu badan kerana isteri kekurangan susu selepas beberapa bulan melahirkan Anis. Tidak seperti Aina yang menyusu susu badan agak lama sehingga beliau berusia satu tahun. Isteri membancuh susu untuk diberikan kepada Anis sementara saya memujuk beliau agar tidak menangis. Saya tidak berani untuk mengangkat Anis kerana khuatir terpegang bahagian yang dibedah. Saya tepuk-tepuk manja bahagian bahu Anis sambil mendodoikannya. Apabila botol susu diberikan kepada Anis, cepat sahaja beliau meminumnya kerana kelaparan teramat sangat.

Lebih kurang pukul 8.30 pagi, doktor yang melakukan pembedahan terhadap Anis datang untuk melihat keadaan Anis. Menurut doktor tersebut, satu pembedahan di bahagian perut sebelah kanan terpaksa dibuat untuk menarik balik usus yang terkeluar itu. Kini Anis akan melakukan perkhumuhan secara normal kembali dan tiada komplikasi yang tidak diingini kerana pembedahan dijalankan tepat pada waktunya. Saya pun tidak tahu apa yang ingin dilakukan sekiranya Encik Tamayoshi tidak menyumbang wang sebanyak itu kepada Anis. Kemungkinan ketika ini saya masih mencari sumber kewangan ataupun Anis terlantar di hospital kerajaan menanti tarikh pembedah. Anis akan ditahan di sini lagi empat hari bagi memastikan luka pembedahan beliau sembuh dan tidak dicemari virus. Saya tidak kisah berapa lama pun beliau ditahan di wad, apa yang penting keadaan Anis seperti kanak-kanak kecil lain.

Saya perlu pulang untuk mandi dan menukar baju. Beberapa barang keperluan lain juga perlu diambil dari rumah. Sambil itu saya ingin mengambil Aina untuk berjumpa dengan adiknya ini. Kasihan Aina pastinya beliau merindui adik bongsunya itu. Mungkin juga Aina merindui abahnya dan ibunya juga. Saya yakin mak pastinya dapat menjaga Aina sebaik mungkin sebagaimana mak menjaga kami empat beradik dengan amat sempurna. Sejak Allahyarham abah meninggal dunia 25 tahun lepas iaitu ketika saya berusia 3 bulan, mak adalah segalanya buat kami adik beradik. Mak menjalankan tanggungjawab sebagai ketua keluarga sejak itu sehingga sekarang. Mak tidak mahu berkahwin lain selepas abah meninggal dunia. ‘Aruah abah adalah suami mak untuk selamanya’ itu kata-kata mak apabila kami bertanya kenapa mak tidak mahu berkahwin lagi.

Sampai sahaja saya di hadapan pintu rumah mak, saya disambut dengan pekikan ‘abah! Abah!’ dan wajah keriangan Aina di muka pintu. Aina terlalu gembira apabila melihat saya pulang menemuinya. Mungkin dalam fikirannya mengapalah beliau ditinggalkan beliau di rumah padahal Anis dibawa bersama. Saya tidak dapat membaca apa yang beliau fikirkan sebenarnya namun apa yang pasti kepulangan saya memang dinantikan anak sulong saya ini. Sambil mendukung beliau, saya masuk dalam rumah untuk berjumpa mak di dapur. Saya ceritakan keadaan Anis yang selamat dibedah malam tadi dan Anis perlu tinggal di wad untuk beberapa hari lagi sehingga stabil.

Selepas berbual dengan mak dalam 15 minit, saya masuk ke dalam bilik untuk mengambil beberapa barang keperluan saya, isteri dan Anis sendiri. Barang keperluan selama 2-3 hari ini bagi memastikan saya tidak berulang-alik ke rumah dan SMC berulang kali. Tidak lupa kamera untuk saya merakamkan gambar Anis di hospital untuk dijadikan kenangan buat Anis dan kami suatu hari nanti. Dengan gambar ini dapatlah saya menceritakan kepada anak-anak saya apabila mereka mulai membesar dan faham erti kehidupan yang sebenar. Mungkin gambar-gambar ini tidak menjadi sesuatu yang penting kepada insan lain tetapi pada diri saya ianya amat berharga. Saya mengenali manusia yang berjiwa prihatin dan mempunyai kasih sayang yang tinggi terhadap sesama manusia.

Saya, Aina dan Anis di Selangor Medical Centre (SMC) selepas Anis selamat dibedah

Gembira sungguh dua beradik ini apabila mereka berjumpa. Walaupun Anis baru berusia enam bulan namun daripada riak wajah dan senyumannya kelihatan amat menantikan kakak sulung beliau di sisi. Mereka berdua tidak pernah berpisah walaupun satu hari sebelum ini. Kemana sahaja mereka pasti bersama-sama dan tidak mahu berpisah. Aina beriya-iya bermain dengan Anis seperti kebiasaannya di rumah. Manakala Anis seperti biasa ketawa melihat usikan daripada Aina. Sesekali Anis seolah-olah mengadu kepada Aina mengenai kesakitan yang dialaminya. Bijak sungguh anak-anak abah dan ibu ini.

Di atas katil kelihatan dua beradik ini asyik bermain sesama mereka. Aina nampak begitu menyayangi adiknya ini walaupun baru berusia setahun lebih. Sifat penyayang seorang kakak sulung memang menyerlah di hati Aina. Pada mulanya agak kasihan juga terhadap Aina apabila isteri saya disahkan mengandung ketika Aina baru berusia sembilan sepenuhnya lagi. Aku tidak menolak rezeki yang Allah berikan cuma aku perlu memberikan perhatian yang sepenuhnya kepada Aina agar beliau tidak terasa hati. Ketika Anis dilahirkan, Aina seolah-olah tidak boleh menerima ada adik kerana setiap kali ibunya ingin menyusukan Anis pasti Aina akan menangis. Namun lama kelamaan beliau dapat juga menerima adiknya ini. Sehingga kini mereka amat rapat antara satu sama lain kerana jarak umur yang tidak jauh berbeza.

Petang tadi adik susuan saya bersama suaminya datang menziarahi Anis. Mereka membawa anak patung Teddy Bear yang besar untuk Anis. Secara kebetulan suami adik susuan saya ini adalah rakan karib saya ketika bersekolah menengah di kampung satu masa dahulu. Persahabatan yang rapat satu masa dahulu menjadi semakin erat apabila beliau menjadi adik ipar saya. Itulah kekuasaan Allah. Saya sendiri tidak menyangka pelawaan untuk menemankan saya menziarahi adik susuan saya di Universiti Islam Antarabangsa (UIA) beberapa kali membawa mereka ke jinjang pelamin. Memang agak janggal apabila sahabat yang memanggil saya dengan nama, tiba-tiba memanggil saya dengan panggilan abang. Ketawa besar kami apabila diingatkan perkara lucu itu.

Secara sedar tidak sedar hari ini telah tiga hari Anis di hospital. Menurut doktor, kemungkinan hari ini Anis dibenarkan keluar kerana keadaan kesihatannya yang bertambah baik. Plastik pembalut tempat yang dibedah itu juga sudah dibuka pagi ini. Hanya kelihatan kain dan plaster menutupi luka tersebut. Saya juga sudah berani mendukung Anis beberapa kali keluar dari bilik ini. Kadangkala saya membawa Anis ke ruang legar SMC untuk beliau beralih angin. Hampir empat hari di dalam bilik sahaja kemungkinan beliau juga sudah agak bosan.

Sepanjang empat hari di SMC, saya terfikir betapa untungnya saya kerana segala urusan berkaitan penyakit Anis dipermudahkan oleh Allah SWT. Jika difikirkan secara normal akal ini mana mungkin saya dapat mencari kos pembedahan dalam masa yang amat singkat namun saya percaya semua ini adalah kuasa yang Maha Esa. Dia yang menentukan perjalanan hamba-hamba ini semua. Warga Jepun yang hanya saya kenali tidak sampai setahun itu menjadi penyebab sahaja namun saya harus bersyukur dengan segala yang diberikanNya. Di luar sana masih beribu mak ayah yang terpaksa berhempas pulas untuk mencari kewangan rawatan anak-anak mereka. Ada yang saya lihat di surat khabar mahupun di kaca televisyen merayu-rayu simpati rakyat Malaysia. Ya Allah! Sesungguhnya Kau Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang.

Bersambung …


Spread the love

162 Comments

Comments are closed.

OTHER POSTS

Subscribe to Denaihati

Dapatkan artikel terkini terus dalam email anda!