Setahun Lagi Telah Berlalu

Assalamualaikum dan salam 1Dunia, kehidupan ini tidak pernah berhenti walaupun sesaat terus bergerak melangkaui masa tanpa boleh diputar kembali. Dari alam lul mahfuz singgah sebentar di dunia dan akhirnya hidup abadi di akhirat.

Dalam perjalanan hidup pasti ada suka dan duka ujian daripada Allah SWT. Paling takut apabila diuji dengan kegembiraan, kebahagian dan kekayaan kerana manusia mudah lupa pada Allah SWT tapi siapa yang nak kan susah. Saat ditimpa kesusahan biasa solat kita lebih khusyuk, zikir lebih banyak dan ibadat sunat sering dilakukan berbanding ketika senang. Masalah itu sebenarnya bukan menyusahkan tetapi tanda Allah SWT kasih kepada kita.

Dunia ini terlalu luas untuk dinikmati tetapi kita sering terperangkap dengan urusan keluarga dan kerjaya yang tiada noktah entah bila akan selesai hingga terlupa tanggungjawab sebagai hamba Allah untuk berbakti kepada seluruh alam. Bila Allah kurniakan rezeki terasa itu milik kita semua sehingga terlupa sebahagian adalah hak Allah yang perlu dipulangkan kembali.

Kita kekadang terjerit-jerit mengatakan orang itu salah orang ini tak betul tetapi adakah kita benar-benar anak jantan boleh mengubah diri sendiri untuk jadi lebih baik sebelum mengubah orang lain. Perjuangan untuk menjadi terbaik bukan percuma dan bukan memerlukan subsidi. Perjuang terdahulu seperti Para Sahabat berjuang tenaga dan menghabiskan harta benda untuk berjaya tetapi kita belajar pun nak percuma bagaimana nak jadi legenda.

Kita selalu sangka manusia boleh membantu sehingga apabila sudah tersandar ditembok tiada jalan penyelesaian baru memohon sujud pada Yang Esa. Manusia tidak mampu mengubah apapun tanpa izin Allah SWT jadi jangan sekali yakin pada manusia walaupun sekelumit tidak kiralah sehebat mana manusia itu pada pandangan mata. Carilah redha Allah dengan marahnya manusia bukan mencari redha manusia dengan kemarahaan Allah SWT.

Setahun lagi telah berlalu perjalanan masih jauh lagi untuk menjadi terbaik antara terbaik. Formulanya mudah lahirkan seramai manusia yang berjaya untuk kita jadi lebih baik dari semalam. Hidup mesti berani gagal untuk berjaya. Semuga Allah SWT sentiasa melihat kalau pun tidak berada di sisi supaya menjadi manusia yang redha dengan setiap ujian dalam perjalanan hidup yang masih jauh atau mungkin titik noktahnya esok siapa tahu.

Terima kasih ALLAH SWT atas segalanya.

279 Comments

Comments are closed.

OTHER POSTS

Subscribe to Denaihati

Dapatkan artikel terkini terus dalam email anda!