Kisahnya Secebis Hati part 17

Assalamualaikum dan Salam 1Dunia, ini part ke-17 sambungan “Kisahnya Secebis Hati“ hasil coretan dari Penderma HATI, Ahmad Khariri. Kalau belum baca episod awal Part 1 hingga 16 yang dipublish sebelum ni bolehlah KLIK DI SINI. Rakan Blogger boleh menjemput Saudara Ahmad Khariri untuk sessi Motivasi berkongsi pengalaman dan juga kepada yang teringin mempromosikan bisnes isteri beliau sila klik – Bunga Telur Teddy Bear.

Pesakit Bengkak Hati : Allahyarham Adik Mohd Yohitt Bin Mohd Farhan Kutty Krishnan

Penderma Hati : Ahmad Khariri Al-Hadi Bin Md Yusop

Tarikh pembedahan pemindahan hati (Liver Transplant) : 18 Disember 2004

Tarikh Adik Yohitt meninggal dunia : 28 Januari 2005

Khariri Al-Hadi Kisahnya Secebis Hati

Hari ini sudah masuk hari yang ke-3 saya diserang demam panas. Saya sudah berjumpa doktor (bukan doktor sakit jiwa lagi! Hahaha) dan beberapa jenis ubat diberikan kepada saya. Walaupun begitu, demam saya masih belum kebah dan saya memerlukan ‘ubat’ yang kuat iaitu SEMANGAT!

Walaupun saya masih mempunyai semangat yang kuat namun saya hampir tewas dengan permainan psikologi. Itulah kehebatan akal dan fikiran manusia yang mampu menewaskan manusia lain dengan hanya berbicara. Hanya dengan senyuman dan ‘mulut manis’, saya mengalami demam panas yang tidak pernah saya alami kecuali disebabkan oleh faktor-faktor cuaca sebelum ini.

Encik Sharif beberapa kali datang menziarahi saya semenjak saya diserang demam ini. Beliau juga risau sesuatu yang tidak baik terjadi kepada saya. Setiap kali kami berbual berkaitan pakar sakit jiwa itu, pastinya beliau akan melenting dan menyalahkan pihak-pihak ini kerana ‘menghukum’ kami yang tidak bersalah. Riak muka kekecewaan dan marah terserlah di wajah beliau.

Sebagai seorang ayah, pastinya beliau merasakan begitu apabila hal-hal serius seperti ini cuba menjadi mainan oleh sesetengah pihak. Walaupun semua sedia maklum fungsi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) namun sebagai seorang manusia seharusnya ada pertimbangan dalam membuat sesuatu keputusan. Mungkin sebelum terkena batang hidung sendiri boleh lah bertempik sehebat ayam jantaan, namun apabila sudah melaluinya baru kenal betapa tingginya langit.

Mereka ini memanglah boleh bercakap sesuka hati. Mereka banyak duit banyak contack! Tetapi janganlah buat kita ini macam orang yang tiada perasaan..tiada maruah!” Marah Encik Sharif.

Kadangkala Encik Sharif membawakan saya ubat-ubatan atau herba-herba Cina untuk mengurangkan kesakitan yang saya alami ini. Walaupun saya memaklumkan beliau agar tidak perlu semua ini namun ada sahaja yang akan dibawa oleh beliau. Tidak kiralah samada yang dibeli di kedai mahupun secara direct selling oleh kenalan yang membuat MLM (Multi Level Marketing). Kadangkala saya sendiri yang tidak mampu ‘menelan’ ubat-ubat ini kerana jumlahnya yang banyak. Namun sebagai seorang sahabat, saya tetap menerimanya dan menghargai susah payah beliau untuk membantu saya.

Saya bersyukur walaupun saya ‘diserang’ begini teruk namun keyakinan untuk membantu adik Atiqah tidak pernah pudar. Mungkin ini hanya permulaan kerana perjalanan untuk membantu anak kecil ini masih terlalu jauh dan saya sendiri tidak dapat memastikan penghujungnya. Berkali-kali saya ingatkan diri saya agar jangan cepat mengalah walau diuji pelbagai rintangan dan halangan.

Badan terasa sangat panas sehingga saya terpaksa mandi berulang-ulang dalam tempoh 1 jam. Panas ini berkurangan sedikit apabila air membasahi tubuh saya namun dalam 10-15 minit ianya menyerang kembali. Setiap kali badan saya ‘membahang’ setiap kali itu juga kepala saya berasa amat sakit. Apabila keadaan ini terjadi, saya hanya terbaring menahan kesakitan di dalam bilik.

Ada juga ibu membawakan penawar tradisional seperti daun sireh dan air kelapa untuk meredakan kesakitan saya ini. Daun sireh diramas dan dicampurkan dalam air. Kemudian air daun sireh ini disapukan pada kepala saya berulang kali. Menurut ibu, dengan cara ini dapat mengurangkan kepanasan pada tubuh badan saya. Air kelapa pula saya minum.

Sekiranya isteri tidak bekerja, beliau membantu untuk menyapukan di kepala saya. Jika tidak, ibu akan membantu saya sambil membacakan ayat Al-Quran berulang kali. Bukan menjampi tetapi ibu mempunyai sedikit ilmu perubatan yang dipelajari daripada ustaz-ustaz ibu satu masa dahulu. Ayat-ayat Al-Quran tertentu digunakan sebagai bacaan untuk memberikan penawar kepada penyakit.

tangan ibu

Sebenarnya, setiap kali tangan ibu menyentuh kepala saya ini, saya sudah rasakan ‘kesejukan’nya. Tangan ibu yang membelai saya sejak kecil ini tiada tolok tandingnya dengan tangan-tangan yang lain di muka bumi ini. Tangan inilah penawarnya. Setiap kali air daun sireh ini disapu, terasa kurang sedikit panas dan sakit kepala saya. Kita berusaha, berdoa dan bertawakal. Selebihnya saya serahkan kepada Allah SWT.

Walaupun tidak sihat, saya tetap mengikuti perkembangan Adik Atiqah melalui Encik Sharif. Setiap hari saya akan menghubungi dan bertanyakan keadaan adik Atiqah. Sekiranya saya tidak berkesempatan, Encik Sharif yang akan menghubungi saya atau datang ke rumah.

Menurut Encik Sharif semalam, adik Atiqah akan dipindahkan ke Subang Jaya Medical Centre (SJMC) untuk rawatan lebih lanjut sementara menanti tarikh pembedahan yang akan diputuskan beberapa hari lagi. Gembira saya mendengarnya. Walaupun kewangan masih belum mencukupi, namun inisiatif daripada beberapa pihak yang berjanji akan membantu mendapatkan dana pembedahan sebanyak RM270,000.00 ini melegakan kami semua. Menurut Encik Sharif, pembedahan ‘terpaksa’ dilakukan di hospital swasta kerana bakal penderma hati (iaitu saya) tiada pertalian dengan adik Atiqah!

Adik (panggilan buat adik Atiqah) akan dipindahkan ke SJMC beberapa hari lagi. Tentang kos pembedahan yang masih kurang itu ada beberapa pihak yang sudi untuk membantu. Kau jangan risau ok!” Jelas Encik Sharif tersenyum.

Saya bersyukur sekiranya berita gembira ini dapat direalisasikan secepat mungkin. Saya masih khuatir keputusan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia samada mereka memberikan kelulusan untuk saya menjadi penderma hati atau sebaliknya. Biar apa pun keputusannya, nyawa adik Atiqah adalah keutamaan.

Doktor di SJMC juga adalah doktor yang diiktiraf namun ada sesuatu yang saya tidak faham mengapa pembedahan di hospital kerajaan tidak dibenarkan apabila penderma hati kepada adik Atiqah bukannya di kalangan keluarga beliau. Mengapa ada diskriminasi antara hospital kerajaan dan swasta? Adakah kerana bebanan risiko atau akta daripada World Health Organization (WHO)? Saya memang sudah dimaklumkan bahawa mana-mana pembedahan pemindahan organ yang melibatkan di luar kekeluargaan (iaitu samada penderma atau penerima tiada pertalian), pembedahan tersebut tidak boleh dijalankan di hospital kerajaan.

Soalnya, bagaimana sekiranya keluarga pesakit seperti adik Atiqah ini tidak mempunyai kewangan untuk pembedahan tersebut? Ini bukan soal mak dan ayah adik Atiqah yang tidak mahu mendermakan hati mereka tetapi kerana mereka berbeza kumpulan darah. Seharusnya ‘mereka’ ini boleh bertolak ansur dalam kes-kes seperti ini.

Cuba bayangkan, jika di hospital kerajaan kosnya hanya RM1000 hingga 4000 sahaja manakala jika di hospital swasta kosnya mencecah RM270,000.00! Inilah antara soalan-soalan yang saya sendiri tidak mampu memberikan jawapan apabila ditanya oleh orang ramai mahupun pihak wartawan. Jawapan ini hanya dapat dijawab oleh Yang Berhormat Menteri Kesihatan atau KKM. Kami umpama orang tengah yang ditolak ke kanan masuk ke gaung, ditolak ke kiri masuk ke dalam api. Kami tiada pilihan. Namun untuk menyerah kalah tidak sama sekali!

Aina dan Anis juga seperti memahami saya tidak sihat. Mereka bermain-main di luar bilik dan hanya sesekali sahaja masuk ke dalam bilik untuk melihat saya terbaring di atas katil. Saya hanya tersenyum memandang kedua beradik ini gembira bermain bersama-sama.

Abah demam ye?” soal Aina yang semakin petah bercakap. Anak sulung saya ini sudah pandai mengurus diri apabila melihat saya dalam keadaan begini. Mahu membuang air kecil atau besar juga sudah tidak perlu saya dan isteri uruskan. Kami mengajar beliau untuk membasuh dengan betul. Untuk 2-3 bulan pertama kami uruskan dengan rapi dan selepas itu kami minta beliau buat sendiri dengan diawasi.

Basuh banyak-banyak baru bersih, kan abah?” terang Aina apabila beliau membersihkan selepas membuang air kecil atau besar.

Aina dan Anis memicit-micit kepala saya sambil ketawa. Walaupun mereka berdua masih kecil dan tidak terasa apabila memicit, namun saya gembira anak-anak saya ini begitu ringan tulang apabila diminta melakukan sesuatu.

Ya, abah demam. Kakak dengan Kak Chik main kat luar elok-elok, jangan gaduh-gaduh ya?” Saya menjawab dan meminta mereka berdua menutup pintu bilik.

Bersambung …

44 Comments

Comments are closed.

OTHER POSTS

Subscribe to Denaihati

Dapatkan artikel terkini terus dalam email anda!