Kisahnya Secebis Hati part 10

Spread the love

Assalamualaikum dan Salam 1Dunia, part yang ke-10 sambungan “Kisahnya Secebis Hati“ coretan dari Penderma HATI, Ahmad Khariri. Bagi yang belum baca episod awal Part 1 hingga 9 yang telah dipublish sebelum ni, boleh KLIK SINI. Rakan Blogger boleh menjemput Saudara Ahmad Khariri untuk sessi Motivasi berkongsi pengalaman dan kepada yang teringin mempromosikan bisnes isteri beliau sila klik – Bunga Telur Teddy Bear.

Pesakit Bengkak Hati : Allahyarham Adik Mohd Yohitt Bin Mohd Farhan Kutty Krishnan

Penderma Hati : Ahmad Khariri Al-Hadi Bin Md Yusop

Tarikh pembedahan pemindahan hati (Liver Transplant) : 18 Disember 2004

Tarikh Adik Yohitt meninggal dunia : 28 Januari 2005

Ahmad Khariri Al-Hadi

Tiba-tiba telefon bimbit saya berbunyi dan pemanggilnya adalah Encik Sharif, ayah adik Atiqah. Suara Encik Sharif menunjukkan beliau sedikit gembira berbanding beberapa hari lepas. Sebelum ini suara beliau agak sedih dan tidak menampakkan keyakinan. Mungkin selepas cerita ini menjadi main topic di akhbar semalam barulah beliau yakin adik Atiqah mampu diselamatkan dan dibantu oleh masyarakat Malaysian yang prihatin. Encik Sharif beritahu ada beberapa orang wartawan dari media cetak dan media elektronik akan membuat liputan dan wawancara berkaitan adik Atiqah di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) jam 3.00 petang ini. Encik Sharif mahukan saya berada di sana bersama-sama. Menurut beliau, saya sebagai bakal penderma hati kepada adik Atiqah adalah antara insan-insan yang dapat menunjukkan kepada ‘orang-orang’ yang berkaitan bahawa kami amat sayang kepada nyawa si kecil ini. Kami sanggup melakukan apa sahaja untuk menyelamatkan beliau. Nyawa adik Atiqah adalah nyawa kami juga. Sakit yang beliau rasakan biarlah kami juga rasainya. Keyakinan dan semangat saya sudah kembali pulih. Apabila terbayang wajah adik Atiqah, saya yakin saya mampu menghadapi apa jua cabaran yang mendatang samada kecil mahupun besar.

Oleh kerana saya perlu keluar ketika waktu bertugas, saya perlu mendapatkan keizinan daripada ketua saya. Berdebar-debar apabila melihat wajah Encik Ahmadsur yang serius itu. Saya terus berjumpa Encik Ahmadsur untuk memaklumkan hal ini. Saya beritahu kepada beliau untuk pulang awal hari ini. Pada mulanya saya rasa khuatir beliau tidak senang dengan apa yang saya sampaikan. Sangkaan saya meleset sama sekali. Beliau menyokong apa yang saya lakukan. Menurut beliau lagi usaha kemanusiaan seperti apa yang ingin saya lakukan ini harus menjadi ikutan dan dibantu agar tidak gagal di pertengahan jalan. Usaha murni saya ini seharusnya mendapat sokongan penuh semua pihak. Saya tidak menyangka seorang ketua yang garang dan tegas ini rupa-rupanya mempunyai hati yang lembut dan baik sekali.

Ketika saya mula-mula menjejakkan kaki di SEEM, setiap hari saya dimarahi beliau apabila saya gagal membuat kerja dengan sempurna. Walaupun hanya kesalahan kecil yang saya lakukan, beliau memarahi saya seperti saya melakukan kesalahan besar. Hampir sahaja saya meletakkan jawatan ketika baru beberapa minggu kerja di sini. Rasa terlalu marah dan benci dengan sikap garang beliau itu. Namun setelah beberapa bulan saya bekerja di bawah seliaan beliau, barulah saya mengerti apa yang beliau mahukan sebenarnya. Encik Ahmadsur mahukan setiap pekerja di bawah seliaan beliau sentiasa melakukan kerja dengan sempurna, bertanggungjawab dan boleh menghadapi tekanan ketika bertugas. Syarikat yang dimiliki oleh orang Jepun ini sememangnya amat menitikberatkan kualiti dan cara bertugas yang sempurna.

Beliau menyuruh saya segera menyiapkan beberapa kerja yang masih tertangguh. Walaupun beliau membenarkannya, saya yakin kerja tetap kerja dan saya harus komited dengan amanah tersebut. Menurut beliau, perkara ini akan dibawa ke pengetahuan Jabatan Sumber Manusia agar urusannya lebih mudah dan tidak menjadi sebarang masalah berbangkit. Beliau sendiri yang akan berbincang dengan mereka. Alhamdulillah! Syukur kepada Allah kerana saya mempunyai ketua yang amat memahami diri saya. Saya juga berterima kasih yang teramat sangat kepada rakan-rakan sekerja yang lain.

Pukul 1.30 petang saya keluar dari pejabat dan terus menuju ke PPUM yang terletak di Petaling Jaya. Perjalanan ke sana dengan menaiki motorsikal adalah lebih kurang dalam 30 minit. Saya ingin sampai awal agar dapat berjumpa Encik Sharif terlebih dahulu. Mungkin ada sesuatu yang kami perlu bincangkan agar ketika berhadapan dengan pihak wartawan kami lebih bersedia. Kali ini wartawan yang akan datang lebih ramai berbanding tempoh hari. Pastinya lebih banyak soalan yang akan ditanya kepada kami. Walaupun saya hanya bakal penderma hati, kemungkinan besar saya juga akan berhadapan dengan beberapa soalan-soalan ‘maut’ oleh wartawan ini. Soalan-soalan yang berbentuk psiko iaitu ingin melihat sejauh mana saya ikhlas untuk membantu adik Atiqah. Itu hanya anggapan saya sahaja kerana saya harus berfikir lebih daripada apa yang saya tempuhi buat pertama kali apabila ditemuramah oleh wartawan tempoh hari.

Sampai sahaja di PPUM, saya menghubungi Encik Sharif dan menanti beliau di blok yang menempatkan wad adik Atiqah. Sambil menanti Encik Sharif saya membetulkan rambut dan baju agar kelihatan kemas dan rapi. Saya mahukan penampilan yang menarik ketika ditemubual oleh wartawan sebentar lagi. Paras rupa tidak menjadi ukuran namun menurut personaliti yang kemas memang amat penting, ujar Halim sahabat bersebelahan meja dengan saya. Beberapa orang sahabat sempat memberi kata-kata semangat sebelum saya bertolak tadi. Mereka juga tumpang gembira dengan keyakinan saya kini. Dari seorang yang pendiam pada awal pagi, kini saya lebih ceria dan nampak yakin dengan usaha ini. Walaupun saya yang akan mendermakan hati namun sebenarnya sahabat-sahabat ini juga memainkan peranan yang amat penting. Jika satu hari nanti saya mendapat pujian dari masyarakat Malaysia, bukan saya seorang yang harus dipuji tetapi keluarga, majikan dan sahabat-sahabat saya juga. Tanpa sokongan dari mereka semua, mungkin saya juga tidak mampu menjadi sekuat ini. Dalam hati saya ini sebenarnya, mempunyai banyak lagi ‘hati’ yang simpati kepada adik Atiqah.

Beberapa minit kemudian Encik Sharif sampai dengan berbaju kemeja lengan pendek bewarna hijau. Nampak kemas beliau hari ini. Mungkin juga beliau telah diberikan ‘pesanan awal’ oleh ahli keluarga beliau agar perlu nampak kemas apabila berhadapan dengan pihak media. Tidak semestinya apabila sedang dalam kedukaan dan menjaga anak yang kurang sihat maka penampilan juga tidak terurus. Selekeh dan kusut masai. Bukannya perlu membeli pakaian baru atau berwangi-wangian. Sekadar kemas dan bersih sudah memadai. Persepsi pembaca juga bermacam-macam. Mungkin ada yang suka kami kelihatan kemas dan ianya menunjukkan kami tidak patah semangat dalam memperjuangkan nasib adik Atiqah ini. Mungkin juga yang sebaliknya. Pembaca juga pandai menilai samada kami ‘berlakon’ atau sebaliknya.

Bersambung …


Spread the love

47 Comments

  1. hehe..memang susah nak ubah persepsi masyarakat kan?emm sama la ngan sy dulu..masa mula-mula kerja ngn swasta memang selalu kena marah..tapi dah lama rupanya bos sy tu memang baik hati..hehe

Comments are closed.

OTHER POSTS

Subscribe to Denaihati

Dapatkan artikel terkini terus dalam email anda!