Rahsia malam Lailatul Qadar, inilah cara memburu ganjaran pahala 1000 bulan

Spread the love

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Kita sudah hampir memasuki 10 hari terakhir bulan Ramadan di mana ramai yang “Memburu Lailatul Qadar” atau mencari malam al-Qadar. Di dalam bulan Ramadan yang mulia ini, Allah SWT telah menjadikan satu malam yang istimewa dalam bulan Ramadhan yang mana dilipat gandakan setiap amalan yang dilakukan pada malam tersebut.

Maksudnya: “Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) pada Malam al-Qadar, Dan adakah engkau mengetahui akan kebesaran Malam al-Qadar itu?, Malam al-Qadar itu lebih baik daripada seribu bulan”. [al-Qadr, 1-3]

Kesungguhan Nabi SAW pada sepuluh malam terakhir

Antara hadith yang menunjukkan akan kesungguhan Baginda SAW adalah:

  • Daripada Aisyah RA, beliau menceritakan:

Maksudnya: “Adapun Rasulullah SAW apabila tiba 10 hari terakhir bulan Ramadan, Baginda SAW membangunkan ahli rumahnya, mengikat kainnya (menjauhi isteri-isterinya) serta menghidupkan malam tersebut”. [Riwayat Ibn Hibban, no. Hadith 3436]

Antara riwayat lain yang menunjukkan akan kesungguhan Baginda SAW adalah:

  • Daripada Aisyah RA, beliau menceritakan bahawa:

Maksudnya: “Rasulullah SAW berusaha sedaya upaya pada malam sepuluh akhir Ramadhan melebihi usahanya daripada malam-malam yang lain”. [Riwayat Muslim, no. Hadith 2009]

Pendapat Ulama’ dalam menentukan malam al-Qadar

Dalam isu ini, terdapat banyak hadith dan juga pendapat dalam menetukan malam al-Qadar. Walaupun begitu, Rasulullah SAW memberi beberapa isyarat kepada kita berkaitan malam al-Qadar ini.

Antaranya, Baginda SAW menyatakan bahawa malam al-Qadar berlaku pada 10 akhir daripada malam ganjil dalam bulan Ramadan. Berdasarkan sebuah hadith, daripada Jabir bin Samurah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

الْتَمِسُوهَا فِي الْعَشْرِ الْأَوَاخِرِ وِتْرًا

Maksudnya: “Carilah malam al-Qadar pada sepuluh malam terakhir pada malam yang ganjil”. [Riwayat Ahmad, no.Hadith 85]

Adapun mereka yang menentukan malam al-Qadar terdapat banyak pendapat, antaranya:

  • Pertama: Pendapat yang paling kuat mengikut para ulama bahawa malam al-Qadar berlaku pada malam 27 Ramadhan. Hujah mereka amat banyak, antaranya:
  • Mengikut Abu Ka’ab RA katanya: “Demi Allah sesungguhnya Ibn Mas’ud telah meyakinkan bahawa malam al-Qadar berada dalam bulan Ramadhan dan jatuh pada malam ke-27. Akan tetapi, beliau enggan memberitahu kepada kami (malam yang tepat) kerana bimbangkan kamu tidak lagi berusaha mencarinya”.
  • Daripada riwayat Muawiyah RA yang bermaksud: “Bahawa Nabi SAW telah bersabda bahawa malam al-Qadar berlaku pada malam ke-27”.
  • Riwayat ini disokong oleh Ibn Abbas RA yang mengatakan bahawa surah al-Qadr mempunyai 30 perkataan. Perkataan yang ke-27 bagi surah itu adalah dhamir (هِيَ) yang kembalinya kepada Lailatul Qadar.
  • Imam Ahmad telah meriwayatkan sebuah hadith daripada Ibn Umar RA yang bermaksud: “Sesiapa yang mencari malam al-Qadar, hendaklah dia mencarinya pada malam yang ke-27, carilah kamu malam al-Qadar pada malam yang ke-27”.
  • Kedua: Pada malam 23 Ramadhan. Inilah adalah pendapat Imam Syafie RA dan ini juga merupakan pendapat Imam Malik RA, Ibn Khuzaimah RA, Abu Awanah RA dan al-Thahawi RA berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Unais RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

تَحَرَّوْا لَيْلَةَ الْقَدْرِ لَيْلَةَ ثَلاَثَ وَعِشْرِيْنَ

Maksudnya: “Carilah kamu malam al-Qadar pada malam ke-23 Ramadhan”. [Lihat: Jami’ al-Saghir, no. Hadith 3250]

  • Ketiga: Pada malam 21 Ramadhan. Ini juga merupakan pendapat yang dipilih oleh Imam Syafie RA dengan berdalilkan pada hadith yang diriwayatkan oleh Abu Daud dan al-Baihaqi. Hadith tersebut daripada Ibn Mas’ud RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

اُطْلُبُوْهَا لَيْلَةَ سَبْعَ عَشْرَةَ مِنْ رَمَضَانِ وَلَيْلَةَ إِحْدَى وَعِشْرِيْنَ وَلَيْلَةَ ثَلاَثِ وَعِشْرِيْنَ

Maksudnya: “Tuntutlah (Carilah) kamu pada malam ke-17, 21 dan 23 dalam bulan Ramadhan”.[Riwayat Abu Daud, no. Hadith 1176]

  • Keempat: Pada malam 24 Ramadhan. Ini berdasarkan sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Ibn Abbas RA, bahawa Baginda SAW bersabda:

اِلْتَمِسُوا لَيْلَةَ الْقَدْرِ فِي أَرْبَعٍ وَعِشْرِيْنَ

Maksudnya: “Carilah malam Lailatul Qadar pada malam 24 Ramadhan”. [Lihat: Jami’ al-Saghir, no. Hadith 1569]

  • Kelima: Pada malam terakhir Ramadhan. Hal ini berdasarkan sebuah hadith daripada Muawiyah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

اِلْتَمِسُوا لَيْلَةَ الْقَدْرِ آخِرِ لَيْلَةٍ مِنْ رَمَضَانِ

Maksudnya: “Carilah kamu malam al-Qadar pada malam terakhir bulan Ramadhan”. [Lihat: Jami’ al-Saghir, no. Hadith 1571]

Ramai yang berpendapat dan cenderung mengatakan malam al-Qadar adalah pada malam ke 27. Walaubagaimanapun, hakikatnya hanya Allah SWT sahaja yang mengetahuinya. Namun begitu, ini tidak bermakna kita tidak perlu berusaha atau bersungguh-sungguh pada malam-malam yang lain iaitu selain malam ke-27.

Kita sepatutnya menghidupkan setiap malam pada bulan Ramadan, lebih-lebih lagi pada sepuluh malam yang terakhir sebagaimana yang dilakukan oleh Rasulullah SAW.

Rahsia ALLAH sembunyikan Lailatul Qadar

Antara rahsia Allah SWT menyembunyikan malam al-Qadar adalah supaya ia menjadi pendorong kepada orang ramai untuk mencarinya. Selain itu juga, supaya mereka berusaha bersungguh-sungguh dalam menunaikan ibadah demi untuk mencari malam tersebut.

Seperti disembunyikan masa yang diperkenan doa pada hari Jumaat dan juga disembunyikan namanya yang agung daripada segala nama-nama yang Dia miliki.

Bacalah doa ini pada setiap malam akhir Ramadan nanti.

Doa Lailatul Qadar

اللَّهُمَّ إنَّك عَفُوٌّ تُحِبُّ الْعَفْوَ فَاعْفُ عَنِّي

“Ya ALLAH sesungguhnya Engkau Maha Pemaaf yang menyukai permintaan maaf, maafkanlah aku”

Semoga dengan perkongsian ini sedikit sebanyak dapat memberi galakan kepada kita untuk memperbanyakkan amalan soleh pada sepuluh malam terakhir bulan Ramadhan dalam usaha kita untuk memburu lailatul qadr.

Ayuhlah berdoa kepada ALLAH S.W.T agar Dia merezekikan kepada kita semua ganjaran beribadah pada malam tersebut yang merupakan malam yang lebih baik dari seribu bulan.


Spread the love

2 Comments

Comments are closed.

OTHER POSTS

Subscribe to Denaihati

Dapatkan artikel terkini terus dalam email anda!