Kembara Musafir Beijing Medan Tiananmen, Forbidden City dan Masjid Niu Jie

Spread the love

Assalamualaikum dan salam 1Dunia, beberapa bulan lepas Bos Besar Al Ansar Properties ajak pergi Beijing mulanya rancang tiga orang tapi akhirnya jadi rombongan keluarga 35 orang. Kembara Musafir Beijing merupakan package travel muslim yang diuruskan oleh syarikat travel CS Holidays yang juga menguruskan umrah dan haji package.

Top 10 produk dari China yang boleh buat bisnis

Kembara Musafir Beijing di KLIA dan Airport Hong Kong

Kembara Musafir Beijing bermula dengan berkumpul di KLIA pada jam 8.00 am, 28/5/2012. Alhamdulillah semua datang tepat waktu walaupun datang daripada berbagai arah dan jadual penerbangan Cathay Pacific Airways juga tepat mengikut jadual. Kami transit di Hong Kong lebih kurang 3 jam. Sempatlah solat zuhur dan asar di bilik solat umum di laluan 40. Alhamdulillah banyak airport besar walaupun bukan di negara Islam seperti airport Fankfurt ada meyediakan kemudahaan tempat solat.

Kembara Musafir menjejaki kaki di Beijing

Kami sampai di airport Beijing yang sangatlah besar pada jam 8.30 pm. Cuaca agak panas lebih kurang 30 darjah celcius dan semua dah terbayang cuaca panas sepanjang kembara kami. Pemandu pelancung kami Amelia seorang China tapi fasih berbahasa Indonesia jadi mudahlah untuk berkomunikasi. Kami di bawa ke hotel tiga bintang Ming Du lebih kurang 45 minit dari airport Beijing. Bilik hotel sederhana tapi lengkap dengan arah kiblat dan morning call untuk solat suboh.

Restauran Makanan Halal Judehuatian, Beijing

6.30 pagi kami dah berkumpul di lobi hotel untuk breakfast di sebuah restauran halal di tengah bandar Beijing. Manusia merancang Allah SWT menentukan bas rosak terpaksa menunggu lebih dua jam untuk gantian bas baru tetapi alhamdulillah semua sabar. Setelah masalah bas selesai kami bergerak ke Restoran Judehuatian untuk menikmati sarapan pagi halal. Restauran Judehuatian sudah berusia lebih daripada 80 tahun dan mempunyai lebih 20 cawangan dan sangat terkenal dengan makanan halal.

Medan Tiananmen Beijing

Selepas sarapan pagi kami bergerak ke Medan Tiananmen. Sebelum masuk ke Medan Tiananmen hampir semua ahli rombongan Kembara Musafir Beijing singgah di bilik air umum. Di sini pintu bilik air tak ada kunci jadi kena ada seorang sahabat jadi bodyguard di luar dan pastikan juga sediakan botol air mineral untuk bawa bekalan air kerana semua tandas tak ada air. Perjalanan di teruskan ke medan yang menyimpan berbagai sejarah bermula dengan pengisytiharan kemerdekaan China oleh Mao Tzu Tung dan peristiwa berdarah perjuangan demokrasi mahasiswa. Kawalan untuk masuk ke Medan Tiananmen sangat rapi terutama untuk warga China siap dengan mesin pengesan badan dan mesin pemeriksaan beg. Memanglah sangat luas dan terlalu ramai pelawat yang datang menziarahi medan Tiananmen. Gambar Mao Tzu Tung terpampang besar dianggap seperti dewa oleh warga China. Tubuh Mao Tzu Tung diawet dan disimpan disebuah bangunan di tengah Medan Tiananmen untuk tatapan pelawat setiap hari.

Forbidden City Beijing

Selepas Medan Tiananmen kami bergerak ke sebelah iaitu Forbidden City. Oleh kerana rombongan kami ada warga tua dan kanak-kanak maka pergerakan agak perlahan supaya semua mampu berjalan kerana Medan Tiananmen dan Forbidden City sangat luas melebihi 44 hektar. Melihat pintu gerbang dan istana Maharaja China boleh dibayangkan betapa berkuasanya mereka ketika menguasai Jajahan China tetapi akhirnya musnah ditelan zaman akibat kezaliman ke atas rakyatnya sendiri. Kami hanya sempat melintasi gerbang ke tiga apabila majoriti ahli rombongan anak-anak dan warga tua dah tak larat nak melangkah lagi.

Masjid Niu Jie dan Niu Jie Muslim Supermarket Beijing

Alhamdulillah cuaca memihak kepada kami, dengan izin Allah SWT cuaca tidak panas sehingga mencecah 30 darjah celcius. Awan mendung meliputi langit dengan angin yang berhembus lembut membuatkan suasa sangat mesra alam. Kami meninggalkan Forbidden City menuju ke Restoran Halal untuk makan tengahari. Makanan halal yang dihidangkan di Restoran Western Mau memang sedap. Setelah makan tengahari kami bergerak ke Masjid Niu Jie yang merupakan masjid terbesar dan tertua di Beijing. Usia masjid asal Nui Jie melebih 1000 tahun yang dibina pada tahun 996 dan terdapat dua buah kubur kepunyaan ulama’ yang menjadi guru di masjid ini pada sekitar tahun 1270M. Seorangnya dari Bukhara dan seorang lagi dari Qazwin, Parsi. Terasa damai hati dapat berjemaah diimamkan Mudir Madrasah An-Nuur di dalam Masjid yang telah wujud sebelum Islam sampai ke Malaysia lagi. Selepas solat kami singgah di Niu Jie Muslim Supermarket yang merupakan satu-satunya supermarket halal di Beijing untuk beli stok makanan seminggu Kembara Musafir Beijing.

Menyaksikan aksi akrobatik China

Kami sudah agak terlewat untuk ke Jin Sha Theater untuk menyaksikan akrobatik China. Bila dah lewat terpaksalah menyaksikan daripada tingkat dua yang agak jauh. Melihat akrobatik ini memang menakjubkan dengan kelembutan tubuh aksi para akrobatik dan paling mengerikan menyaksikan aksi 5 penunggang motor menunggang motor serentak dengan laju dalam gelung bola. Kabarnya beberapa bulan yang lalu terjadi pelangganran sehingga kesemua penunggang cedera parah dan dimasukan ke hospital lebih daripada dua buan. Setelah selesai menyaksikan akrobatik kami makan malam di Restoran Judehuatian dan pulang ke hotel untuk berehat kerana esok ada jadual yag ketat dan memerlukan tenaga yang banyak. Terima kasih atas nasihat teman melalui feedback di Fanpage Denaihati, alhamdulillah hari pertama tak ada masalah melainkan kerosakan bas. Kepada rakan-rakan yang ada akaun Foursquare bolehlah follow Denaihati untuk mengikuti Kembara Musafir Beijing selain yang dipaparkan di Fanpage Denaihati.


Spread the love

185 Comments

Comments are closed.

OTHER POSTS

Subscribe to Denaihati

Dapatkan artikel terkini terus dalam email anda!