Kadar Pematuhan PKP Melonjak 99 Peratus

Assalamualaikum dan selamat sejahtera,

Kadar Pematuhan PKP melonjak

Tiada lagi kata-kata lembut digunakan sejak akhir-akhir ini. Apabila pendekatan secara ini dilakukan kepada mereka yang masih ingkar dengan arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), pematuhan melonjak kepada 99 peratus setakat semalam.

Rakyat Malaysia sudah mula memahami tujuan utama kerajaan melaksanakan PKP, iaitu untuk memutuskan rantaian COVID-19 di negara ini.

Hari pertama pelaksanaan PKP menyaksikan kadar pematuhannya sekadar 62 peratus sahaja.

Kerajaan mahukan pematuhan 100 peratus. Lantaran itu, PKP yang memasuki fasa kedua hari ke-18 pastinya akan menumpukan kepada usaha menumpaskan baki rakyat yang masih degil dan tidak ambil kisah akan penularan wabak COVID-19.

Ia cukup untuk melambangkan ketegasan kerajaan dalam menangani krisis COVID-19 kerana jika lebih lama tempoh PKP ini dilaksanakan, ia bukan sahaja akan menjejaskan ekonomi negara tetapi juga kehidupan rakyat itu sendiri.

Walaupun tiada peningkatan mendadak kes jangkitan COVID-19 direkodkan namun ia bukan lesen untuk kita berpesta mengingkarinya dan orang ramai seharusnya terus membantu kerajaan memerangi virus korona ini dengan duduk di rumah dan keluar rumah apabila perlu sahaja. Itu pun wakil seorang sahaja.

Bazar Ramadhan dan E-Bazar

Semestinya orang ramai, termasuk peniaga, mengharapkan agar bazar Ramadan diteruskan seperti tahun-tahun lepas namun disebabkan COVID-19, sebarang aktiviti yang menyaksikan ramai orang berkumpul tidak sesuai diadakan.

Memetik kenyataan Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, perhimpunan ramai seperti bazar Ramadan perlu dielak walaupun tempoh PKP tamat. Malah katanya norma dan amalan kehidupan rakyat Malaysia juga perlu berubah dalam suatu tempoh tertentu.

“Contohnya tidak bersalam, membasuh tangan dengan sabun dan ada jarakan sosial sekurang-kurangnya satu meter. Perhimpunan contohnya enam bulan hingga setahun kita akan lihat tak galakkan langsung perhimpunan ramai,” katanya.

Setakat ini, enam negeri telah mengambil keputusan membatalkan penganjuran bazar Ramadan yang dimulakan kerajaan Negeri Sembilan (26 Mac) diikuti Terengganu (30 Mac), Kedah dan Selangor (masing-masing 1 April), Johor (2 April) serta Pulau Pinang (3 April).

Selebihnya belum mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung perkara itu.

Mungkin sudah tiba masanya peniaga memikirkan idea pelaksanaan e-Bazar yang kreatif dan inovatif seperti makanan bazar Ramadan boleh dihantar ke rumah. Ini kerana perkhidmatan penghantaran makanan ke rumah semasa fasa pertama PKP mencatat peningkatan sebanyak 70 peratus.

Teknologi Robotik

Selain itu, krisis COVID-19 yang nampaknya belum berkesudahan mendorong penyedia perkhidmatan penjagaan kesihatan ataupun pihak tertentu memanfaatkan teknologi baharu bagi menangani penularan wabak tersebut.

Sekumpulan pakar robotik Universiti Putra Malaysia (UPM) membangunkan lima unit robot bagi membantu petugas barisan hadapan menjalankan proses nyah kuman COVID-19 dan dijangka dapat digunakan tidak lama lagi.

Ketika ini, teknologi robotik sewajarnya diperluaskan kerana ia secara tidak langsung mampu mengurangkan risiko jangkitan silang dan meningkatkan kecekapan.

Jika Malaysia ingin dikenali dunia, kita perlu seiring mengejar teknologi kerana hospital di bandar Wuhan, China iaitu lokasi bermulanya wabak itu, telah pun menggunakan robot yang dilengkapi teknologi 5G untuk membimbing pesakit dan menyahjangkit kawasan kuarantin.

Hospital di Thailand turut menggunakan ‘robot ninja’ untuk menyukat suhu badan dan melindungi petugas kesihatan barisan hadapannya.

Semoga rakyat Malaysia dijauhkan daripada wabak Covid-19 dan penyakit berjangkit. Semoga cepat sembuh Malaysia. Kekal tenang dan #DudukRumah.

Sumber: Awani

2 Comments

Comments are closed.

OTHER POSTS

Subscribe to Denaihati

Dapatkan artikel terkini terus dalam email anda!